HALAMAN SANTAI

Ahad, 7 Oktober 2018

Letupan di Perak tiada kaitan dengan aktiviti kuari

THE MALAYSIAN TIMES
 


IPOH: Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) Perak menafikan insiden letupan dan gegaran di Ipoh dan kawasan sekitar Perak mempunyai kaitan dengan aktiviti kuari.

Pengarah JMG Perak Datuk Ir Ahmad Zukni Ahmad Khalil berkata aktiviti kuari di negeri ini telah dilaksanakan dan dikawal mengikut Peraturan-peratuaran Kuari Perak 1992.

“Peraturan itu jelas mengenakan syarat yang ketat dalam aktiviti kuari dari aspek peletupan seperti had ledakan dan gegaran yang dibenarkan.

“Dan setiap aktiviti kuari mesti ada skim pengkuarian yang disediakan oleh jurutera perunding yang kompeten dan semua permohonan untuk operasi kuari di negeri Perak ini akan dibawa ke jawatankuasa penasihat pengkuarian yang dipengerusi pengarah Pejabat Tanah dan Galian, (PTG)” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bagi menjelaskan isu letupan yang dikaitkan dengan aktiviti pengkuarian dan menjadi viral dalam sosial media semalam.

Ahmad Zukni menegaskan aktiviti pengkuarian di negeri ini juga turut diawasi jabatan berkaitan seperti PTG dan pihak polis dalam mengawal dari segi letupan dan teknikal.

Katanya, namun dalam mengambil berat ke atas insiden tersebut dan kebimbangan rakyat Ipoh dan sekitar Perak, JMG Perak telah menjalankan siasatan ke tapak kuari yang berhampiran iaitu di Simpang Pulai untuk memastikan ia tiada kaitan dengan aktiviti pengkuarian.

“Saya tegaskan, aktiviti pengkuarian hanya dibenarkan sekitar 12 tengah hari hingga 5 petang tetapi apa yang berlaku semalam adalah antara 11.15 hingga 11.30 pagi.

“Malah jika ia adalah letupan daripada kuari bunyi letupan dan gegaran hanya dirasai sekitar kawasan pengkuarian sahaja dan tidak mungkin dirasai sehingga Taiping sebagainya,” katanya.

Beliau juga berkata punca bunyi letupan dan gegaran ini masih lagi misteri malahan jabatan berkaitan pengukuran gempa bumi turut menafikan.

Sementara itu, Presiden Kehormat Seumur Hidup Persatuan Kuari Negeri Perak Datuk Musa Nordin yang turut menghadiri sidang media itu berkata bahawa industri kuari sentiasa mematuhi garis panduan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat .

“Kita perlu mendapatkan kelulusan Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Tanah dan Galian, dan polis sebelum membeli bahan peledak dan menjalankan operasi peletupan kuari” katanya.

Di Perak, terdapat 76 kuari yang beroperasi iaitu di Ipoh, Manjung, Batang Padang dan Kuala Kangsar.— Bernama

Tiada ulasan: