PETALING JAYA: Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz
melabelkan bekas menteri kabinet yang bersama-sama mengkritik kerajaan
sebagai 'hikpokrit'.
"Mereka merupakan yang paling banyak mendapat manfaat semasa Tun Dr
Mahathir Mohamad menjadi presiden Umno dan perdana menteri," katanya
dipetik The Star.
Nazri berkata demikian merujuk kepada bekas Menteri Perdagangan
Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz, bekas menteri
kewangan, Tun Daim Zainuddin, dan juga bekas menteri, Tan Sri Dr Rais
Yatim.
Ketiga-tiga mereka adalah menteri kabinet semasa tempoh 22 tahun Dr Mahathir menjadi perdana menteri.
Nazri juga berkata, ketiga-tiga mereka kini menentang kerajaan bukan
sesuatu yang menghairankan kerana mereka sebelum ini pun sebahagian
daripadanya.
"Mereka mungkin tidak mendapat apa-apa semasa Datuk Seri Najib Tun
Razak menjadi perdana menteri, jadi mereka amat tidak berpuas hati,"
katanya.
Nazri turut mempersoalkan keikhlasan ketiga-tiga individu berkenaan dalam berkempen bersama-sama dengan Pakatan Harapan.
"Ironinya sekarang ialah mereka adalah sebahagian daripada kumpulan (PKR) yang satu ketika dahulu pernah menentang mereka.
"Bagi saya, orang-orang ini tidak relevan dan hanya alat untuk pembangkang," katanya.
Terdahulu pada Khamis, sebuah portal berita melaporkan bahawa
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memberi
amaran bahawa Rafidah, Rais dan Daim boleh dipecat daripada parti itu
kerana kritikan mereka terhadap Barisan Nasional (BN).
Bagaimanapun, Tengku Adnan berkata, sebarang tindakan yang akan diambil
terhadap ketiga-tiga mereka akan diputuskan berdasarkan kes
memandangkan Umno merupakan parti yang adil.
Rafidah menerusi posting di Facebook pada Selasa lalu, menggesa rakyat
Malaysia untuk menolak Umno dan menyerahkan mandat kepada Pakatan
Harapan untuk memerintah negara.
Isnin lalu, Rais turut mengkritik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana
memotong gambar Dr Mahathir daripada papan tanda pembangkang.
Daim turut berkempen untuk pembangkang, dengan menggesa rakyat Malaysia mengundi Pakatan Harapan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan