HALAMAN SANTAI

Sabtu, 30 Mac 2019

Tok Mat tidak gentar Anwar bantu calon PH ‘sepenuh masa’ di Rantau

Calon BN bagi PRK Rantau, Mohamad Hasan berkata, beliau 
akan bertemu dengan seramai mungkin pengundi tanpa mengira 
kaum bagi membantu kempennya di situ.
 
SEREMBAN: Calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Mohamad Hasan tidak gentar dengan penglibatan sepenuh masa Presiden PKR, Anwar Ibrahim membantu kempen calon Pakatan Harapan (PH) di situ.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu berkata, kehadiran nama besar PKR itu tidak mengancam peluang beliau untuk mempertahankan kerusi Rantau yang dimenanginya sejak 2004.

“(Anwar bantu calon PH) tidak mengapa, kita mengamalkan demokrasi dalam negara ini. Saya tidak memandang itu sebagai ancaman ataupun tidak, tetapi saya minta kita kempen secara sihat.

“Kita berkempen kerana kita nak menegakkan amalan demokrasi di negara kita. Semua orang ada peluang dan boleh berkempen secara sihat supaya tidak ada isu yang boleh buat keadaan harmoni di Rantau yang berbilang kaum tergugat,” katanya ketika kepada pemberita selepas selesai proses penamaan calon di SJK (C) Bandar Sri Sendayan di sini, hari ini.
Mohamad, atau lebih dikenali dengan panggilan Tok Mat berkata demikian bagi mengulas dakwaan setengah pihak bahawa Anwar akan “berkampung” di Rantau membantu calon PH dengan anggapan bahawa ahli Parlimen Port Dickson adalah “giant killer” untuk menafikan kemenangan BN di kerusi tersebut.

Mohamad berkata, beliau akan bertemu dengan seramai mungkin pengundi di Rantau tanpa mengira kaum sebagai sebahagian daripada kempennya untuk memenangi PRK tersebut.

“Saya tidak ada fokus undi Melayu atau tidak. Saya akan jumpa semua orang. Saya tidak fokuskan bahawa saya tak perlu jumpa kaum ini dan kaum itu. Saya tidak pernah membezakan pengundi saya.

Paling penting selama 13 hari ini saya perlu jumpa seramai mungkin pengundi,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan bertemu pengundi secara bersemuka lebih berkesan kerana majoriti penduduk mengenalinya menandangkan beliau merupakan anak tempatan di situ.

Mengulas mengenai pertandingan 4 penjuru yang dihadapinya, Mohamad berkata, beliau sudah menjangkakan perkara itu.

“Saya jangka lebih 4 penjuru, sebab orang yang beli borang banyak. Saya jangka sekurang-kurangnya 5 calon. Cuma ada 4 orang sahaja, jadi lebih senang kalau sikit (calon) untuk kita menjalankan kempen kita,” katanya.

PRK Rantau yang ditetapkan pada 13 April depan menyaksikan pertembungan 4 penjuru antara Mohamad dengan 3 calon lain, iaitu Dr S Streram mewakili PH dan 2 calon Bebas, iaitu suri rumah, Malar Rajaram dan bekas pensyarah, Mohamad Nor Yassin.

Terdapat 29,926 pengundi berdaftar di DUN Rantau, dengan 55% daripadanya pengundi Melayu, India 26% dan Cina 19%.

Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula hari ini dan hari mengundi awal dijadualkan pada 9 April.

Tiada ulasan: