KUALA LUMPUR: Istilah pengundi hantu sebenarnya tidak wujud dan hanya
satu propaganda untuk menimbulkan keraguan dalam kalangan rakyat, kata
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Mohd Hashim Abdullah.
Beliau berkata, istilah itu digunakan oleh pihak tertentu untuk memberi gambaran negatif terhadap SPR.
"Hakikatnya, ada segelintir pemilih berdaftar yang telah berpindah dan
tidak lagi bermastautin di kawasan yang mana mereka telah mendaftar
sebagai pemilih atau ada pemilih yang bertukar alamat bahagian pilihan
raya.
"Ada juga pemilih berdaftar ini hanya pulang ke kawasan berkenaan dalam
tempoh empat atau lima tahun, berkemungkinan penduduk di kawasan
berkenaan tidak lagi mengenali pemilih itu dan seterusnya membuat
tanggapan dan dakwaan bahawa pemilih itu adalah pengundi hantu.
"Sedangkan, pada hakikatnya, mereka ini adalah pemilih berdaftar yang
sah dari segi undang-undang," katanya yang mengulas tohmahan sesetengah
pihak berhubung pengundi hantu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Dalam laman sesawang suruhanjaya itu, SPR berkata pihaknya sentiasa
menjalankan pelbagai usaha secara berterusan bagi memastikan Daftar
Pemilih Induk bersih dan kemas kini terutama daripada senarai mereka
yang telah meninggal dunia, yang sering kali dipolitikkan oleh pihak
tertentu sebagai pengundi hantu.
Beliau berkata SPR telah menghantar pasukan penyemak ke balai polis di
seluruh negara untuk mendapatkan salinan permit menguburkan bagi
mengesahkan seseorang itu telah meninggal dunia termasuk mengeluarkan
pengumuman supaya waris pemilih yang telah meninggal dunia mengemukakan
salinan sijil kematian waris.
Katanya, bagi Sarawak, SPR telah menghantar pasukan penyemak ke rumah
panjang untuk mengenal pasti mana-mana anggota masyarakat rumah panjang
yang telah meninggal dunia tetapi tidak dilaporkan kepada Jabatan
Pendaftaran Negara.
Dalam pada itu, SPR berkata mana-mana rakyat yang melakukan penipuan
dan penyamaran sebagai pengundi boleh dihukum penjara tidak kurang dua
tahun atau didenda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali di bawah
Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan