HALAMAN SANTAI

Khamis, 3 Mei 2018

Kajian Kajidata menunjukkan BN akan terus berkuasa

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUALA LUMPUR- Satu kajian persepsi rakyat terhadap Pakatan Harapan (PH) pada masa ini yang dijalankan oleh Kajidata Research menunjukkan mandat Barisan Nasional (BN) akan diperbaharui pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Temu bual yang dilakukan melalui telefon dari 12 hingga 27 Mac melibatkan 1,021 responden di seluruh negara mendapati 39 peratus daripada responden bersetuju yang BN akan membentuk kerajaan negeri masing-masing berbanding 32.8 peratus bagi PH.

Juga 40.3 peratus daripada responden berpendapat BN akan membentuk Kerajaan Persekutuan, dengan peratus yang lebih kecil (29.9) berpihak kepada PH.

Apabila ditanya parti mana yang akan dipilih mereka jika pilihan raya diadakan keesokan hari, tinjauan mendapati peratusan bagi BN dan PH hampir sama dengan bilangan mereka yang masih tidak pasti untuk memilih pihak mana juga tinggi (40.8 peratus).

Penasihat Kajidata Profesor Syed Arabi Idid yang telah menjalankan banyak kajian berkenaan pilihan raya di negara ini berkata mereka yang masih tidak pasti inilah merupakan pengundi atas pagar yang BN, PH dan PAS sedang berusaha menawan hati mereka.

Lebih kurang 45 peratus daripada responden Melayu berpendapat bahawa sokongan masyarakat itu bagi PH akan meningkat tetapi menurut Syed Arabi, yang juga mantan rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, sama ada akan berlaku tsunami undi Melayu seperti yang dijangkakan oleh pihak tidak dapat dipastikan.

Apa yang menarik, tinjauan Kajidata juga menunjukkan para responden termasuk orang Melayu akur DAP (33 peratus) lebih popular daripada PKR (31.2 peratus) dalam gabungan PH diikuti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) (18.8 peratus) dan Parti Amanah Negara (Amanah) (17.0 peratus).

Sebanyak 64.2 peratus daripada responden juga bersetuju bahawa sokongan masyarakat Cina masih bersama dengan PH dan sokongan mereka khasnya bagi DAP akan meningkat pada PRU14.

Sementara itu, 16.7 peratus daripada responden bersetuju dengan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon bagi jawatan perdana menteri selepas PRU14 dengan 13.3 peratus memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim. Bagaimanapun, Datuk Seri Najib Tun Razak (20.5 peratus) merupakan calon pilihan utama bagi jawatan perdana menteri daripada tiga nama itu.

Kajian itu juga menguji populariti beberapa pemimpin lain bagi jawatan perdana menteri termasuk Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Rafizi Ramli, Lim Guan Eng, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir, dan beberapa orang lagi bagi jawatan perdana menteri tetapi para responden tidak menunjukkan minat dengan nama-nama yang diutarakan itu.

Para responden juga bersetuju bahawa agenda reformasi PH menempuh kegagalan ekoran langkah Dr Mahathir mewujudkan kolaborasi bersama PKR. Juga para responden kurang berminat dengan agenda-agenda yang diutarakan dalam manifesto PH kecuali penghapusan GST.

Syed Arabi meramalkan BN akan terus memerintah dengan majoriti mudah, seperti kebanyakan parti pemerintah di dunia sekarang ini. Kekuatan BN terletak pada pengundi luar bandar, satu yang tidak dapat disaingi PH dan dengan itu BN masih mempunyai kelebihan pada PRU14.

Juga, Syed Arabi semasa lawatan dua harinya ke dua buah negeri yang akan menyaksikan persaingan sengit iaitu Kelantan dan Terengganu untuk memerhatikan realiti politik akar-umbi selepas hari penamaan calon mendapati persiapan BN dan PAS lebih teratur dan lancar dalam menghadapi PRU14.

Bagaimanapun, bukan mudah untuk meramalkan keputusan di kedua-dua negeri yang pengundinya rata-rata daripada masyarakat Melayu selain parti-parti yang bertanding juga juga mewakili masyarakat itu yang akan menyebabkan perpecahan undi.

Kajidata merupakan sebuah syarikat penyelidikan pasaran yang mengkhusus dalam mengumpul maklumat balas awam, komersial serta sosiopolitik.– Bernama

Tiada ulasan: