Bekas perdana menteri itu berkata, ini kali pertama
beliau berdepan masalah teknikal pesawat yang menyebabkan
penerebangannya dibatalkan.
LANGKAWI: Tun Dr Mahathir Mohamad menyangkal dakwaan sebuah syarikat penerbangan sewa menawarkan pesawat lain serta-merta kepadanya apabila mendapat tahu masalah teknikal dihadapi jet peribadinya yang bakal berlepas ke Langkawi, Jumaat lalu.
“Kenyataan pesawat lain ditawarkan sangat mengarut kerana selepas mendapati pesawat itu tidak boleh terbang, kami cuba meminjam pesawat peribadi daripada rakan-rakan,” kata pengerusi Pakatan Harapan itu hari ini yang menolak kenyataan VistaJet International menafikan jet Dr Mahathir disabotaj dan terus menyediakan pesawat lain kepadanya.
Dr Mahathir berkata, beliau terpaksa menghubungi 3 rakannya yang biasanya meminjamkan pesawat mereka kepadanya.
“Tetapi, kali ini mereka enggan meminjamkan pesawat mereka dan salah seorangnya memberitahu beliau ditekan supaya tidak meminjamkan pesawatnya kepada saya,” katanya.
Beliau berkata, sebaliknya, seorang rakan yang menyewa pesawat ke Singapura bersetuju menerbangkannya ke Langkawi.
Dr Mahathir juga menolak kenyataan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) berlaku kesilapan teknikal pada pesawat itu – kebocoran cecair di roda depan – adalah kesilapan teknikal “kecil dan biasa”.
“Ini perkara sangat serius kerana ia boleh menyebabkan pesawat itu terbabas daripada landasan ketika hendak berlepas atau mendarat. Tetapi mujur juruterbang mengesan kebocoran itu sebelum pesawat berlepas dan memberitahu saya penerbangan tidak boleh diteruskan dalam keadaan itu.”
Beliau mempersoalkan penafian CAAM bukan dibuat berdasarkan siasatan, tetapi sekadar menyangkal dakwaannya.
“Saya tidak mendakwa CAAM membuat sebarang kesilapan. Saya tahu CAAM tidak mempunyai kawalan keselamatan ketat di seluruh negara bagi memastikan pesawat tidak boleh diusik,” katanya.
Jumaat lalu, Dr Mahathir mendakwa berlaku cubaan untuk mensabotaj jetnya ke Langkawi, sehari sebelum beliau menyerahkan kertas pencalonannya. Susulan itu, Kementerian Pengangkutan mengarahkan siasatan dijalankan.
Hari ini, Dr Mahathir berkata, ini kali pertama jetnya menghadapi masalah teknikal serius.
“Saya sudah terbang beribu kali. Tidak pernah berlaku sebarang kejadian serius yang memaksa pesawat tidak boleh diterbangkan. Ini kali pertama saya mengalami kerosakan pada tayar depan pesawat.
“Kadang-kadang enjin mungkin tidak berfungsi dengan baik dan ia mungkin boleh dibaiki tepat pada masanya, tetapi kerosakan di tayar depan pesawat itu sangat serius,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan dari Langkawi, di mana beliau akan bertanding sebagai calon pada 9 Mei ini.
Dr Mahathir turut menepis dakwaan jet itu adalah miliknya.
“Saya tiada RM2.6 bilion dalam akaun saya untuk dibelanjakan ke atas jet peribadi atau kapal layar mewah,” katanya yang jelas merujuk kepada dakwaan dikaitkan dengan 1MDB.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan