HALAMAN SANTAI

Khamis, 3 Mei 2018

Pemimpin ‘ultra Melayu’ kini disokong Cina

Oleh Kamarul Khairy


Dr Mahathir yang dilabel sebagai 'ultra Melayu' itu kini menerajui kempen PH dan beliau diterima DAP sebagai pemimpin yang akan melakukan perubahan pada PRU14.
 
 
 
Gambar Twitter


Mungkin kita lupa untuk membuat sedikit penelitian mengenai siapa yang digelar “ultra Melayu” dan menyerang Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman pada 1969.

Mengutuk PM ketika itu sebagai menuruti semua kehendak kaum Cina dan meminggirkan Melayu. Menuduh PM sebagai punca 13 Mei 1969 atas sikap bertolak ansur dengan kaum Cina.

Siapa pula yang menulis dalam sebuah buku berkata: “Malays were the ‘rightful owners of Malaya,’ and other races should only be citizens through ‘conditional’ Bumiputera consent”.

Siapa yang sebenarnya taksub pada pendekatan perjuangan bangsa, memastikan kaum Melayu menjadi dominasi menyeluruh dan menolak sebarang toleransi dalam membicarakan mengenai orang Cina. Apa sebenar yang dimaksudkan “ultra Melayu” dan siapa yang dirujuk sebagai “ultra Melayu”.

Tidak lain dan tidak bukan, orang yang diklasifikasikan sebagai “ultra Melayu” hari ini sedang berusaha meruntuhkan Umno.

Orang ini bersekutu dengan pembangkang termasuk DAP. DAP yang dikenali sebagai “cauvinis Cina”, hari ini membela orang tersebut sebagai salah satu senjata untuk menghancurkan Umno.

Orang yang menuduh Tunku Abdul Rahman sebagai pengecut, tunduk pada kehendak Cina dan menyatakan Malaya ini adalah hak orang Melayu dan kaum yang lain hanya menjadi warganegara melalui persetujuan orang Melayu adalah Tun Dr Mahathir Mohamed, pemimpin mereka.

Sekiranya dilihat – tidak ada kepimpinan Melayu sebelum beliau yang nampak “ultra Melayu” dan secara terbuka menuntut hak keseluruhan negara ini sebagai hak orang Melayu dan yang lain hanya bersyarat.

Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn – tidak dilihat sebagai anti kepada perkembangan orang-orang Cina di Malaysia.

Hanya Dr Mahathir yang lahir dengan sentimen “ultra Melayu”. Beliau dalam buku “Dilema Melayu”, amat jelas sikap “ultra Melayu” dan semasa pemerintahannya, DAP adalah target kritikan sebagai parti Cina yang bertunjangkan – PPP – Lee Kuan Yew.

Bagaimana pula hari ini, DAP boleh menerima Dr Mahathir dan menuduh Umno mempergunakan soal perkauman sebagai senjata politik utama. Bukankah ini adalah hasil didikan indoktrinasi Dr Mahathir yang memerintah selama 22 tahun. Adakah Dr Mahathir sudah tidak lagi “ultra Melayu” apabila bukan lagi dalam Umno.

Kita perlu sedar sebenarnya yang berada di kem pembangkang, yang menerajui usaha menjatuhkan Umno adalah orang yang paling banyak membicarakan mengenai perkauman. Orang inilah yang memperjuangkan khusus hak Bumiputera dan beliau adalah orang yang dikatakan “ultra Melayu”.

Mungkin dengan gelaran beliau “ultra Melayu” maka gabungan dalam Pakatan Harapan (PH) merasakan peralihan pengundi Melayu akan menyeluruh kalau kepimpinan “ultra Melayu” ini bergabung sama untuk menjatuhkan BN/Umno.

Adakah kita tidak sedar dalam melihat senario ini secara meluas – PH adalah gabungan yang mempunyai pecahan matlamat yang berbeza.

Apa pun hari ini, orang yang dilabel sebagai “ultra Melayu” menerajui kempen PH untuk PRU14. Beliau diterima oleh DAP khususnya sebagai kepimpinan yang akan melakukan perubahan pada PRU14.

Persoalan beliau “ultra Melayu” tidak lagi diambil dan diingati, mungkin kerana matlamat yang lebih besar. Sama seperti PKR yang hari ini dengan matlamatnya, DAP dengan matlamatnya dan Dr Mahathir dengan matlamatnya, bersama-sama mahu menumbangkan BN/Umno untuk merealisasikan hasrat masing-masing dan kehendak tersendiri.

Apa pun hari ini “ultra Melayu” disokong oleh majoriti orang Cina.

Tiada ulasan: