HALAMAN SANTAI

Selasa, 26 Mac 2019

Arwah mengandung tiga bulan

Farah Suhaidah Othman
 
 

“KAMI tidak tahu arwah kakak ipar (Saadiah Mohd Rezal, 34) mengandung tiga bulan.

“Kami terkejut apabila dimaklumkan pihak hospital selepas proses bedah siasat, namun kami reda dengan ketentuan Ilahi,” kata Nurila Muhammad, 32.

Nurila adalah adik bongsu kepada Muhammad Fazil Muhamad, 34, yang maut bersama isterinya, Saadiah selepas lori membawa muatan minyak dinaiki mereka terbabas ke dalam longkang di Kilometer 12 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Jeli-Gerik di Gerik, Ipoh, hari ini.

Dalam kejadian 7 pagi itu, Muhammad Fazil meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala Saadiah meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Gerik.

Kedua-dua mangsa dipercayai parah pada kepala. Seorang anak pasangan itu yang berusia sembilan tahun cedera pada kaki kanan, manakala seorang lagi berusia tujuh tahun cedera pada dahi.

Nurila berkata, kali terakhir dia berjumpa dengan abang serta kakak iparnya itu pada Sabtu lalu ketika menghadiri kenduri kahwin saudara di Sitiawan.

Katanya, ketika itu kedua-dua arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan.

“Arwah abang ada memberitahu hendak ke Kelantan pada malam Ahad dan memang menjadi kebiasaannya akan membawa anak serta isteri untuk bercuti sambil bekerja pada setiap musim cuti persekolahan,” katanya yang ditemui di Masjid At-Taiyibin Kampung Tersusun Tanah Hitam, Chemor di Ipoh, hari ini.

Terdahulu jenazah pasangan itu dibawa dari Unit Forensik Hospital Gerik dan tiba di masjid berkenaan kira-kira 6.15 petang sebelum disembahyangkan dan dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Batu 9, Chemor, di Ipoh.

Kira-kira 200 ahli keluarga, saudara mara dan rakan terdekat hadir ke masjid berkenaan dan turut kelihatan anak bongsu pasangan itu Nurul Syazwana Ariyana Muhammad Fazil, 8, yang cedera pada dahi.

Nuriza ketika ditanya mengenai penjagaan terhadap kedua-dua anak arwah berkata, dia ingin menjaga kedua-dua anak saudaranya itu, namun ia memerlukan perbincangan dahulu dengan keluarga arwah kakak iparnya.

“Saya sudah dua tahun berkahwin dan tidak mempunyai anak, memang saya nak jaga kedua-dua anak saudara saya ini, namun perlu bincang dahulu dengan keluarga sebelah arwah kakak ipar,” katanya.

Sementara itu, abang sulung kepada arwah Saadiah, Mohamad Fauzi Mohd Rezal, 34, berkata, arwah adiknya serta adik iparnya itu kerap pulang ke kampung mereka di Parit dan kedua-dua mereka seorang mudah mesra dengan adik beradik lain.

“Saya mengetahui berita mengenai kemalangan 10.30 pagi dan terkejut dengan kejadian itu, saya terus memberitahu adik beradik yang lain dan membawa ibu saya ke masjid untuk menunggu jenazah tiba.

“Mengenai penjagaan anak-anak arwah, kami tunggu sehingga proses selesai dan akan berbincang bersama-sama bagi memastikan kebajikan mereka berdua terbela,” katanya.

Tiada ulasan: