HALAMAN SANTAI

Selasa, 26 Mac 2019

Ajar nilai moral, agama untuk kawal pornografi dalam talian

MOAZ NAIR



Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia harus mengawal pornografi dalam talian. Satu kajian baru-baru ini menunjukkan majoriti kanak-kanak berumur 10 hingga 17 tahun sengaja menonton pornografi dalam talian, dengan 98% berumur 13 hingga 17 menjadi mangsa.

Didapati hampir 80% remaja Malaysia mempunyai kecenderungan menonton pornografi dalam talian. Ini boleh dikaitkan dengan naluri ingin tahu mereka di usia remaja. Bagaimanapun, jika sudah ketagih, kesannya boleh memudaratkan kesihatan mental mereka.

Kajian menunjukkan pornografi dalam talian mempunyai kesan terhadap nilai, sikap, kepercayaan dan tingkah laku kanak-kanak dan remaja.

Teks mengenai seks kini boleh didapati dengan mudah dan ini melibatkan penghantaran atau mendapatkan mesej lucah, imej atau video lucah secara bebas pada telefon pintar atau melalui internet.
Internet mencipta peluang kepada anak muda untuk meneroka dan bersosial. Malangnya, ia juga mendedahkan mereka kepada risiko psikologi bahaya, jika mereka ketagih menonton pornografi.

Obsesi yang tidak diingini ini boleh membawa kepada nafsu tidak dapat dikawal untuk seks dan ini secara tidak langsung boleh menyebabkan peningkatan kes sumbang mahram, keganasan seksual, termasuk merogol dan liwat, kehamilan remaja, penyebaran penyakit kelamin dan perilaku seksual menyimpang dalam kalangan anak muda dan juga dewasa.

Ada kanak-kanak yang ingin tahu, terkejut atau keliru apabila terdedah kepada pornografi dalam talian. Ia juga menggalakkan anak muda untuk percaya seks selamat untuk semua yang terlibat.

Memandangkan hampir mustahil untuk menghalang laman pornografi, pendidikan seks di sekolah harus memberi tumpuan lebih untuk mewujudkan kesedaran mengenai isu berkaitan pornografi dalam talian dan kanak-kanak dimaklumkan akibat mendedahkan diri kepada aktiviti seksual pramatang, bebas dan menyimpang.

Sekiranya dijelaskan dengan betul, kaunselor di sekolah dan ibu bapa dapat melindungi anak muda daripada bahaya ini.

Kesan negatif

Kemajuan teknologi berjaya menghubungkan dunia melalui internet. Hari ini, telefon pintar mengatasi komputer riba sebagai gajet paling popular untuk mendapatkan bahan dalam talian dan ini termasuk pornografi. Ini telah memberi kesan negatif kepada golongan muda.

Kajian membuktikan pengaruh unsur negatif mengenai seks terhadap remaja dan ia boleh mengganggu emosi mereka secara impulsif dan akhirnya meniru apa yang mereka lihat dalam pornografi.

Terdapat persepsi dalam kalangan mereka mengenai apa yang dilihat itu adalah realistik. Oleh itu, pornografi dalam talian boleh memberi mereka idea tentang amalan seksual yang mereka ingin cuba dengan meniru adegan ditonjolkan dalam pornografi.

Pendidikan seks mengenai isu berkaitan pornografi dalam talian juga boleh membantu mengurangkan sikap serong mereka terhadap wanita. Remaja perlu diberitahu pornografi dalam talian adalah model buruk untuk ditiru.

Walaupun laman pornografi boleh disekat, masih ada aplikasi komputer boleh mengaksesnya. Oleh itu, penting untuk kanak-kanak diberi ruang di sekolah memahami apa yang dimaksudkan dengan matlamat seks sebenarnya.

Ibu bapa, kerajaan, pembuat dasar dan pendidik, semuanya mempunyai peranan untuk memastikan kanak-kanak tidak dipengaruhi pornografi dalam talian.

Kebanyakan ibu bapa yang konservatif mungkin berfikiran hanya sekolah dan institusi sosial lain yang boleh mengajar pendidikan seks kepada anak mereka.

Namun, kajian menunjukkan aktiviti seksual pramatang boleh berlaku apabila terdapat tekanan keluarga di rumah dan kekurangan komunikasi antara ibu bapa dan anak-anak.

Rumah, lebih daripada institusi sosial lain, masih merupakan persekitaran terbaik untuk kanak-kanak memahami seks dan kehidupan, jika ibu bapa dapat berbincang perkara berkaitan isu ini bersama anak mereka.

Malangnya, kanak-kanak hari ini menghabiskan hanya sedikit masa dengan ibu bapa dan sering juga ibu bapa keberatan mendidik anak tentang seks dan kehidupan.

Sekiranya tiada perbualan terus-terang tentang seks di rumah, kanak-kanak akan beralih kepada rakan sebaya dan internet untuk mendapatkan maklumat disebabkan sifat ingin tahu.

Terdapat kes di mana remaja yang membesar tanpa penjagaan ibu bapa akan memberontak dan menjadikan seks rambang sebagai jalan keluar daripada kekecewaan mereka. Ini satu lagi corak tingkah laku yang biasa berlaku dalam kalangan kanak-kanak.

Kanak-kanak yang kecewa dengan ibu bapa mereka mudah cenderung mencari penyelesaian di luar dan akan terdedah kepada bahaya apabila bertemu rakan yang tidak bertanggungjawab.

Mengharapkan institusi sosial untuk membentuk watak kanak-kanak dapat membantu, tetapi mungkin ini tidak begitu berkesan ketika ibu bapa sendiri terbuka tentang seks dan kehidupan dengan anak mereka.

Seks jadi fokus utama

Malah, di negara maju pun pendidikan seks di sekolah tidak mencapai matlamatnya. Pendidikan seks dalam kurikulum sekolah di negara barat tidak syak lagi mewujudkan beberapa kesedaran dalam kalangan kanak-kanak sekolah tentang seks dalam kehidupan.

Tetapi, remaja yang membesar dengan ciri keagamaan atau moral didapati kurang terdedah kepada seks pramatang, walaupun selepas didedahkan dengan pornografi.

Suka atau tidak, kanak-kanak masih perlu membesar dengan suntikan beberapa nilai moral atau agama. Ini boleh memberi kesan positif kepada pembangunan moral mereka.

Kebanyakan ibu bapa di Asia secara intuitif masih berpegang kepada nilai agama dan moral dalam kehidupan mereka dan ini disampaikan kepada anak mereka.

Tidak ada kurikulum barat mengenai pendidikan seks yang sesuai dengan suasana setempat. Kurikulum barat tidak pernah menonjolkan seks pra perkahwinan sebagai berdosa atau tidak bermoral.

Dengan akses mudah kepada bahan lucah dalam talian, seks menjadi tumpuan utama sesetengah remaja hari ini.

Pendidikan seks di sekolah boleh dilakukan berdasarkan cadangan daripada teori tingkah laku dan psikologi seksual, tetapi dalam konteks Malaysia, ia perlu disuntik dengan nilai moral dan agama, bukannya hanya berlandaskan model barat semata-mata.

*Moaz Nair ialah pembaca FMT.

Tiada ulasan: