Pengadu dalam kes liwat 2, Mohd Saiful Bukhari Azlan menyatakan rasa kesalnya terhadap Nurul Nuha Anwar kerana mengitar semula "cerita lama" mengenai beliau.
Saiful merujuk kepada tuduhan dibuat anak perempuan kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dalam satu ceramah ketika membantu kempen calon PKR DUN Kota Anggerik, Najwan Halimi semalam.
Sebaliknya Saiful berkata Nurul Nuha sepatutnya mengambil kesempatan bercakap mengenai calon PKR berkenaan dan bukan menyentuh mengenai dirinya.
"Nurul Nuha datang bantu kempen saudara Najwan Halimi, recycle semula cerita lama. Apa relevannya pada pengundi DUN Kota Anggerik?
"Sepatutnya Nuha bantu Najwan dengan hightlightkan profile beliau, pengalaman, manifesto,
perkhidmatan yang bakal ditawar dan apa manfaat pengundi DUN Kota Anggerik jika memilih Najwan sebagai wakil rakyat mereka. Di situ baru pengundi dapat menilai.
"Lagipun, bukan saya yang bertanding lawan Najwan di DUN Kota Anggerik, lawannya Ustaz (Ahmad) Dusuki PAS dan Calon BN. Lawanlah mereka, apa kena mengena dengan saya?" kata Saiful dalam hantaran di Facebook hari ini.
Nurul Nuha dalam ceramahnya semalam mendedahkan Najwan dan Saiful saling mengenali sejak di universiti.
Katanya, Najwan tidak sehaluan dengan Saiful yang ketika itu merupakan penyokong BN dan mereka saling berbeza pendapat.
Nurul Nuha berkata kali pertama beliau melihat Saiful adalah pada kempen pilihan raya umum ke-12 pada 2008.
Menurutnya, Najwan memberikan amaran sejak awal mengenai kehadiran Saiful sebelum diterima bekerja di pejabat Anwar pada tahun yang sama.
Saiful kemudian menuduh Anwar meliwatnya yang membawa kepada perbicaraan dan penahanan pemimpin pembangkang itu pada tahun 2014.
Saiful dalam status di Facebooknya berkata, beliau terlebih dahulu memaklumkan kepada Anwar mengenai dirinya sebelum diambil bekerja dengan majikannya itu.
"Jika Nuha nak tau, saya sendiri pada awal-awal dah maklum pada ayah dia masa mula-mulaI start diambil kerja, dan ayahnya sendiri tak kisah jika saya pernah berkawan dengan sesiapapun.
"Malah dia suruh saya teruskan kerja, fokus bantu dia, endahkan protes orang-orang yang tak bersetuju saya kerja di pejabat tersebut.
"Apapun terima kasih kerana mengesahkan bahawa saya bekerja dengan bapa awak, yang mana pada awal kes dulu Anwar nafikan saya bekerja dengannya," kata Saiful.
Anwar dihukum penjara selama lima tahun pada 2014 atas kesalahan meliwat bekas pembantunya itu.
Namun ketua umum PKR itu menegaskan pendakwaan terhadapnya bermotifkan politik - sama seperti kes liwat 1 yang dihadapinya semasa Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri pada 1998.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan