HALAMAN SANTAI

Sabtu, 5 Mei 2018

Lagi janji kosong untuk rakyat Kubang Kerian

Manzaidi Mohd Amin
Dari janji kosong Pas untuk mengubah Kubang Kerian sebagai Bandar Satelit sehingga kepada Kubang Kerian Bandar Sihat.
Dari janji kosong Pas untuk mengubah Kubang Kerian sebagai Bandar Satelit sehingga kepada Kubang Kerian Bandar Sihat.
 

KUBANG KERIAN – Dengarlah penduduk dalam Parlimen Kubang Kerian, apa lagi janji yang hendak ditabur oleh calon pembangkang di kawasan anda pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei ini.

Dari PRU tahun 1990 wakil rakyatnya, Mohamad Sabu menjanjikan untuk menjadikan Kubang Kerian sebagai Bandar Satelit sehinggalah tempatnya digantikan oleh Husam Musa tahun 1999, bandar itu tetap sepi.

Selepas itu dari PRU 2004, Pas menggantikan Salahuddin Ayub sebagai wakil rakyat dan ditukar pula kepada Ahmad Baihaqi Atiqullah sehingga PRU13, semua yang dijanjikan lesap entah ke mana.

Hari ini, calon PKR, Datuk Dr. Abdul Halim Yusof menambahkan lagi gula-gula PRU bagi pihak blok pembangkang dengan menabur janji untuk menjadikan Kubang Kerian sebagai bandar sihat.

Hilang sudah slogan ‘Bandar Satelit’ yang dicanang tahun 1990, kali ini janji untuk menjadikan Kubang Kerian ‘Bandar Sihat’ pula.

Agaknya rakyat dalam Parlimen Kubang Kerian suka dengan janji kosong pemimpin pembangkang, sebab itu mereka tidak pernah perit untuk memberi undi kemenangan kepada Pas.

Bagaimanapun, dalam PRU14 ini dua calon blok pembangkang yang sebelum ini menjadi rakan, iaitu Pas dan PKR akan bertarung pula sesama mereka, selain turut melawan calon dari Barisan Nasional (BN).

Untuk BN, calonnya, Datuk Muhamad Ghani tidak perlu menjanjikan apa-apa kerana semua janji sudah ditawarkan oleh Pas dan PKR.

Muhamad Ghani hanya perlu berkempen untuk menambah jumlah undi sahaja.

Mengikut misi Dr. Abdul Halim, kalau PKR menang, beliau mahu menjadikan Kubang Kerian sebagai ‘Bandar Sihat’.

Katanya, seluruh pembangunan sama ada fizikal atau pembangunan lain mestilah ke arah merealisasikan kriteria yang sihat seperti kebersihan bandar, bekalan air bersih dan sifar catuan, selamat dari gangguan, penjagaan alam sekitar dan juga melihat kepada aspek kebajikan dan kemanusiaan.

“Kubang Kerian sangat unik dengan adanya sungai Pengkalan Datu dan juga Lembah Binjai. Tempat sebegini boleh kita bangunkan eko-pelancongan yang cukup menarik.

“Konsep bandar sihat ini patut menjadi tema yang penting merangkumi aspek kesihatan (kesihatan fizikal), keilmuan (kesihatan akal), keselamatan dan ketenangan (kesihatan mental),” katanya.

Untuk rekod, Kubang Kerian dijadikan Parlimen selamat oleh Pas untuk menyelamatkan nyawa pemimpinnya yang bakal kalah kalau bertanding di tempat sendiri. – MalaysiaGazettes


Tiada ulasan: