SHAH ALAM: Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham
Shaharin hari ini menyerahkan dokumen kepada Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor berhubung dakwaan penyelewengan tanah
institusi agama Islam di Petaling Jaya.
Badrul Hisham yang lebih dikenali sebagai Chegubard berkata dokumen itu
antaranya mengandungi salinan surat rasmi termasuk yang bertulisan
tangan pihak terlibat, salinan cetakan e-mel serta cakera video digital.
Beliau berkata laporan itu turut disertakan dengan nama beberapa
individu termasuk pemimpin PKR yang didakwa mempunyai kaitan dengan
tulisan tangan yang terpampang pada surat rasmi itu.
Menurutnya laporan itu mengandungi dakwaan penyelewengan tanah
institusi agama Islam seluas hampir 9.66 ekar di Seksyen 14, Petaling
Jaya, yang sepatutnya diserah kepada Kumpulan Hartanah Selangor yang
bernaung di bawah Menteri Besar Incorporated (MBI).
“Namun, pada 2015, sebuah syarikat pemaju mencadangkan kepada MBI untuk
membeli atau memajukan tanah berkenaan dengan menawarkan pembayaran
sebanyak 30 peratus dari nilai RM1 billion Anggaran Pembangunan Kasar
(GDV),” dakwanya.
Chegubard mendakwa sepanjang tempoh cadangan itu, dua pemimpin PKR dan
seorang wakil MBI bertemu dengan syarikat untuk menyatakan persetujuan
kerajaan negeri berhubung cadangan itu tetapi meminta kertas cadangan
dihantar semula dengan merendahkan nilai tawaran.
“Perbezaan (antara nilai tawaran asal) dengan nilai yang direndahkan
(dalam kertas cadangan baru) itu dibayar kononnya sebagai dana politik,”
dakwa Chegubard.
Namun, katanya, syarikat terbabit tetap bertegas supaya nilai tawaran
mereka sama dengan kertas cadangan awal sehinggalah surat terakhir
antara kedua-dua pihak itu pada 26 Januari 2017.
Pada 22 Disember 2017, sebuah syarikat lain pula membuat pengumuman
awam menyatakan mereka mendapat hak untuk memajukan tanah tersebut
dengan nilai tawaran yang jauh lebih rendah, dakwanya sambil
mempersoalkan mengapa syarikat berkenaan diberi tawaran yang jauh lebih
rendah.
Beliau turut menafikan tindakannya menyerahkan laporan itu kepada SPRM
mempunyai kaitan dengan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan