PRK RANTAU- Barisan Nasional (BN) perlu bekerja keras
memastikan kemenangan Datuk Seri Mohamad Hasan pada Pilihan Raya Kecil
(PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, 13 April depan.
Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, sekiranya Mohamad
kalah di Rantau, ia menandakan BN akan kehilangan tampuk kepimpinan yang
akan mengemudi parti itu kelak.
“Pemimpin PH yang datang ketika penamaan calon bukan calang-calang,
ada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Tan
Sri Muhyiddin Yassin kerana mereka tahu yang lawan ini ‘taiko’ daripada
UMNO.
“Bagi mereka kalau boleh kalahkan Tok Mad, ‘kepala’ sudah dipotong.
Sebab itu kita kena pastikan ‘kepala’ kita jangan dipotong,” katanya
dalam ceramah di Pusat Daerah Mengundi Pekan Sagga, semalam.
Tambah bekas Menteri Belia dan Sukan itu, kerusi DUN Rantau penting
untuk dipertahankan kerana ia melibatkan maruah Mohamad sebagai Timbalan
Presiden UMNO yang kini menjalankan tugas Presiden UMNO.
“Ini peperangan maruah di mana calon yang kita letak ini lambang
kepimpinan parti kita. Kebetulan kerusi ini ditandingi oleh Tok Mad yang
menjalankan tugas Presiden UMNO,” katanya lagi.
PRK Rantau menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Mohamad
dengan 3 calon lain, iaitu Dr. S. Streram yang mewakili PH dan 2 calon
Bebas, Malar Rajaram dan Mohamad Nor Yassin. -MalaysiaGazette
PETALING JAYA: Penganalisis politik percaya Barisan Nasional (BN) akan
tampil dengan momentum dan rekod lebih menyerlah berbanding calon lain,
termasuk Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan
Undangan Negeri (DUN) Rantau akan datang.
Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Azmi
Hassan berkata, calon BN, Mohamad Hassan mempunyai kelebihan dan
terkehadapan berbanding calon lain kerana beliau mendapat restu padu
daripada ahli dan parti komponen.
“Ini termasuk juga sokongan daripada PAS,” katanya kepada FMT.
Katanya, keadaan ini berbeza dengan PH yang dilihat tidak selesa dengan calon mereka sendiri, Dr Streram Sinnasamy.
“Pencalonan beliau (Streram) menerima tentangan dalaman, terutama sekali
daripada PKR kerana ada yang berpendapat, PH perlukan calon Melayu di
situ,” katanya.
Beliau berkata, ini kerana PH berkemungkinan besar boleh meraih sokongan
padu pengundi Cina dan India, tetapi mereka memerlukan faktor calon
Melayu untuk menarik sokongan pengundi kumpulan itu.
“Perlu juga diingatkan Mohamad adalah anak tempatan Rantau dan juga
bekas menteri besar negeri itu. Faktor itu sahaja boleh menarik sokongan
pengundi bukan Melayu,” katanya.
Justeru kata Azmi, momentum positif akan lebih berpihak kepada calon BN,
dengan ditambah oleh “aura” Mohamad yang tidak mempunyai liabiliti
politik dan sukar ditandingi Streram.
Sebelum ini, Mohamad yang merupakan pemangku presiden Umno mengumumkan
akan mempertahankan kerusi DUN berkenaan pada PRK yang akan berlangsung
pada 13 April ini.
Manakala, Streram yang juga timbalan ketua PKR Rembau, diumumkan sebagai calon PH.
Beliau merupakan calon PKR bagi kerusi tersebut pada pilihan raya umum 9
Mei lepas dan bertanggungjawab memfailkan petisyen bagi mencabar
keputusan pilihan raya itu di Mahkamah Tinggi Seremban pada 23 Mei tahun
lalu.
Pada 16 September lalu, Mahkamah Tinggi Seremban mengisytiharkan kemenangan Mohamad bagi kerusi itu terbatal dan tidak sah.
Mohamad diumumkan menang selepas Streram gagal menghantar borang
penamaan calon kerana tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan
disebabkan tidak mempunyai pas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Dalam pada itu, penganalisis politik, Kamarul Zaman Yusoff berkata,
bukan sahaja aura yang dimiliki oleh Mohamad, tetapi jasanya kepada
negeri itu boleh menjamin beliau mengekalkan kerusi tersebut.
“Bukan saja jasanya kepada orang Melayu tapi juga orang bukan Melayu,” katanya ketika dihubungi FMT.
Beliau berkata, PH mungkin berdepan dengan momentum yang lebih perlahan disebabkan konflik dalaman yang berlaku parti itu.
“Selain pertikaian dalaman, ada antara parti komponen PH yang tidak
menyokong calon mereka sendiri, apatah lagi dalam PKR itu sendiri ada 2
kem yang berpecah. Bagaimana ini boleh membantu sangat calon PKR ini,”
katanya.
1. Merujuk kepada kenyataan Profesor Datuk Dr. Mohammad Redzuan
Othman, Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE) dalam satu sidang
media di Kedah pada 21 Mac 2019 lepas, yang menyatakan bahawa sokongan
rakyat terhadap Kerajaan Pakatan Harapan menurun, adalah sesuatu yang
perlu diberi perhatian serius oleh Pimpinan Tertinggi Pakatan Harapan
Pusat. Namum, menurut beliau lagi, kemerosotan sokongan rakyat ini
bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana dasar naluri manusia yang
mahukan sesuatu perubahan itu drastik dalam tempoh yang singkat, tetapi
sebagai kerajaan persekutuan yang baru, sewajarnya perubahan ketara yang
lebih baik bagi kehidupan rakyat sepatutnya berlaku dan dirasai.
2. Walaupun kenyataan beliau itu dibuat secara umum tanpa merujuk
kepada mana-mana bahagian pentadbiran kerajaan dan parti politik, tetapi
apa yang penting kepada pendokong dan penyokong Pakatan Harapan di
seluruh negara adalah tindakan pantas, sistematik, berhemah, konsisten
dan tegas untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang timbul di pelbagai
peringkat. Setiap pemimpin peringkat tertinggi Pakatan Harapan
sewajarnya dapat membaca dan menghidu keresahan para pendokong dan
penyokong yang telah lama dan banyak bersuara tentang kekurangan,
kelemahan dan kelompangan dalam beberapa perkara dan isu pentadbiran.
Lebih malang lagi jika kelemahan pentadbiran ini berkait rapat dengan
perkhidmatan yang sepatutnya diberikan kepada rakyat di kawasan-kawasan
parlimen, kampung-kampung oleh pimpinan-pimpinan peringkat bahagian atau
cawangan, disebabkan ketiadaan struktur pentadbiran yang diselaraskan
antara parti Pakatan Harapan.
3. Antara sekian banyak kelemahan
adalah kelemahan yang berlaku dalam Pakatan Harapan negeri sendiri bagi
negeri tertentu. Dengan usia kemenangan yang menjangkau 1 tahun,
sepatutnya negeri telah mempunyai struktur pentadbiran Pakatan Harapan
Negeri yang mantap dan tersusun. Struktur ini juga sewajarnya telah
melebar dengan kemas ke setiap kawasan, cabang atau bahagian.
Jawatan-jawatan seperti Penyelaras Parlimen, Penyelaras DUN dan
biro-biro yang selari dengan keperluan kementerian-kementerian di
peringkat pusat, telah dianggotai bersama oleh rakan-rakan Pakatan
Harapan Negeri. Mesyuarat diperingkat PH Negeri sepatutnya memandu dan
boleh dijadikan panduan oleh bahagian, cabang atau kawasan. Tetapi amat
malang jika masih ada pimpinan PH Negeri yang gagal mengadakan mesyuarat
dengan korum yang penuh untuk membuat beberapa keputusan penting dan
itu pun berlaku sekali dua sahaja dalam tempoh 10 bulan ini.
4.
Justeru, sebagai pendokong dan penyokong perubahan bersama-sama rakyat
yang telah memberi mandat kepada parti-parti dalam Pakatan Harapan, saya
mencadangkan pihak kepimpinan tertinggi PH terutamanya Majlis Presiden
PH supaya menilai dan menggantikan mana-mana pengerusi Pakatan Harapan
Negeri yang tidak mempedulikan kelestraian dan kelangsungan politik
Pakatan Harapan di peringkat negeri. Ini adalah amat penting dan sangat
serius untuk diberikan perhatian memandangkan ia adalah suara akar umbi
yang telah bosan dengan ketidakupayaan dan kepimpinan yang mendatar
tanpa visi, misi dan tanpa anjakan keberhasilan.
Syed Mohd Al-Amin bin Tuan Sharif Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat Terengganu
KUALA LUMPUR: Seorang wakil rakyat Sarawak memberi amaran kepada
Putrajaya agar jangan menganggap rakyat Sarawak bodoh selepas kerajaan
persekutuan menarik balik projek pembinaan 3 jambatan atas alasan
kekangan wang.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Nancy Shukri
berkata, beberapa wakil rakyat Sarawak membangkitkan isu pembinaan
jambatan di Igan, Rambungan dan Batang Lupar dan pembangunan lain di
Dewan Rakyat tetapi alasan diberi sama sahaja.
“Kerajaan
persekutuan atau mana-mana parti memerintah harus beri kemudahan ini
untuk kegunaan rakyat Sarawak. Tidak bolehlah kata tidak ada duit. Sudah
beberapa kali isu ini dibangkitkan di Dewan Rakyat, menteri asyik kata
tunggu lagi.
“Kami bukannya bodoh, cakap duit tidak ada tetapi
sebenarnya banyak duit. Kalau jadi pemimpin, jadilah pemimpin untuk
semua rakyat. Masa pilihan raya bolehlah bergaduh untuk menang tetapi
lepas pilihan raya janganlah berdendam,” katanya kepada FMT.
Terdahulu,
Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg mengkritik Putrajaya dan
menggelarnya buruk siku selepas menarik balik projek pembinaan 3
jambatan itu dan beberapa projek lain.
Menurut Abang Johari,
tindakan menarik balik pembinaan jambatan itu selepas diluluskan sewaktu
pentadbiran Barisan Nasional (BN) dilihat janggal ketika Putrajaya
bersungguh-sungguh mahu menghasilkan kereta terbang pertama negara.
Nancy
berkata, bukan setakat 3 projek jambatan itu sahaja yang ditarik balik,
projek-projek pembangunan kecil lain, yang bernilai RM20,000 hingga
RM30,000 juga dibatalkan.
“Betapa kejamnya kerajaan yang ada
pada hari ini. Saya kata demikian kerana kami merasainya, saya bersyukur
kerana kerajaan Sarawak dapat berikan kami peruntukan. Jika tidak
diberikan peruntukan, kami turun ke kawasan tidak ada duit,” katanya.
Nancy
berkata, walaupun negerinya dikatakan ketinggalan namun banyak projek
hendak dilaksanakan disitu dan banyak pihak hendak berkawan dengan orang
Sarawak.
“Mereka hendak gunakan sebagai proksi. Saya cakap
betul, jangan perbodohkan kami, kerana ini adalah hak orang Sarawak,”
katanya.
Menurut Nancy, mana-mana pihak mempersoalkan apakah
sumbangan Barisan Nasional (BN) selama 55 tahun di Sarawak harus melihat
semula diri mereka, memandangkan setiap pembangunan di negeri berkenaan
dilakukan kerajaan terdahulu.
“Ada yang kata BN memerintah
selama 55 tahun, apa yang BN lakukan. Jangan malukan diri sendiri,
jangan soal kami sedemikian. Jika tidak kerana BN, anda bersekolah di
mana? Jalan mana yang anda lalui? Setakat ini mana dia legasi dari PH?
“Jangan
sombonglah, semua keindahan dan pembangunan di Sarawak itu daripada
kerajaan BN. Saya marah sebab kami sudah buat kerja. Kami dari Gabungan
Parti Sarawak (GPS) tidak malu berjalan mendongakkan kepala. Kami bangga
kerana tahu sudah jalankan tugas dengan baik,” katanya.
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan
Undangan Negeri (DUN) Rantau, Dr. S. Streram didesak membuktikan dakwaan
anggota MIC telah menyerang seorang ketua ranting PKR semalam.
Timbalan Presiden MIC, M. Saravanan berkata Streram perlu membuktikan tuduhan serius tersebut.
Beliau turut berkata MIC akan bertindak mengeluarkan surat saman
kepada Streram sekiranya gagal membuktikan tuduhan tersebut dalam tempoh
24 jam.
“Kementerian Dalam Negeri berada di bawah Pakatan Harapan. Jika ahli
MIC melakukan serangan itu (terhadap ketua ranting PKR), tangkap dia dan
umumkan dia ialah ahli MIC.
“Dalam masa 24 jam Streram perlu membuktikan dakwaannya atau memohon
maaf,” kata Saravanan seperti lapor media di Rantau pada Sabtu.
Terdahulu, ketua ranting PKR Taman Cempaka, K. Suresh dilaporkan
diserang seorang lelaki ketika membersihkan sebuah kawasan belukar.
Beliau berjaya melepaskan diri dan mengalami kecederaan di lengan
kirinya.
Dalam satu ceramah, Streram dilaporkan mendakwa penyerang tersebut adalah dari kalangan anggota MIC.
PRK RANTAU – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri
(DUN) menyaksikan agenda penyatuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pas
ternyata benar dan semakin diperkukuhkan.
Semasa proses penamaan calon di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC)
Bandar Sri Sendayan, kelihatan tiga logo iaitu BN-UMNO- Pas disatukan
dalam satu bendera.
Malah beberapa kepimpinan Pas setia menemani calon BN, Datuk Seri
Mohamad Hasan antaranya Naib Presidennya, Idris Ahmad, dan Ketua Dewan
Ulama Datuk Mahfodz Mohamed.
Turut kelihatan bekas Exco Selangor dan bekas ADUN Selat Kelang, Dr Halimah Ali.
Hadir mengiringi Mohamad adalah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad
Zahid Hamidi dan bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun
Hussein selain kepimpinan UMNO antaranya Ketua Pergerakan Pemuda UMNO,
Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk
Noriani Ahmad.
Ini kerjasama ketiga Pas turun menyokong calon BN, dalam siri PRK antaranya di Cameron Highlands, Semenyih dan DUN Rantau.
Kehadiran Unit Amal Pas yang bertungkus lumus menjaga kesesakan
ratusan penyokong BN dan Pas juga membuktikan bahawa agenda penyatuan
ummah yang turut menerima restu MCA dan MIC kini semakin lancar.
-MalaysiaGazette
KUALA LUMPUR – Peguam Negara didakwa tidak sensitif apabila
memperakui Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bagi tujuan menduduki
Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP).
Meskipun, ia merupakan kuasa mutlak seorang Peguam Negara tetapi
persoalannya mengapa pengiktirafan itu dilakukan secara tiba-tiba dan
dalam ketika kajian pengiktirafan sijil itu sedang dilakukan oleh
Kementerian Pendidikan.
Penganalisis tempatan, Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata, akibat
daripada keputusan itu rakyat tertanya-tanya apakah kewajaran untuk
mengiktiraf UEC yang sejak sekian lama menjadi polemik.
Lantaran itu, Tommy Thomas perlu menjelaskan mengenai keputusan yang dibuat.
“Keputusan Peguam Negara menjadi perdebatan kerana ia dianggap
sebagai piecemeal atau pembaharuan tambahan dalam sesuatu sistem untuk
satu tujuan.
“Mengapa tiba-tiba dan sekarang?
“Satu lagi, bukankah kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia dijadikan
penanda aras dalam peperiksaan di Malaysia memandangkan peperiksaan itu
mempunyai tiga subjek teras pembinaan bangsa negara melalui subjek
bahasa Melayu, Sejarah, Pendidikan Islam/Moral.
“Jelaskan mengapa ia tidak dijadikan penanda aras dalam CLP?,” katanya kepada Malaysia Gazette.
Jelasnya, pengiktirafan UEC yang disamakan dengan Sijil Tinggi
Pelajaran Malaysia (STPM) memberi isyarat yang salah terhadap penduduk
majoriti Malaysia kerana ia dilihat sebagai satu cubaan untuk
‘menganggu-gugat’ sistem pe ndidikan negara dan mencabul Dasar
Pendidikan Negara.
“Dari segi undang-undang ia tidak salah. Tetapi dari segi moral ia
adalah titik hitam kepada sistem pendidikan, kepada perjuang bangsa
negara,” ujarnya yang kecewa dengan keputusan tersebut.
Mengulas lanjut, Kok Seong percaya, walaupun peguam-peguam negara
terdahulu mempunyai kuasa mutlak itu namun mereka mengambil banyak
pertimbangan kewajaran tentang negara dan kontrak sosial antara kaum,
lantaran itu UEC tidak pernah berada dalam pertimbangan.
Baru-baru ini, Tommy yang juga Pengerusi Lembaga Kelayakan
Profesional Undang-Undang Malaysia mengumumkan UEC pada tahap Senior
Middle 3 boleh diterima sebagai memenuhi syarat kelayakan di peringkat
Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi tujuan menduduki
Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP).
Syarat menduduki CLP bagi pemegang sijil kelayakan UEC ialah lulus
sekurang-kurangnya 2 mata pelajaran pada tahap Senior Middle 3 dan
memperoleh sekurang-kurangnya 5 kepujian di peringkat Sijil Pelajaran
Malaysia (SPM)/ O-Levels/setaraf yang diperoleh dalam 1 peperiksaan yang
sama.
Syarat ini hendaklah terpakai bagi semua pelajar yang mendaftar bagi
kemasukan program Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang selepas pengumuman
keputusan terdahulu pada 5 Jun 2018.
Bagi mengelak apa-apa kekeliruan, adalah perlu ditekankan bahawa 1
Jan 2021, semua pelajar sama ada pemegang sijil UEC atau kelayakan lain
yang diiktiraf, yang ingin menduduki peperiksaan CLP hendaklah memenuhi
syarat 5 kepujian di peringkat SPM/O-Levels/ setaraf, dan kelulusan yang
berkenaan di peringkat STPM/ UEC/A-Levels/setaraf yang diperolehi dalam
1 peperiksaan yang sama.
Menurut kenyataan itu, semua syarat lain adalah kekal terpakai
sebagaimana dinyatakan dalam “Garis Panduan Baharu Kelayakan dan Syarat
Untuk Layak Menduduki Peperiksaan CLP (Ijazah Undang-Undang dari United
Kingdom) dan Garis Panduan Kelayakan dan Syarat Pengiktirafan Pemegang
ijazah Undang-Undang dari Australia dan New Zealand Untuk Layak Mengikut
Akta Profesion Undang-Undang 1976.
Terdahulu, pada 5 Jun 2018, lembaga kelayakan itu mengumumkan
keputusan bahawa syarat menduduki CLP bagi pemegang sijil kelayakan UEC
mulai tahun 2021 ialah perlu mempunyai kelayakan UEC dan lulus penuh
sekurang-kurangnya dua mata pelajaran di peringkat STPM/A-Levels.
Pada masa ini, syarat kelayakan bagi pemegang sijil kelayakan UEC
untuk menduduki CLP adalah memperoleh sekurang-kurangnya tiga kepujian
di peringkat SPM/O-Levels yang diperoleh dalam satu peperiksaan yang
sama; atau kelayakan UEC dan lulus penuh sekurang-kurangnya 2 mata
pelajaran di peringkat STPM /A-Levels yang diperoleh dalam satu
peperiksaan sama. – MalaysiaGazette
KUALA LUMPUR – Pasukan Polis Marin (PPM) menggagalkan cubaan
menyeludup keluar 600 liter petrol bernilai RM1,320 dalam operasi
bersepadu di Pulau Kalapuan di Semporna, semalam.
Dalam satu kenyataan, Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohamad
Pajeri Ali berkata,
berdasarkan maklumat Unit Risikan Marin (URM),
pihaknya membuat pemeriksaan ke atas sebuah rumah tidak bernombor di
pulau berkenaan dalam operasi yang turut disertai pegawai daripada
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 20 tong masing-masing
mengandungi 30 liter petrol yang disyaki cuba diseludup ke negara jiran.
“Seorang lelaki tempatan berusia 16 tahun yang mendiami rumah
berkenaan turut ditahan kerana gagal menunjukkan sebarang lesen
pemilikan atau menjual barang kawalan berkenaan,” katanya dalam
kenyataan itu.
Beliau berkata, remaja terbabit dan barangan rampasan dibawa ke
Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan lanjut dan disiasat di bawah
Seksyen 20 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Sementara itu, Mohamad Pajeri berkata, operasi yang bermula 8 pagi
hingga pukul 4 petang itu turut disertai pegawai imigresen dan 184 orang
diperiksa, namun kesemuanya memiliki dokumen pengenalan diri sah. –
MalaysiaGazette
KUALA LUMPUR – Kira-kira 45,850 isi rumah telah mendapat
manfaat daripada menerusi Program Food Bank Malaysia yang dirintis oleh
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)
sehingga Februari lalu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail
berkata, menerusi program itu ia secara tidak langsung telah berjaya
menyelamatkan sebanyak 1,055 metrik tan lebihan makanan.
“Dalam melaksanakan inisiatif ini, Kementerian Perdagangan Dalam
Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah menghubungkan pihak
industri yang mana merangkumi bukan sahaja pasaraya malah pengeluar
produk makanan, restoran dan hotel dengan rakan strategik Kementerian
iaitu Mutiara Food Bank, Food Aid Foundation dan KECHARA Soup Kitchen
bagi membantu menyalurkan bantuan kepada golongan sasaran.
“Program ini bukanlah bersifat ad hoc ataupun one-off tetapi
merupakan program yang berterusan untuk memberikan manfaat kepada
golongan sasar iaitu miskin dan miskin tegar,” katanya ketika berucap
pada Majlis Pelancaran Food Bank Malaysia di sini hari ini.
Menurut Wan Azizah, susulan Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup
Negara (NACCOL) pada 15 Februari lalu, kerajaan telah memutuskan untuk
meluaskan Program Food Bank Malaysia yang dikendalikan oleh Kementerian
ini ke seluruh institusi pengajian tinggi.
Langkah itu katanya, sebagai menangani kos sara hidup yang dihadapi oleh mahasiswa yang kian meningkat.
Tambah beliau, Program Food Bank di Parlimen Pandan yang diadakan ini
akan digerakkan oleh Rakan Strategik Utama iaitu KECHARA Soup Kitchen
dan mendapat kerjasama dari Voice of Pandan (Petubuhan Suara Anak
Pandan).
Jelasnya, NGO-NGO berkenaan akan mengumpul bahan makanan dari
hypermarket dan supermarket yang terlibat dalam program ini dan
mengagihkannya sekali seminggu kepada kumpulan sasar kawasan Parlimen
Pandan.
Katanya lagi, pada masa ini, jumlah penerima yang didaftar melebihi
200 orang dan antara pasaraya yang terlibat dalam program berkenaan
iaitu Tesco, Econsave, The Store, NSK dan SEGI.
“Saya amat berbesar hati kerana mendapat kerjasama yang tidak
ternilai daripada pihak yang sama-sama ingin menjayakan program ini.
“Dengan adanya program Food Bank Malaysia ini, kita ingin memastikan
tidak ada seorang pun rakyat Malaysia yang kelaparan,” ujarnya. –
MalaysiaGazette
LANGKAWI:
Kerajaan tidak boleh mendedahkan laporan Majlis Penasihat Kerajaan
(CEP) kepada umum memandang ada beberapa perkara di dalamnya yang masih
di peringkat rundingan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Perdana menteri berkata beliau sedar bahawa kerajaan dituduh sebagai
tidak telus kerana pendirian itu, namun menjelaskan pihaknya memerlukan
sedikit masa sebelum membuat keputusan seterusnya.
“Saya tidak tahu apa dia yang kita tidak boleh cerita sebab kita
cerita semua, tapi ada perkara-perkara dalam rundingan dan kita tidak
boleh dedah apa yang kita berunding sehinggalah keputusan dicapai,”
katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau terdahulu hadir pada majlis sambutan Jubli Perak Permodalan Kedah Bhd (PKB) dan merasmikan Hotel Adya Chenang, di sini.
Dr Mahathir diminta mengulas mengenai gesaan pelbagai pihak agar
kerajaan mendedahkan laporan itu yang pada masa ini diletakkan di bawah
Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.
Dalam pada itu, perdana menteri berkata beliau sedar rakyat tidak
peduli tentang apa yang telah dilakukan bekas perdana menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak semasa memegang pentadbiran negara dahulu.
Namun, Dr Mahathir menegaskan bahawa tindakan bekas presiden UMNO itu
telah menyukarkan proses pemulihan negara oleh kerajaan pada hari ini.
“Dia hutang begitu banyak dan duit hilang dan macam-macam lagi di masa dia dan dia mengambil kontrak yang merugikan Malaysia.
“Tapi (apabila) kita mahu matikan kontrak itu kita terpaksa bayar
ganti rugi kepada kontraktor, ini menyebabkan kos meningkat dan kewangan
negara terancam,” katanya.
Beliau berkata kerajaan hari ini tidak boleh memberi layanan yang
sama kepada rakyat seperti mana dilakukan Najib, seperti memberi ‘duit
percuma’ kepada rakyat.
“Ini kerana beliau menggunakan wang yang dicuri. Kami bukan
kleptokrat, kami bukan pencuri, kami tidak mencuri wang. Kami cuba
mencari wang sebanyak yang boleh, tetapi sudah tentulah kami perlu
beransur-ansur kurangkan ‘hadiah percuma’ yang diberi oleh Najib,”
katanya.—Bernama
KUALA LUMPUR- Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim
Zainuddin tidak kisah untuk menyerahkan tanggung jawab mengepalai
rundingan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dengan China kepada
pihak lain yang berminat.
“Saya telah membantu kerajaan dalam mengendalikan rundingan dua hala
sejak 80-an. Saya sangat gembira untuk menyerahkan rundingan ini kepada
mana-mana pihak yang berminat untuk mengambilalih.
“Saya tahu, Tan Sri Rafidah Aziz antara orang yang mempunyai
pengalaman di dalam bidang ini,” katanya dalam satu temubual eksklusif
bersama The Star yang disiarkan hari ini.
Menurut Daim, rundingan dua hala adalah sesuatu yang sangat sensitif dan rumit.
Jelasnya, rundingan sedemikian selalunya memerlukan pihak yang
terlibat untuk sangat berhati-hati dan berdiplomasi kerana
rundingan-rundingan tersebut perlu dijauhkan daripada pandangan umum.
“Menteri Kewangan, Lim Guan Eng betul apabila beliau mengatakan
rundingan tersebut adalah memakan masa dan panjang yang akan menganggu
jadualnya.
“Beliau mempunyai banyak perkara yang hendak diuruskan dan
mengendalikan rundingan dua hala memerlukan beliau menghabiskan masa
yang panjang untuk satu perkara sahaja sedangkan sebagai Menteri
Kewangan beliau banyak kerja untuk membersihkan masalah yang
ditinggalkan oleh pentadbiran terdahulu,” katanya lagi.
Menurut bekas Menteri Kewangan itu, beliau tidak pernah mendengar
sebarang rungutan terhadap tanggung jawab yang telah diamanahkan kepada
beliau itu.
“Ada seorang dua blogger yang mengatakan saya tidak patut mengendalikan rundingan tersebut.
“Hakikatnya, hanya ada beberapa menteri sahaja di dalam Pakatan
Harapan yang mempunyai pengalaman sebenar berurusan dengan China,”
jelasnya.
Kata Daim, mempunyai kelebihan mengenali dan berpengalaman berurusan
dengan kerajaan China sejak sekian lama membolehkan beliau membina satu
hubungan dua hala yang berguna saat ini.
Tambahnya, ‘mulut-mulut bising’ yang tidak gembira dengan amanah yang
diberikan kepada beliau pasti akan diam apabila melihat Malaysia
mendapat manfaat hasil daripada rundingan tersebut.-
SEREMBAN: Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata, tidak ada makna bagi
Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan mempertahankan kerusi Dewan
Undangan Negeri (DUN) Rantau dalam pilihan raya kecil (PRK) yang sedang
berlangsung.
“Satu-satunya sebab beliau menyertainya ialah untuk kekal relevan,” kata bekas ahli Parlimen Batu itu.
“Dia bukan menteri besar dan bukan juga ahli Parlimen,” kata Tian
Chua kepada FMT semasa proses penamaan calon PRK berkenaan, semalam.
“Dia juga tidak boleh memimpin Umno dengan berkesan. Jadi
jelas satu-satunya sebab dia mempertahankan kerusi itu ialah demi
kelangsungan kerjaya politiknya. Tak ada sebab lain.
“Barisan Nasional (BN) hanya menggunakan PRK ini sebagai platform bagi membolehkan Mohamad meneruskan kerjaya politiknya.”
Mohamad kini adalah pemangku presiden Umno selepas Ahmad Zahid Hamidi
bercuti. Beliau merupakan bekas menteri besar Negeri Sembilan dari 2004
hingga 2018 dan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rantau selama 3
penggal.
Penganalisis berkata, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat,
akan berjaya mempertahankan kerusi tersebut kerana beliau disukai orang
Melayu dan bukan Melayu di situ.
DUN Rantau mempunyai kira-kira 50% pengundi Melayu dan bukan Melayu.
Tian Chua berkata, “pendedahan berterusan tentang perbuatan rasuah
dan salah guna kuasa Umno sebelum ini” akan membantu pengundi menyedari
bahawa keputusan tidak mengundi BN merupakan satu langkah bijak.
“Kami masih bergelut dengan masalah yang diwarisi daripada kerajaan lepas.
“BN tidak menawarkan apa-apa kepada rakyat, jadi kami perlu jelaskan perkara ini kepada mereka.”
Tian bagaimanapun mengakui bahawa Pakatan Harapan (PH) berhadapan
laluan sukar di Rantau, berikutan kekalahannya dalam 2 PRK sebelum ini.
Tian Chua, yang menggesa calon PH di situ, Dr S Streram, supaya
bekerja kuat berkata, “keadaan mungkin tidak memberangsangkan, tetapi
kami perlu jelaskan apakah yang boleh dilakukan oleh PH.
“Calon PH juga perlu turun ke akar umbi dan memperkenalkan dirinya
sebagai orang yang akan memberikan perkhidmatan langsung kepada rakyat.”
Ketika ditanya tentang spekulasi bahawa Umno akan menggerakkan
seluruh jenteranya di Rantau dan PH akan melakukan perkara sama,
termasuk menggunakan jentera kerajaan, Tian Chua berkata, perkara itu
tidak akan berlaku.
“Saya fikir PH tidak pernah menggerakkan seluruh jentera kerajaan
dalam PRK sebelum ini. Lagipun tidak ada keperluan itu. Wawasan kami
tidak akan berjaya disampaikan hanya dengan menggunakan jentera
kerajaan.”
Tian Chua juga tidak percaya persaingan 4 penjuru di situ akan
mengurangkan undi semua calon dengan berkata, PRK itu akhirnya akan
menjadi persaingan antara Mohamad, yang mendapat sokongan PAS, dengan
calon PH, Dr S Streram.
“Seperti kita lihat dalam PRK lepas, calon Bebas bukanlah pemain
utama kerana akhirnya pengundi akan memilih antara 2 parti terbesar yang
bertanding.
“Ini bukannya masa untuk calon Bebas bertanding,” kata beliau.
Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil bersetuju bahawa PRK Rantau bukanlah mudah bagi PH.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, fenomena “Bossku” bekas
perdana menteri, Najib Razak kelihatan tidak berkesan dalam kalangan
pengundi di Rantau dan Umno tidak seharusnya mengikut perkembangan itu.
Pemimpin BN menganggap kemenangan mereka dalam PRK Cameron Highlands
dan Semenyih antara lain disebabkan gerakan Bossku, yang popular dalam
kalangan generasi muda dan pengguna media sosial.
Ditanya bilakah Dr Mahathir Mohamad akan turun berkempen di Rantau,
Fahmi berkata, beliau kurang pasti kerana jadual perdana menteri itu
agak ketat, terutamanya kerana sidang Dewan Rakyat sedang berlangsung
sekarang.
PRK Rantau 13 April depan menyaksikan Mohamad berdepan calon PH, Dr S
Streram dan 2 calon Bebas, iaitu Malar Rajaram dan Mohd Nor Yassin.
Ia diadakan berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak rayuan
yang difailkan Mohamad untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan
Raya yang membatalkan kemenangan tanpa bertanding beliau dalam pilihan
raya umum 9 Mei tahun lepas.
Mohamad disiytiharkan menang di kerusi tersebut selepas Streram tidak
dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon kerana tidak memiliki pas
masuk daripada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).
Saya terbaca hantaran Dr Mujahid Yusof Rawa petang tadi yang cuba
menerangkan apa itu Prokhas Sdn Bhd yang sedang mentadbir aset RM19.9
bilion milik asal Tabung Haji. [1] Pertama sekali saya nak sarankan YB
Menteri semaklah dulu fakta sebelum kongsi di page rasmi.
1.
Status tersebut mengatakan bahawa pengurusan atasan Prokhas Sdn Bhd
termasuk En Chen Yin Heng dilantik oleh kerajaan BN. Ini salah. Prokhas
sebelum ini diterajui oleh Dr Nungsari Ahmad Radhi sebelum En Chen
dilantik menjadi CEO sekitar September 2018; 3 bulan sebelum
pengambilalihan aset TH diumum media.
2. Kita tiada sebarang
masalah dan tidak pernah mempertikaikan kejayaan Prokhas dalam
menguruskan SPV bermasalah seperti Danaharta sebelum ini. Itu kejayaan
kerajaan lama dan bagus la Dr Mujahid iktiraf secara tak langsung.
Tetapi kita mempertikaikan mengapakah aset2 Tabung Haji yang merupakan
milik mutlak ibadah umat Islam perlu diuruskan oleh bukan Islam? Ini isu
yang sensitif sepertimana kita juga percaya bukan Islam tidak mahu aset
dan harta berkaitan ibadah mereka diuruskan oleh individu beragama
lain. Takkan menteri tak ada common sense?
3. Walaupun Prokhas
mempunyai Lembaga Pengarah (BOD) yang dianggotai sepenuhnya tokoh
Muslim, tetapi Lembaga Pengarah hanya bertindak sebagai pemantau
prestasi, menetapkan sasaran dan standard syarikat serta memastikan hak
pemegang saham terpelihara [2].
4. Bagi perancangan dan
pelaksanaan operasi, ia masih tertakluk kepada pengurusan syarikat yang
diketuai oleh CEO atau MD (Pengarah Urusan). Ini adalah standard
pengurusan korporat yang dipraktikkan selama ini. Jadi apabila status Dr
Mujahid mengatakan bahawa segala perjalanan, tindakan dan keputusan
Prokhas dibuat oleh BOD, maka ia sesuatu yang terlalu janggal kerana BOD
tidak bekerja sepenuh masa di syarikat berkenaan. Faham ke tidak copy
paste tu?
5. Keperluan pengurusan aset berkaitan ibadah haji
wajib diketuai oleh seorang teknokrat Muslim. Ia adalah bagi memastikan
pemerolehan hasil adalah menepati kehendak dan matlamat syarak daripada
sekecil kecil perkara. Bukan sekadar beli saham di kaunter patuh syariah
sahaja.
6. Atas sebab itu, Tabung Haji sendiri melalui Seksyen
6(2) dan 11(3) Akta 535 menegaskan keperluan teknokrat Islam bagi
mengemudi institusi tersebut. Patutnya sebagai Menteri Agama kenalah
memahami semangat dan roh Akta ini.
7. Aset Tabung Haji ni bukan
macam Danaharta atau KWSP. 2 entiti tu kalau non muslim nak pegang dari
atas sampai ke bawah pun, kita tak terlalu sensitif sebab ia tak
berkaitan dengan ibadah haji yang jadi sebahagian daripada Rukun Islam.
Tapi janganlah ambil yang sama level dengan Lim Guan Eng pula.
8.
Kalau nak libatkan bukan Islam juga dalam pengurusan aset berkaitan
ibadah ummah, tak perlulah sehingga mengetuai eksekutif dan operasi.
Setakat nak letak sebagai lead auditor tak ada masalah la sebab audit
ini tak terlibat dalam operasi harian.
9. Lembut dah ni. Habis lembut dah ni.
*Abdul Rahim Hilmi Zakariya Bukit Tunggal Kuala Terengganu
SEREMBAN:
Ketua PKR Rembau, R Tanggam sanggup ketepikan bantahannya terhadap
pencalonan Streram Sinnasamy sebagai calon Pakatan Harapan pada pilihan
raya kecil Rantau “demi Anwar”.
Tanggam berkata dia tidak membenci Streram, yang juga tidak mahu meneruskan pertikaian antara mereka.
Tanggam memberitahu FMT: “Bagi saya, ia mengenai apa yang perlu
perlukan. Setiap ahli mempunyai pandangan masing-masing tetapi ini
keputusan presiden.
“Saya hanya menyokong Anwar dan parti. Begitulah pendirian
saya sejak 1990 hingga hari ini dan saya akan melakukannya demi Anwar.
Saya di sini hari bukan kerana orang lain.”
Tangam berkata dia akan membantu Streram menang di Rantau, mengatakan
tumpulannya sekarang ini adalah “pertama sekali, bantu Anwar, dan
kedua, bantu parti”.
Tanggam dan Streram tahun lepas saling berbalah dalam pertikaian mengenai calon DUN Rantau.
Tanggam berkata Streram, yang berasal dari Klang, akan menjejaskan
peluang parti kerana dia bukan orang tempatan. Beliau menyokong
pencalonan seorang wanita di DUN Rantau, dan cawangan sebulat suara
mencalonkan dia dan isteri, K Bathmavathi, yang mengetuai sayap Wanita,
disamping Streram, yang juga timbalan ketua bahagian.
Streram dinamakan calon PH oleh Presiden PKR, Anwar Ibrahim selepas
menang kes mahkamah yang membuka laluan kepada pilihan raya kecil.
Streram hilang kelayakan untuk bertanding di Rantau pada pilihan raya
umum 2018, dan Mohamad Hasan dari Barisan Nasional diumumkan pemenang.
Streram mencabar keputusan itu di mahkamah dan menang. Hari mengundi
ditetapkan pada 13 April.
Tanggam berkata Rantau bukan pertandingan yang mudah, kerana Mohamad puppular dalam kalangan orang Melayu dan bukan Melayu.
Beliau percaya pembangkang akan memainkan sentimen Melayu.
Bagaimanapun, Pakatan Harapan “mempunyai Mahathir Mohamad, Azmin Ali
dan Anwar Ibrahim untuk menarik undi orang Melayu”, katanya.
Beliau berkata gabungan itu juga mesti mendapatkan undi orang India dan Cina juga.
Pada pilihan raya kecil, Streram dan Mohamad dicabar 2 calon bebas.
ULASAN | Apabila pertukaran rejim
berlaku selepas PRU ke-14, rakyat berada dalam dalam keadaan suka ria
meraikan pembaharuan negara dan kasih sayang sesama kita sebagai
masyarakat.
Akhirnya, kita berjaya membuang kepimpinan
kleptokrat dan Malaysia boleh meluncur deras menuju kegemilangan.
Semangat baru ini malah kita gelar sebagai "kelahiran Malaysia Baru”.
Walau
bagaimana pun, pada hemat saya, pada 9 Mei ‘Malaysia Baru’ belum pun
lahir lagi, ia hanya baru bersenyawa di rahim sebuah struktur demokrasi
baru tanah air kita. Namun begitu kita tetap dijunjung serata dunia
sebagai obor harapan untuk demokrasi.
'Anak kandungan' hasil
perjuangan bersama kita selama separuh abad yang belum lahir ini berada
dalam mod survival bergelut dengan berbagai ancaman dari pelbagai sisi.
Banyak
pihak yang punya kepentingan sendiri sedang menepis usaha membina dan
menyatukan negara. Mereka sedang bekerja keras secara terang-terangan
dan diam-diam untuk menghasut supaya suasana menjadi berwaspada,
terancam dan berbahaya.
Malah mereka adalah petualang sama yang
menyatukan kesatuan besar rakyat Malaysia pada PRU ke-14; bukan sahaja
musuh sama yang terpalit dengan korupsi dan kleptokrasi, tetapi juga
ancaman yang sama iaitu keganasan, terrorisme dan perkauman yang cuba
merampas perjuangan kita untuk identiti Malaysia Baru.
Orang gila dalam kegelapan
Ketika
dahulu, elemen-elemen ini mengugut masyarakat melalui salah guna kuasa
institusi dan pemerintahan. Namun, mereka akan rugi segalanya jika
keamanan terganggu dan kestabilan tergugat.
Tambah lagi,
mereka telah disemak dan disederhanakan oleh seteru mereka yang cintakan
keamanan dan pejuang kebebasan untuk keharmonian dan perpaduan.
Musuh
yang kalah bukanlah musuh yang hilang. Askar yang gencat senjata tidak
semestinya adalah angkatan yang termansuh. Ancaman luar kawalan adalah
lebih bahaya berbanding ancaman dalam kawalan.
Jika orang
gila dalam penglihatan kasar kita, kita boleh lari dan sembunyikan diri,
namun orang gila dalam kegelapan adalah orang yang bolehn menyerang
kita di mana dan bila-bila masa sahaja.
Ancaman
dan elemen-elemen ini masih di luar sana - tewas, namun sedang
mengumpul semula kekuatan, menghendap-hendap untuk membunuh Malaysia
Baru - cuma sekarang mereka tiada lagi berkehendak untuk mengekalkan
keamanan dan kestabilan.
Malah sebaliknya: ketidakstabilan,
syak wasangka dan konflik adalah alat sempurna untuk mereka menggandakan
diri dan galak meradikalkan akar umbi, organisasi, seruan dan matlamat
permainan mereka.
Kita kini menyaksikan hampir setiap minggu,
aksi-aksi ekstrem ganas yang secara strategiknya diaturkan untuk
menghasut tekanan dan rasa cemas.
Perasaan ini kemudiannya diacu kepada isu-isu agama dan kaum untuk memecahbelahkan masyarakat kepada garis kaum dan agama.
Hal
ini telah menjadi batu loncatan kepada politik identiti aras lebih
tinggi. Kekerasan kepada mahasiswa dan wartawan baru-baru ini
misalannya, sedang secara taktikalnya dijelmakan melalui rangka
perkauman oleh mereka kepada masyarakat awam.
Menghasut kepada ketidakstabilan
Bahasa
yang digunakan oleh pihak yang teratur ini juga menghasut perang dan
ketaksuban - di samping secara separa sedar mempropagandakan mentaliti
perang antara kaum dan agama.
Anggota masyarakat secara tidak
sedar dan secara mudah terpengaruh dengan retorik, lalu menjadi mangsa
salah maklumat dan akhirnya membantu menyebarkan naratif ekstrem.
Platform
media sosial seperti WhatsApp sememangnya berkuasa dalam mempengaruhi
perubahan positif, namun pada masa yang sama juga menyebarkan ucapan
kebencian dan tuduhan palsu.
Semua
ini dieksploitasi sepenuhnya oleh puak radikal ini. Memanfaatkan
pengalaman dan kemahiran media sosial yang diperoleh dan didanai oleh
kuasa naungan politik yang lalu, mereka dengan handalnya menggunakan
kemahiran yang sama untuk menghasut ketidakstabilan dan kekacauan kepada
negara.
Taktik bahaya bermain-main dengan ekstremisme ini
bukanlah baru. Rantau kita ini sudah biasa dengan kekacauan politik
negara jiran kita selepas Jokowi meraih kuasa.
Kita telah
melihat bagaimana parti yang kalah dalam demokrasi sekarang menggambil
pendekatan ekstrem untuk menghasut kebencian terhadap kelompok minoriti
yang membawa kepada perhimpunan raksasa dan pemenjaraan Ahok.
Ada
pengajaran yang boleh diambil di sini. Kita mesti berwaspada terhadap
ancaman kepada keselamatan negara. Negara kita ini memerlukan naratif
dan cerita baru, yang memerlukan kita sedar dan akui terhadap ancaman
nombor satu: mereka yang bermatian untuk merampas kuasa melalui naratif
ekstrem dan kebencian untuk memisahkan masyarakat kita kepada konflik
kaum dan agama.
Mereka mestilah tidak dibenarkan untuk kembali berkuasa. Mereka mestilah ditahan daripada membunuh kelahiran Malaysia Baru.
Mereka
mesti dihalang daripada meradikal dan menakut-nakutkan anak muda
daripada memilih keganasan dan ekstremisme. Mereka mesti dihentikan
daripada memesong negara kita untuk merealisasikan keutuhan, perpaduan,
keadilan dan demokrasi.
Hal ini bukanlah perjuangan kecil, ianya
usaha dan kewajipan semua manusia sedunia melawan ekstremisme yang kita
mesti mulakan di tanah watan kita di sini; demi memastikan lahirnya
Malaysia Baru, dan demi mempertahankan dan mengekalkan keamanan dunia.
* HOWARD LEE CHUAN HOW merupakan ketua Pemuda DAP dan exco Perak.
Ketua PKR Cabang Rembau R Tanggam memberi gambaran bahawa pilihan
raya kecil (PRK) Rantau sebagai medan yang turut mempertaruhkan nama
presiden parti, Anwar Ibrahim.
"PRK Rantau adalah maruah Anwar. Maruah parti kita.
"Kalau berlaku kekalahan, kita akan susah," kata Tanggam pada sesi bertemu media di Kampung Sendayan hari ini.
Bagaimanapun, timbalannya yang juga merupakan calon PRK itu, Dr S Streram, lebih optimistik.
Diminta
mengulas kenyataan Tanggam, Streram mengakui bahawa dia bukan calon
pilihan berbanding Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan.
Bagaimanapun,
Streram berkata beliau akan menumpukan usaha untuk menang dengan
bekerja keras dan bukannya pada kekalahan Anwar atau parti.
Streram juga berkata dia "60 hingga 70 peratus" yakin PKR boleh menang PRK itu.
PKR setakat ini menang dalam kesemua tiga PRK yang ditandingi selepas pertukaran kerajaan pusat.
Bagaimanapun,
PH kalah dalam dua PRK iaitu di Cameron Highlands dan Semenyih, yang
dilihat memberi tekanan kepada Anwar untuk memberi kemenangan kepada
gabungan mereka.
PRK Rantau yang akan diadakan 13 April ini akan
menyaksikan pertembungan empat penjuru. Selain Streram dan Mohamad, dua
calon bebas turut bertanding iaitu R Malar dan Mohd Nor Yasin.
PRK RANTAU | Setiausaha Agung
Amanah Mohd Anuar Tahir tampil mengesahkan Mohd Nor Yassin yang
bertanding sebagai calon bebas dalam pilihan raya kecil (PRK) Rantau
sebagai ahli partinya.
"Berdasarkan semakan keahlian, diakui beliau merupakan ahli Amanah yang masih baru menyertai parti ini.
"Menurut
tatacara Perlembagaan Amanah, Jawatankuasa Pengurusan Amanah akan
mencadangkan pemecatan keahlian Mohd Nor kepada Jawatankuasa Tatatertib
Parti kerana telah bertanding tanpa menerima watikah perlantikan calon
daripada parti," katanya.
Terdahulu, kekeliruan timbul selepas
Mohd Nor menafikan kenyataan media PAS yang mendakwa beliau sudah
menyertai Amanah pada 10 Mac lalu.
"Saya tak dapat maklumat itu (bahawa saya ahli Amanah). Saya masih ahli PAS," kata Mohd Nor ketika diminta mengulas perkara itu.
Susulan
itu, Timbalan Pengerusi Amanah Negeri Sembilan Mohamad Taufek Abd Ghani
tampil mengesahkan bahawa Mohd Nor merupakan bekas ahli PAS yang sudah
menyertai Amanah.
Mohamad Taufek juga tidak menolak kemungkinan Mohd Nor yang bertanding sebagai calon bebas pada PRK Rantau cuba "mensabotaj" PH.
Sementara
itu, dalam kenyataan sama, Anuar turut menegaskan bahawa ahlinya hanya
diarahkan membantu kempen calon PH Dr S Streram.
"Sementara
menanti keputusan Jawatankuasa Disiplin Parti, semua ahli dan penyokong
Amanah yang bertugas dalam PRK N.27 Rantau adalah dengan ini diarahkan
hanya membantu kempen calon daripada PH iaitu Streram," katanya.
Mohd
Nor, 66 pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 bertanding sebagai calon PAS
bagi kerusi dewan undangan negeri Gemencheh di Negeri Sembilan.
Bekas
pensyarah itu tewas di kerusi itu dengan beza 3,025 undi selepas meraih
4,757 undi berbanding calon BN Mohd Isam Mohd Isa yang meraih 7,782
undi.
Mohd Nor hari ini tampil menyerahkan borang pencalonan untuk PRK Rantau sebagai calon bebas.
Selain Mohd Nor, turut bertanding sebagai calon bebas ialah, R Malar yang merupakan penganjur program kemasyarakatan
Dua calon lain ialah dari PH Dr S Streram dan calon BN yang juga Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan.
PRK RANTAU |
Timbalan Presiden Umno Mohamad Hassan berkata pembangkang akan
menumpukan usaha untuk mewujudkan sistem dua parti dalam negara yang
hanya membolehkan sesebuah gabungan memerintah tidak melebihi tiga
penggal.
Mohamad berkata demikian ketika menegaskan perlunya
gabungan pembangkang yang kuat dalam sistem dua parti bagi menyemak dan
mengimbangi kerajaan PH.
“Dalam negara yang amal sistem dua parti
tidak ada satu parti yang akan mentadbir negara lebih daripada tiga
penggal, paling banyak dua penggal.
“Ini satu sistem kita cuba
bawa, itu sebab kami dalam BN kita cuba untuk mengadakan satu gabungan
pembangkang untuk kita memeriksa, semak dan imbang parti kerajaan iaitu
PH.
“Kerajaan mesti disemak, selalu lihat dasar yang mereka nak
buat, kerana apa yang nak dibuat akhirnya nanti rakyat mesti dapat
faedah,” katanya ketika berucap dalam ceramah sulung BN sempena kempen
PRK Rantau di Pekan Saga malam ini.
Mohamad turut
mengulas tanggapan yang mengatakan kerjasama Umno PAS akan menyebabkan
negara menjadi seperti di bawah pentadbiran Taliban.
Memberi contoh, Mohamad memetik negeri Kelantan yang mempunyai antara patung Buddha terbesar di Asia.
“Kita bukan mula dari sekarang, BN dah tadbir negara sejak 1957, kita tak buat negara ini jadi Taliban.
"Kalau
nak kata PAS, PAS sudah tadbir Kelantan sudah lima penggal, 25 tahun.
Tak ada Taliban di Kelantan. Orang Cina, India, hidup bebas dan aman
damai di Kelantan.
“Bahkan, di Kelantan ada patung Buddha tidur
(antara) yang paling besar di Asia. Ini menunjukkan PAS mengamalkan
dasar toleransi beragama, berbilang kaum, jadi tidak timbul soal itu
tapi dibuat untuk menakutkan rakyat jangan menerima konsep kerjasama
ini,” katanya lagi.
Kata
Mohamad lagi, kerjasama BN dan PAS bukanlah terhenti dengan kerjasama
kedua-dua parti itu semata-mata, tetapi juga akan melibatkan parti
komponen BN yang lain.
“Dua hari lepas, PAS punya kepimpinan dah
jumpa pula dengan kepimpinan MIC. Begitu juga dengan parti-parti
(komponen) lain, kita akan membina satu gabungan parti pembangkang (yang
kuat),” katanya.
SPR
optimis peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil DUN Rantau 13
April ini akan lebih baik berbanding PRK DUN Semenyih.
SEREMBAN: Suruhanjaya
Pilihan Raya (SPR) optimis peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya
Kecil DUN Rantau 13 April ini akan lebih baik berbanding PRK DUN
Semenyih.
Timbalan Pengerusinya, Azmi Sharom berkata PRK DUN Semenyih sebelum ini mencatatkan 73 peratus.
“Kita sasarkan lebih 70 peratus yang keluar mengundi. Kita yakin kita boleh dapat lebih daripada PRK Semenyih.
"Semenyih 73 peratus. Kita akan dapat lebih lagi. Kita akan cabar orang
Semenyih,” katanya dalam sidang media selepas pengumuman penamaan calon
PRK DUN Rantau di SJKC Bandar Sri Sendayan di sini.
PRK DUN
Rantau adalah ketujuh diadakan selepas PRK DUN Sungai Kandis, DUN
Balakong, DUN Seri Setia, Parlimen Port Dickson, Parlimen Cameron
Highlands dan DUN Semenyih.
Ular tedung sepanjang 6.5 meter ini bersembunyi di ruang tamu mangsa. - Foto: APM
ALOR SETAR: Sebuah keluarga
dari Kampung Haji Abbas, Baling tidak sedar mereka ‘ditemani’ seekor
tedung selar ketika sedang leka menonton televisyen.
Tentunya
perkara yang lebih buruk boleh terjadi jika sesiapa daripada anggota
keluarga itu menjadi menjadi mangsa patukan reptilia berbisa sepanjang
6.5 meter itu.
Bagaimanapun, mujur keluarga tiga beranak itu terhindar daripada ancaman itu apabila dengusan haiwan itu didengari.
Menurut pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Baling, Leftenan
Pertahanan Awam Mohd Faizol Ab Aziz, pihaknya menerima panggilan
kecemasan pada 8 malam Sabtu.
Mangsa, Helmiza Omar, memaklumkan bahawa terdapat seekor tedung selar di bawah meja kopi di ruang tamu rumahnya.
Kata Mohd Faizol, ketika anggotanya tiba di lokasi kejadian, ular
berkenaan bertindak agresif dan berada dalam kedudukan yang sedia untuk
menyerang.
Lebih 30 minit anggotanya ‘bertarung’, sebelum berjaya menangkap reptilia seberat hampir 10 kilogram itu.
Tiada kecederaan dilaporkan namun mangsa sekeluarga masih trauma dengan kejadian itu.
Ular itu kemudiannya dibawa balik ke pejabat APM Baling sebelum diserahkan kepada pihak Perhilitan.
APM menasihatkan orang ramai agar tidak membiarkan pintu rumah
terdedah, hingga boleh mengundang reptilia itu masuk ke dalam rumah.
Namun sekiranya terserempak dengan reptilia itu, orang ramai
dinasihatkan tidak bertindak sendirian dan menghubungi talian 999 untuk
bantuan.
KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching
ternyata gembira dengan keputusan Lembaga Kelayakan Profesion
Undang-undang Malaysia yang mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu
(UEC) sebagai setaraf dengan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)
dan A-Levels.
Menerusi kenyataan yang ditulis dalam bahasa Mandarin dalam akaun
Facebook rasminya malam tadi, Nie Ching turut mengucapkan tahniah secara
khusus kepada Peguam Negara, Tommy Thomas yang merupakan Pengerusi
Lembaga Kelayakan Profession Undang-undang Malaysia.
“Lembaga Kelayakan Profession
Undang-undang Malaysia telah bersetuju UEC adalah setaraf dengan STPM
dan A-Levels, dan perkara ini membolehkan pelajar persendirian Cina
boleh membuat permohonan untuk menduduki Peperiksaan Sijil Amalan Guaman
(PSAG).
“Terima kasih Peguam Negara,” katanya di sini.
Semalam, Tommy dalam kenyataan memaklumkan
Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (PSAG) akan menerima pakai kelayakan UEC
pada tahap ‘Senior Middle 3’ untuk bermula 1 Januari 2021.
Katanya, perubahan itu dibuat sebagai maklum
balas terhadap pelbagai cadangan daripada ramai orang dan pihaknya akan
mendapatkan maklumat daripada beberapa universiti di United Kingdom (UK)
mengenai penerimaan UEC sebagai syarat kelayakan untuk kemasukan ke
program Ijazah Sarjana Muda Undang-undang. – UTUSAN ONLINE
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dilapor akan membuka sebuah pasaraya harga murah di negeri itu.
Pasaraya yang akan menjual barang keperluan harian pada harga murah
itu diusahakan oleh baginda melalui kerjasama strategik dengan sebuah
pasaraya besar yang sedia ada di Johor.
“Pasar raya ini memberi jaminan bahawa mereka boleh menjual barang
pada kadar 10 peratus lebih rendah, pada masa sama turut memberi jaminan
pada kualitinya.
“Ini akan memudahkan rakyat khususnya mereka yang berpendapatan
rendah mendapatkan barang keperluan asas dan harian pada harga yang
murah,” titah baginda dalam hantaran terbaru di laman sosial.
Langkah Sultan Johor ini tentu saja harus dipuji dan menunjukkan keprihatinan baginda terhadap rakyatnya.
Ia bukan saja sebagai usaha untuk menangani kos sara hidup rakyat, malah ia secara tidak langsung merupakan cabaran buat PH.
Ini kerana, dalam kempen-kempen sebelum PRU14 lalu, antara isu yang
sering dimainkan oleh PH ialah untuk menangani kos sara hidup serta
memberi keselesaan kepada rakyat menjalani kehidupan seharian lantaran
BN ketika itu didakwa gagal berbuat demikian.
Bagaimanapun, setelah 10 bulan berlalu menjadi kerajaan, usaha
memberi lebih keselesaan hidup kepada rakyat masih lagi belum
menampakkan sebarang bayangnya serta dalam masa yang sama kenaikan harga
barang keperluan harian terus mencekik dan mencanak setiap hari.
Di mana-mana ketika ini rungutan rakyat ialah berkaitan kos sara
hidup yang semakin tinggi serta kegagalan PH menunaikan janji
sebagaimana yang mereka laungkan sebelumnya.
Sememangnya tugas memberi keselesaan hidup kepada rakyat ialah tanggungjawab kerajaan yang sedang berkuasa.
Dengan itu, PH bukan saja harus berasa malu dengan usaha Sultan Johor
ini, malah sepatutnya tidak berlengah lagi melaksanakan sesuatu yang
berkesan dan bermanfaat demi keselesaan hidup rakyat.
FRANKIE (tengah) gagal menahan sebaknya dalam sidang media berkenaan di Kota Kinabalu, hari ini. - Astro AWANI
KOTA KINABALU: DAP Sabah
belum lagi mahu memikirkan mengenai persiapan pilihan raya kecil (PRK)
bagi kerusi Parlimen P.186 Sandakan susulan kehilangan penyandang
sebelum ini, Datuk Stephen Wong yang meninggal dunia pada Khamis.
Naib Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung berkata,
pihaknya kini memberi fokus kepada majlis pengebumian mendiang Stephen
yang akan dikebumikan di daerah Sandakan pada esok (Sabtu) bagi memberi
ruang semua pihak memberikan penghormatan terakhir kepada tokoh politik
itu.
Beliau berkata, pihaknya sedar dan tahu mengenai
keperihatinan mengenai ketetapan berkenaan untuk terus memberikan
khidmat kepada rakyat Sabah dan penduduk di Parlimen Sandakan
khususnya, namun perkara itu akan dibincangkan kemudian.
"Saya pasti semua pihak amat perihatin apa yang akan berlaku dengan
situasi di negeri ini, bukan sahaja DAP bahkan kerajaan kerana negeri
harus meneruskan perkhidmatan berkenaan tetapi mereka juga berkongsi
perasaan dengan kami," katanya.
"Kita sekarang memberi fokus
kepada proses pengebumian mendiang berbanding perkara berkenaan (PRK)
dan ianya boleh ditunggu, saya pasti," katanya.
Frankie yang
juga Menteri Belia dan Sukan Sabah itu berkata demikian dalam sidang
media di pejabat DAP Sabah, Luyang, Kota Kinabalu, pada Jumaat.
Terdahulu, mendiang Stephen yang juga Menteri Kesihatan dan
Kesejahteraan Rakyat meninggal dunia pada jam 12.15 tengah hari Khamis
lalu selepas dikejarkan ke hospital akibat diserang sakit jantung.
Mendiang meninggalkan seorang balu, empat anak dan dua cucu.
Sementara itu, Stephen yang menyandang Ahli Dewan Rakyat atas kerusi
Parlimen P.186 Sandakan sejak 2013 dan memegang jawatan sebagai
lantikan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah selepas
PRU-14 lalu.
Dalam PRU-14 yang lalu, mendiang menang atas tiket
DAP dengan majoriti 10,098 mengalahkan calon BN, Datuk Lim Ming Ho
dengan jumlah keseluruhan 19,094 undi.
Sementara itu, Menteri
Kewangan merangkap Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dijangka hadir
pada malam ini ke Sabah untuk memberikan penghormatan terakhir kepada
mendiang Stephen di Pusat Perkhidmatan Pengebumian Wisma Fook Lu Siew,
Kota Kinabalu.
DR
LEE: Sekiranya pesakit yang masih ada ubat tersebut, harus pulangkan
tetapi tak perlu panik, berhentikan ubat tersebut dan serahkan kepada
pembekal. -Gambar fail
IPOH: Pesakit yang masih
menyimpan produk ubat darah tinggi yang mengandungi bahan aktif losartan
yang ditarik balik baru-baru ini dinasihat menghentikan pengambilan
ubat berkenaan dan memulangkannya kembali kepada pembekal.
Bagaimanapun, menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye,
pesakit yang sudah mengambil ubat tersebut bagi merawat tekanan darah
tinggi tidak perlu panik dan segera memulangkannya untuk mendapatkan
bekalan ubat yang baharu.
"Sekiranya pesakit yang masih ada ubat
tersebut, harus pulangkan tetapi tak perlu panik, berhentikan ubat
tersebut dan serahkan kepada pembekal.
"Untuk kementerian, kita telah tarik balik ubat tersebut sebelum ini.
Sepatutnya, ikut rekod, tidak lagi ada ubat itu dalam pasaran kecuali
mereka yang simpan stok lama," katanya.
Menurutnya, hanya
beberapa jenama ubat mengandungi losartan yang ditarik balik akibat
tercemar dengan bahan yang tidak diingini.
Pada 7 Mac lalu,
Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) telah menggantung pendaftaran tujuh
produk ubat-ubatan yang dikesan mengandungi bahan aktif losartan.
Tindakan itu diambil setelah Pihak Berkuasa Sains Kesihatan Singapura
(HSA) mengeluarkan notis panggil balik ke atas tiga produk yang
mengandungi losartan daripada sumber bahan aktif dikeluarkan syarikat
Hetero Lab Limited, India kerana kehadiran impuriti
n-nitroso-n-methyl-4-aminobutyric acid (NMBA).
Impuriti ini berkemungkinan boleh menyebabkan kanser kepada penguna dalam jangka masa panjang.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan
Hari Buah Pinggang Sedunia peringkat negeri Perak pada Sabtu.
SEREMBAN: Calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil (PRK)
Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Mohamad Hasan tidak gentar dengan
penglibatan sepenuh masa Presiden PKR, Anwar Ibrahim membantu kempen
calon Pakatan Harapan (PH) di situ.
Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu berkata, kehadiran nama besar
PKR itu tidak mengancam peluang beliau untuk mempertahankan kerusi
Rantau yang dimenanginya sejak 2004.
“(Anwar bantu calon PH) tidak mengapa, kita mengamalkan demokrasi
dalam negara ini. Saya tidak memandang itu sebagai ancaman ataupun
tidak, tetapi saya minta kita kempen secara sihat.
“Kita berkempen kerana kita nak menegakkan amalan demokrasi
di negara kita. Semua orang ada peluang dan boleh berkempen secara sihat
supaya tidak ada isu yang boleh buat keadaan harmoni di Rantau yang
berbilang kaum tergugat,” katanya ketika kepada pemberita selepas
selesai proses penamaan calon di SJK (C) Bandar Sri Sendayan di sini,
hari ini.
Mohamad, atau lebih dikenali dengan panggilan Tok Mat berkata
demikian bagi mengulas dakwaan setengah pihak bahawa Anwar akan
“berkampung” di Rantau membantu calon PH dengan anggapan bahawa ahli
Parlimen Port Dickson adalah “giant killer” untuk menafikan kemenangan
BN di kerusi tersebut.
Mohamad berkata, beliau akan bertemu dengan seramai mungkin pengundi
di Rantau tanpa mengira kaum sebagai sebahagian daripada kempennya untuk
memenangi PRK tersebut.
“Saya tidak ada fokus undi Melayu atau tidak. Saya akan jumpa semua
orang. Saya tidak fokuskan bahawa saya tak perlu jumpa kaum ini dan kaum
itu. Saya tidak pernah membezakan pengundi saya.
Paling penting selama
13 hari ini saya perlu jumpa seramai mungkin pengundi,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan bertemu pengundi secara bersemuka lebih
berkesan kerana majoriti penduduk mengenalinya menandangkan beliau
merupakan anak tempatan di situ.
Mengulas mengenai pertandingan 4 penjuru yang dihadapinya, Mohamad berkata, beliau sudah menjangkakan perkara itu.
“Saya jangka lebih 4 penjuru, sebab orang yang beli borang banyak.
Saya jangka sekurang-kurangnya 5 calon. Cuma ada 4 orang sahaja, jadi
lebih senang kalau sikit (calon) untuk kita menjalankan kempen kita,”
katanya.
PRK Rantau yang ditetapkan pada 13 April depan menyaksikan
pertembungan 4 penjuru antara Mohamad dengan 3 calon lain, iaitu Dr S
Streram mewakili PH dan 2 calon Bebas, iaitu suri rumah, Malar Rajaram
dan bekas pensyarah, Mohamad Nor Yassin.
Terdapat 29,926 pengundi berdaftar di DUN Rantau, dengan 55% daripadanya pengundi Melayu, India 26% dan Cina 19%.
Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula hari ini dan hari mengundi awal dijadualkan pada 9 April.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan dapat menjimatkan RM2.1 bilion untuk satu tahun jika
mengurangkan enam peratus jawatan yang tidak diisi lagi dalam
perkhidmatan awam, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Md Farid Md
Rafik berkata daripada 1.7 juta penjawatan yang diwujudkan, pengisian
jawatan adalah hanya 94 peratus dan baki enam peratus jawatan masih
tidak diisi.
“Pengurangan yang kita maksudkan adalah kita ‘slash’ jawatan-jawatan
yang tidak diisi ini jika ia tidak mempunyai impak besar kepada
perkhidmatan awam. Penjawat awam yang sedia ada, yang menjawat jawatan
dalam kerajaan sekarang tidak terlibat (dalam proses pengurangan ini),”
katanya.– Bernama
KUALA LUMPUR: Proses
pendaftaran kenderaan motor menerusi sistem e-Daftar diwajibkan
menggunakan nombor siri Sijil Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) yang sah
daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), bermula 1 April 2019.
Menurut JPJ dalam satu kenyataan, setiap pengeluar kenderaan serta
pihak berkenaan perlu mematuhi ketetapan itu bagi mengelakkan sebarang
kesukaran atau sekatan terhadap proses pendaftaran kereta masing-masing.
“Pengeluar kenderaan hendaklah memastikan mereka telah mempunyai
medan data berkaitan nombor siri sijil VTA di dalam sistem e-Daftar
masing-masing sebelum 31 Mac 2019 (Ahad ini) seperti mana spesifikasi
yang ditetapkan pihak JPJ.
“JPJ menguatkuasakan perkara ini bagi memastikan setiap kenderaan
motor yang akan didaftarkan serta dilesenkan mempunyai kelulusan VTA
yang sah selain sebagai instrumen kawalan dan sekatan terhadap mana-mana
pihak yang ingkar mendapatkan kelulusan VTA daripada pihak JPJ,”
menurut kenyataan itu.
VTA merupakan proses mandatori terhadap kenderaan model baharu
sebelum dibenarkan untuk didaftarkan dan dilesenkan oleh pihak JPJ.
Proses VTA ini dikuatkuasakan bagi memastikan setiap model baharu
kenderaan tersebut mematuhi ciri-ciri pembinaan dan spesifikasi seperti
mana ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-kaedah
di bawahnya.
Sehubungan itu, pihak JPJ menasihatkan semua pengeluar kenderaan
mengambil tindakan sewajarnya dan memastikan sistem e-Daftar
masing-masing berfungsi dengan baik bagi mengelakkan sebarang masalah
semasa proses pendaftaran kenderaan.–Bernama
PRK RANTAU- Sokongan pengundi khususnya di Dewan Undangan
Negeri (DUN) Rantau sangat diperlukan kerajaan Pakatan Harapan (PH)
untuk menyusun pelan pembangunan yang strategik dan mampan, kata Datuk
Seri Anwar Ibrahim.
“Rantau berpotensi besar dibangunkan kerana kedudukan dekat dengan KL
tetapi terabai walaupun dikuasai UMNO BN kian lama,” kata Presiden PKR
itu dalam sidang media selepas penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK)
DUN Rantau di Dewan Serbaguna Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bandar Seri
Sendayan di sini hari ini.
PKR mengetengahkan Dr. S. Streram sebagai calon PH yang menyaksikan
pertembungan empat penjuru melibatkan Calon Barisan Nasional (BN) Datuk
Seri Mohamad Hasan yang akan mempertahankan kerusi tersebut.
Manakala dua calon bebas, R. Malar, 51, juga akan bertanding
menggunakan lambang pokok dan bekas ahli Pas berusia 66 tahun, Mohd. Nor
Yassin.
Jelas Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, pembangunan DUN
Rantau merupakan fokus utama yang akan beri perhatian parti untuk
meyakinkan rakyat.
Menurutnya jentera PH yang diketuai Menteri Besar Negeri Sembilan,
Datuk Seri Aminudin Harun dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai
penyelaras di peringkat nasional akan memastikan segalanya berjalan
lancar.
“Peringkat nasional kita mohon rakyat beri dokongan penuh kepada PH
dibawa Tun M (Mahathir Mohamad) yang berjaya mengekang keterlanjuran
rasuah dan penyelewengan besar.
“Peringkat negeri, kita lihat hampir setahun di bawah MB (Aminuddin)i
projek yang memberi impak langsung lepada rakyat termiskin termasuk
kemudahan asas jauh lebih baik daripada apa yang dilakukan kerajaan
terdahulu.
“Di Rantau saya lihat ada beberapa program baharu yang dilaksanakan untuk rakyat,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette