Perubahan Melayu yang diimpikan oleh Dr Mahathir
minggu depan kelihatannya sangat bergantung kepada diagnosis 7
'penyakit' Melayu yang beliau jelaskan 48 tahun lalu.
Pada 1970, Dr Mahathir Mohamad menulis sebuah buku bertajuk “The Malay Dilemma”. Edisi bahasa Melayu muncul pada 1982, diterjemahkan oleh Ibrahim Saad.
Kita tidak dapat menafikan, buku tersebut mempunyai pelbagai wacana yang boleh diperdebatkan benar salahnya.
48 tahun kemudian, Dr Mahathir yang kini bertanding untuk pilihan raya umum ke-14 sedang berdepan semula dengan beberapa muatan yang pernah diutarakan dalam “Dilema Melayu”.
Untuk memahami apa yang dimaksudkan oleh kenyataan ini, saya akan menurunkan beberapa pandangan umum Dr Mahathir mengenai orang Melayu pada waktu itu.
Pertama, Dr Mahathir dalam Dilema Melayu menghujahkan bangsa Melayu bersikap acuh tidak acuh. Dalam hal ini orang Melayu pernah dianggap beliau sebagai tidak mampu bersaing, dan malah bersikap tidak peduli.
Sikap acuh tidak acuh dan sambil lewa ini merupakan antara sebab orang Melayu terkebelakang, tulis beliau, “di samping perasaan tidak suka menghadapi kenyataan hidup yang penuh cabaran, terdapat juga sikap tidak peduli yang sudah lazim di kalangan mereka”.
Kedua, masyarakat Melayu juga didakwa sebagai bangsa yang statik, khususnya masyarakat Melayu di luar bandar.
Dalam tahun 1970, orang Melayu lebih banyak menghuni di kawasan pedalaman, dan terhindar dari proses urbanisasi yang menuntut mereka cergas, berpengetahuan dan berubah. Akibatnya mereka lebih selesa untuk tidak melakukan apa-apa.
Dr Mahathir menulis: “Pentingnya proses urbanisasi dalam kemajuan sesuatu masyarakat terletak kepada organisasi kompleks yang terdapat di bandar-bandar dan di pekan-pekan. Ini menyebabkan penduduk bandar lebih cergas dan berpengetahuan.
“Sebaliknya, penduduk-penduduk luar bandar menjadi terpisah daripada pengalaman-pengalaman ini dan mereka terikat dengan pola hidup lama yang menjadi ciri kehidupan di luar bandar. Tingkat pengetahuan mereka lebih rendah dan keupayaan untuk berubah adalah terhad.”
Ketiga, Dr Mahathir seterusnya menegaskan bangsa Melayu mempunyai satu lagi ciri yang jika tidak diberi perhatian boleh mengakibatkan kesusahan. Ciri yang dimaksudkan itu adalah semberono yang kita kenali sebagai “amuk”.
Meskipun amuk ini dianggap sesuatu yang ekspresif oleh beliau, ia masih lagi sebuah aksi yang “membabi buta” dan satu tindakan yang memutuskan sejarah lalu dan meletakkan masa hadapan dalam keadaan yang kabur:
“Amuk merupakan curahan perasaan jasmaniah mengenai konflik yang terdapat di dalam diri orang Melayu yang timbul disebabkan pematuhan yang terus-terusan terhadap undang-undang dan peraturan dalam kehidupannya.
Mengamuk merupakan akibat daripada kegetiran dalam hatinya yang meluap-luap dan melimpah ruah. Mengamuk merupakan putusnya ikatan yang mengikatnya. Itulah pelepasan diri yang terakhir dan yang selengkapnya dari segi latihan dan pertimbangan akal fikiran.
Tekanan dan kongkongan terhadap dirinya telah dilepaskan, maka dia sudah tidak mempunyai tanggungjawab lagi. Tidak ada suatu apa yang penting. Dia bebas lepas. Ikatan dengan masa lampau sudah putus dan masa depan tidak mempunyai apa-apa makna. Yang pentingnya hanyalah sekarang.
Dengan pengertian biasa dia naik darah. Dalam keadaan tidak sedarkan diri itu dia menyerang secara membabi-buta.”
Perenggan di atas menunjukkan Dr Mahathir menanggapi amuk sebagai sesuatu yang negatif, dan beliau malah menyatakan proses untuk orang Melayu benar-benar mengamuk itu “tersangat perlahan” dan orang Melayu “mungkin akan mati sebelum pergolakan dalam dirinya itu meletus”.
Keempat, sejak 1970 lagi, Dr Mahathir sudah mengenal pasti bangsa Melayu sebagai bangsa yang suka memberi perhatian kepada hal-hal trivia.
Dalam hal ini orang Melayu lebih suka hal remeh berbanding pengisian. Dr Mahathir dikutip sebagai menulis: “Dalam tatasusila tingkah laku Melayu rupa bentuk lebih penting dan lebih disukai daripada isi kandungan yang sebenarnya.”
Kelima, Dr Mahathir juga menulis bahawa orang Melayu adalah sebuah bangsa yang sangat pasrah. Beliau merujuk perangai Melayu ini sebagai “kepercayaan kepada takdir”, yang menyebabkan orang Melayu ini satu bangsa yang “serba mungkin”.
Oleh sebab itu, baik dan buruk “diterima dengan sikap toleran dan sabar sahaja tanpa membantah”.
Sikap pasrah yang negatif ini “tidak menggalakkan usaha besar untuk mengadakan perubahan, kepercayaan ini tidak memberontak”.
Keenam, orang Melayu juga menurut pendapat Dr Mahathir adalah bangsa yang “tidak tegas” justeru “tiada keberanian dan kesanggupan”.
Bekas perdana menteri Malaysia dan calon perdana menteri Pakatan Harapan ini mengarang dalam tahun 1970 sebuah buku untuk menyelar sikap tidak tegas ini: “Ketegasan pendirian untuk melanggar, atau berundur atau untuk bertahan yang dipengaruhi oleh pemahaman yang jelas mengenai sesuatu keadaan, sebagaimana diterangkan oleh Plato, bukanlah sebahagian daripada keperibadian Melayu,
Sesungguhnya ketegasan sama sekali bukanlah sifat orang Melayu. Oleh sebab itu jenis keberanian yang memerlukan ketegasan dan memegang teguh kepada prinsip jarang ada di kalangan orang Melayu.”
Ketujuh, Dr Mahathir mengharapkan feudalisme yang berfaedah atau feudalisme yang “memudahkan perubahan”. Dalam hal ini “feudalisme positif” yang mana Dr Mahathir merujuk bagaimana raja-raja Melayu menganut agama Islam dan membawa sama seluruh umat Melayu untuk berubah, pernah sahaja berlaku.
Namun beliau juga mengingatkan dalam Dilema Melayu bahawa dalam masyarakat feudal, “jika pemimpinnya gagal, maka tiadalah harapan lagi bagi rakyat jelata”.
Tujuh ciri ini antara lain dapat dikutip dan dibaca dengan jelas di dalam karya Dr Mahathir tersebut. Sikap atau ciri ini dirumuskan sekali lagi adalah, bangsa Melayu itu:
- acuh tidak acuh
- statik
- semberono
- remeh
- pasrah
- tidak tegas
- berfeudalisme negatif
Tiada malu kolektif
Sekiranya kita mengambil 7 poin di atas sebagai kerangka dan kayu ukur untuk menentukan sama ada orang Melayu masih atau sudah keluar dari perangkap dilemanya, maka 7 hal yang disebutkan oleh Dr Mahathir di atas pada 1970 akan menjadi penentu ada atau tidaknya tsunami Melayu dalam pilihan raya umum minggu hadapan.
Perubahan Melayu yang diimpikan oleh Dr Mahathir pada 2018 kelihatannya sangat bergantung kepada diagnosis atau gejala yang beliau sendiri kesani pada tahun 1970.
Oleh sebab kita sudah mengenali gejalanya, apakah namanya penyakit ini?
Penyakit ini dinamai “penyakit watak tertawan”.
Penyakit ini terjadi oleh antara lain bakteria jahat yang pernah disebutkan oleh Profesor Syed Hussein Alatas dalam sebuah tulisannya yang kurang dikenali orang, “Watak Tertawan di Negara Membangun”.
Alatas dalam makalah itu mengeluh betapa tiada dalam kalangan bangsa Melayu “perasaan malu secara kolektif”.
Malu ini harus ada bukan sahaja pada kekotoran persekitaran tetapi juga pada kekotoran secara rohani: “…Jika perasaan malu kolektif itu hidup, ini akan memberikan pengaruh yang besar kepada pihak perancang dan mereka sendiri akan terpengaruh oleh rasa malu itu.
“Misalnya, seorang pegawai berjawatan tinggi pergi ke pasar, dia tidak akan mencuri di pasar kerana dia berasa malu. Namun, dia tidak berasa malu untuk mencuri atau menggelapkan wang kerajaan melalui rasuah. Dia juga tidak malu negaranya dilanda rasuah.
“Perasaan malu yang kolektif ini yang perlu dibangkitkan, dibicarakan, dan diulas secara berterusan sehingga menjadi penggerak masyarakat. Malangnya perasaan malu seperti ini tidak ditunjukkan oleh watak tertawan.”
Alatas, turut membangkitkan perihal kebertanggungjawaban. Menurut beliau, telus sahaja tidak memadai untuk orang Melayu. Ketelusan itu bertujuan moral dan ia berkait rapat dengan masalah rasuah, dan “penyelewengan berfikir” yang disogokkan demi mempengaruhi pemikiran.
Alatas menyatakan hanya kemerdekaan dapat mengeluarkan kita dari penyakit “Watak Tertawan” ini.
Ubat Doktor Mahathir
Pada 2002, Dr Mahathir melakukan inisiatif untuk merawat penyakit Watak Tertawan ini dalam konferens “Isu dan Proses Pembukaan Minda Umat Melayu Islam.
Satu-satunya penawar yang ada untuk umat Melayu ini adalah “minda yang terbuka”. Hanya minda yang terbuka dapat menjadi ubat dan pembalik kepada minda tertawan.
Sebagai doktor, Mahathir menyatakan: “Minda yang terbuka ialah satu sikap yang baik yang perlu dimiliki oleh orang Melayu Islam. Namun minda yang terbuka harus disampingi oleh keupayaan menilai dan memilih yang jernih dan membuang yang keruh. Yang benar dan nyata harus diakui walaupun pedih dan yang benar dan nyata harus memandu pemikiran yang terbuka.
Akhirnya perubahan perlu diterima jika minda yang terbuka hendak dihasilkan nikmat, termasuk perubahan budaya bangsa tanpa menghilangkan identiti bangsa.”
Keberkesanan reaksi ubat Minda Terbuka inilah yang akan menyaksikan sama ada wujud atau tidak tsunami Melayu, untuk melerai diri dari “Watak Tertawan”.
Apa yang menggoncang perasaan adalah, Dr Mahathir sendiri terpaksa menelan ubat pahit “Minda Terbuka” ini demi merawat penyakit “Watak Tertawan”.
Namun demikian, apakah penyakit ini dapat disembuhkan atau terus membusung menjadi kanser yang membarah dan sudah berada di tahap kritikal hanya akan dapat ditentukan pada 9 Mei 2018.
Oleh sebab itu kita dapat mengatakan, ini adalah eksperimen klinikal paling nekad dan penuh dilema daripada seorang doktor kepada pesakitnya.
*Faisal Tehrani adalah nama pena Dr Mohd Faizal Musa dan penulis 7 buku yang diharamkan kerajaan Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan