SHAH ALAM: Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mendakwa ibunya, Datin
Tuan Sabariah Tuan Ishak akan berkempen untuk PAS di DUN Chempaka dan
Parlimen Pengkalan Chepa.
Perkara tersebut dimaklumkan Nik Mohamad Abduh menerusi entri di laman Facebook semalam.
Beliau berkata, pada asalnya ibu beliau hanya akan menumpukan
kempennya di P025 Bachok atas faktor kesihatan yang sedikit membataskan
pergerakannya.
"Akan tetapi disebabkan ada sedikit gangguan daripada dalam keluarga
kami terhadap PAS di DUN Chempaka khususnya, maka bonda memutuskan untuk
turut bersama jentera muslimat parti ini di sana.
"Saya bagi pihak seluruh keluarga al Aziziyah dengan ini, dengan penuh
rasa dukacita yang amat sangat ingin memohon banyak-banyak kemaafan
kepada jentera PAS di seluruh negara dan juga seluruh rakyat Malaysia
amnya di atas kemalangan yang berlaku pada dua hari lepas. Ia sesuatu
yang amat sukar," katanya.
Nik Mohamad Abduh yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata, ibunya
kini memilih untuk berehat beberapa hari bagi merawat luka hatinya
akibat 'tembakan' yang dilepaskan semenjak lebih 30 tahun lalu.
"Dua hari lalu, tembakan itu tepat singgah ke jantung bonda. Ini adalah
tembakan kedua yang terpaksa ditanggung oleh bonda selepas tembakan
pertama yang meranapkan jiwanya oleh Tun Dr Mahathir Mohamad lebih 15
tahun lalu apabila salah seorang anaknya ditahan di bawah ISA.
"Mahathir dan Ikram itu hari ini bersama-sama bersatu bekerja keras
meruntuhkan kerajaan Islam negeri Kelantan di bawah pemerintahan PAS,"
katanya.
Beliau turut menasihati Nik Omar agar pulang ke rumah ibunya.
"Suka saya menasihati dan menyarankan beliau untuk merujuk kepada kisah
agung seorang khalifah Islam yang sah dibai'ah oleh umat Islam selepas
kematian Yazid bin Muawiyah iaitu al sahabiy al 'Aa'iz bil Bait Abdullah
Ibn al Zubair radhiaLlahu anhuma.
"Hayati bait-bait penuh air mata antara beliau dan bondanya Asma' binti
Abu Bakar (kakak kepada Ummul Mukminin 'Aisyah binti Abu Bakar)
radhiaLlahu anhum saat beliau memohon pandangan dan restu bondanya itu
bagi menempuh kemuncak kesukaran di dalam membuat keputusan di sepanjang
hidupnya," katanya.
Jelasnya lagi, Ibu adalah menara kehidupan dan jangan berbicara soal
ayahanda, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat jika ibunya tiada disisi.
"Siapa ayahanda tanpa seorang bonda yang paling memahami pahit getir kehidupan seorang suami bergelar pejuang.
"Siapa kita tanpa bonda. Sekadar air mani terbuang hina," katanya.
Nik Omar, anak kedua bekas mursyidul am PAS, Allahyarham Nik Abdul Aziz
itu mengejutkan politik PAS menjelang PRU14 minggu depan, apabila
beliau muncul pada hari penamaan calon dengan mengemukakan borang
pencalonan untuk bertanding kerusi DUN Chempaka sebagai calon Amanah.
Kerusi berkenaan dianggap kubu kuat PAS yang mana pernah disandang Nik Abdul Aziz sejak pilihan raya umum ke-9 pada 1995.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan