PETALING JAYA: MCA mengutuk keras percubaan Pengerusi DAP Perak, Nga
Kor Ming menggunakan masyarakat Cina sebagai perisai politik dan
justifikasi bagi kelakuan buruk beliau dalam satu rakaman ceramah di
mana beliau berseloroh tentang kematian Tun Dr Mahathir Mohamad dan
mengatakan beliau akan bermain mahjong dengan bekas perdana menteri
Singapura, mendiang Lee Kuan Yew, selepas kematiannya kelak.
MCA menganggap permohonan maaf pemimpin pembangkang berhubung video
ceramah politik yang tular baru-baru ini bukan sahaja tidak ikhlas,
tetapi merupakan percubaan menggunakan masyarakat Cina bagi membenarkan
kelakuan buruk, celupar dan kasar beliau.
Jurucakap MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker dalam kenyataan hari ini berkata,
orang Cina Malaysia adalah masyarakat yang sopan dan menghormati, dan
tidak boleh sama sekali menerima keceluparan dan sikap tidak hormat Nga
terhadap orang yang lebih tua.
“DAP dan Nga hilang pedoman dan tidak menghormati orang tua dan
pemimpin Melayu. Kenyataan terbukanya tidak sensitif dan berniat jahat
terhadap orang Melayu,” kata Ti.
Ti berkata, bercakap tentang kematian seseorang adalah dilarang, apatah
lagi jika orang tu dicadangkan oleh DAP untuk menjadi perdana menteri
mereka sendiri jika terpilih.
“Bercakap tentang kematian seorang tua adalah satu sumpahan. Ia tidak
boleh diterima sama sekali dan berlawanan dengan adat resam masyarakat
Cina,” katanya.
Sebelum ini Nga dalam permohohan maafnya berhubung video tersebut
mengakui bahasa Mandarin yang digunakannya dalam ceramah itu agak keras
dan sinis, tetapi masyarakat orang Cina boleh menerima cara beliau
berceramah.
Calon DAP di kerusi Parlimen Teluk Intan dalam pilihan raya umum pada 9
Mei depan itu juga berkata, Dr Mahathir adalah “kuda tunggangan” DAP
bagi memenangi PRU kali ini.
“Pemimpin DAP dua beranak, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng hendaklah
mengarahkan beliau meminta maaf atau memberinya amaran atas kelakuan
buruknya itu, bukannya mencadangkan beliau dilantik sebagai menteri
sekiranya Pakatan Harapan menang”, kata Ti.
Ti berkata, keceluparan mulut, sikap kasar dan kelakuan buruk mungkin
merupakan budaya dalam DAP dan penyokong parti itu boleh menerimanya,
tetapi ia tidak harus melibatkan masyarakat Cina secara keseluruhan.
“Hubungan baik antara orang Melayu dan masyarakat Cina sudah tergugat
dan tegang berikutan tindak-tanduk DAP, dan kita berharap hubungan baik
serta perpaduan yang sedia terbina sejak kemerdekaan itu tidak terus
dirosakkan,” tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan