JERAI: Anak kepada bekas Menteri Besar, Allahyarham Tan Sri Azizan
Abdul Razak, Ahmad Faiq, 31, mengumumkan menyertai Umno hari ini.
Ahmad Faiq yang merupakan seorang peguam dan menjadi ahli PAS sejak
berusia 18 tahun berkata, dia membuat keputusan untuk menyertai Umno
setelah mendapat restu daripada ibunya, Tok Puan Faekah Sheikh Hamzah.
"Saya telah memohon pandangan daripada ibu sebelum membuat keputusan
menyertai mana-mana parti, ibu saya kata, sertailah parti apa sekalipun
jangan Parti Amanah Negara (Amanah), sebab Amanah lawan ayah saya dulu.
"Ibu saya kata itu hak saya untuk pilih parti mana pun, kalau DAP
datang lebih awal pun saya boleh masuk DAP tetapi yang datang secara
baik adalah Barisan Nasional (BN)," katanya ketika ditemui selepas
majlis perhimpunan jentera pilihan raya BN Parlimen Jerai di sini hari
ini, lapor Utusan Online.
Yang turut hadir penyandang kerusi Parlimen Jerai, Datuk Seri Jamil
Khir Baharom, calon DUN Guar Chempedak, Datuk Dr. Ku Abd. Rahman Ku
Ismail dan calon DUN Sungai Limau, Datuk Norma Awang.
Azizan merupakan Pesuruhjaya Pas Kedah yang memimpin parti itu pada
PRU-12 sehingga membolehkan pakatan rakyat ketika itu merampas Kedah
daripada BN.
Menurut Ahmad Faiq sehingga kini ibunya tidak dapat menerima Amanah yang telah melontarkan pelbagai kritikan terhadap ayahnya.
Dalam pada itu, anak ketujuh daripada lapan beradik itu berkata,
sebelum membuat keputusan menyertai Umno dia pernah bergaul dengan parti
lain antaranya PAS, Amanah dan PKR.
"Saya cakap terus terang, saya pernah berkawan dengan orang PAS, Amanah dan PKR.
"Bila campur semua orang saya nampak kalau nak tolong orang melalui BN sahaja yang boleh," katanya.
Sementara itu, katanya, dia juga tidak kisah mengenai tohmahan mana-mana pihak yang mengaitkan keputusan itu dengan 'dedak'.
"Saya sertai Umno atas hak saya di negara demokrasi, katalah apa sahaja pun," katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan