JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri menjangkakan lebih
80 peratus daripada 1.8 juta pengundi yang berdaftar di seluruh Johor
akan keluar mengundi pada PRU14, Rabu ini.
Pengarahnya, Shafie Taib berkata, setakat ini, jumlah pengundi
berdaftar Johor meningkat lebih 200,000 berbanding hanya 1.5 juta pada
PRU13.
“Daripada 1.8 juta pengundi berdaftar pada PRU14, sebanyak 26,800
pengundi awal telah pun melaksanakan tanggungjawab mereka Sabtu lalu.
“Bagi PRU kali ini, kita menyasarkan lebih 80 peratus pengundi
berdaftar akan keluar mengundi pada Rabu ini,” katanya, hari ini dipetik
Sinar Harian.
Beliau berkata, pihaknya menempatkan kira-kira 30,000 petugas SPR di 3,500 saluran mengundi di seluruh negeri ini.
“Setakat ini segala persiapan bagi menghadapi hari pengundian berjalan
dengan lancar dan kami harap ia berlangsung dalam keadaan yang aman yang
mana pusat pengundian akan dibuka bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.
“Bagi pusat pengundian di kawasan kepulauan di Mersing dan
kampung-kampung pedalaman seperti di Kampung Peta dan Kampung Punan
mungkin ditutup lebih awal. Ini kerana helikopter yang akan mengambil
peti undi tidak boleh terbang melebihi jam 4 petang kerana dikhuatiri
keadaan cuaca dan laut tidak baik,” katanya.
Beliau turut menasihatkan parti-parti bertanding supaya mengikut
peraturan yang telah ditetapkan dan menggunakan saluran yang betul
sekiranya mempunyai sebarang bantahan.
“Kita ada sediakan borang untuk bantahan di setiap pusat mengundi yang
mana setiap bantahan yang dikemukakan akan dicatat oleh Ketua Pusat
Mengundi,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan