PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menafikan sekeras-kerasnya
dakwaan kononnya berlaku pengiraan undi awal di Parlimen P075 Bagan
Datuk, Perak selepas waktu pengundian awal Sabtu lepas.
Pengerusinya Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata semua proses
pengiraan undi awal hanya akan dilakukan bermula 4.00 petang pada hari
mengundi Rabu ini di pusat pengiraan undi awal yang ditetapkan SPR.
“Sebelum proses pengiraan awal dibuat, semua pihak berkepentingan
terutama calon yang bertanding akan dimaklumkan secara rasmi oleh SPR
untuk hadir dan menyaksikan proses pengiraan undi awal tersebut,”
katanya dalam kenyataan hari ini.
Berdasarkan siasatan SPR, Hashim berkata semua petugas pilihan raya yang berkenaan sudah mematuhi semua prosedur ditetapkan.
Katanya sebaik sahaja waktu pengundian awal ditutup tepat 5.00 petang,
petugas SPR mengemas dan memeterai semua peti undi awal di hadapan semua
ejen calon yang bertanding dan membawa peti undi tersebut ke tempat
simpanan yang selamat iaitu di Balai Polis Hutan Melintang.
Bagaimanapun, Hashim berkata semasa proses penyimpanan peti undi awal
tersebut, berlaku gangguan kumpulan termasuk calon daripada sebuah parti
bertanding terhadap urusan penyimpanan peti undi awal itu kononnya
terdapat penyelewengan dilakukan petugas SPR.
“SPR menyelar gangguan pihak terbabit terhadap petugas pilihan raya di
parlimen berkenaan dan menganggap tuduhan tersebut cuba menimbulkan
kegemparan dalam kalangan masyarakat dengan tujuan menarik perhatian
pengundi,” katanya.
Beliau berkata untuk rekod, jumlah keseluruhan pengundi awal di Kem Hutan Melintang yang didaftarkan ialah seramai 1,541 orang.
“Bagaimanapun, terdapat seramai 508 orang pengundi awal tersebut memohon pengundian secara pos,” katanya.
Menurut Mohd Hashim jumlah pengundi awal yang layak mengundi semasa
hari pengundian awal ialah 1,033 orang namun hanya 825 pengundi sahaja
hadir manakala 208 lagi tidak hadir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan