HALAMAN SANTAI

Ahad, 31 Mac 2019

Takda makna Tok Mat bertanding di Rantau, kata Tian Chua

Naib Presiden PKR Tian Chua.

SEREMBAN: Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata, tidak ada makna bagi Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau dalam pilihan raya kecil (PRK) yang sedang berlangsung.

“Satu-satunya sebab beliau menyertainya ialah untuk kekal relevan,” kata bekas ahli Parlimen Batu itu.

“Dia bukan menteri besar dan bukan juga ahli Parlimen,” kata Tian Chua kepada FMT semasa proses penamaan calon PRK berkenaan, semalam.

“Dia juga tidak boleh memimpin Umno dengan berkesan. Jadi jelas satu-satunya sebab dia mempertahankan kerusi itu ialah demi kelangsungan kerjaya politiknya. Tak ada sebab lain.

“Barisan Nasional (BN) hanya menggunakan PRK ini sebagai platform bagi membolehkan Mohamad meneruskan kerjaya politiknya.”

Mohamad kini adalah pemangku presiden Umno selepas Ahmad Zahid Hamidi bercuti. Beliau merupakan bekas menteri besar Negeri Sembilan dari 2004 hingga 2018 dan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rantau selama 3 penggal.

Penganalisis berkata, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat, akan berjaya mempertahankan kerusi tersebut kerana beliau disukai orang Melayu dan bukan Melayu di situ.

DUN Rantau mempunyai kira-kira 50% pengundi Melayu dan bukan Melayu.

Tian Chua berkata, “pendedahan berterusan tentang perbuatan rasuah dan salah guna kuasa Umno sebelum ini” akan membantu pengundi menyedari bahawa keputusan tidak mengundi BN merupakan satu langkah bijak.

“Kami masih bergelut dengan masalah yang diwarisi daripada kerajaan lepas.

“BN tidak menawarkan apa-apa kepada rakyat, jadi kami perlu jelaskan perkara ini kepada mereka.”

Tian bagaimanapun mengakui bahawa Pakatan Harapan (PH) berhadapan laluan sukar di Rantau, berikutan kekalahannya dalam 2 PRK sebelum ini.

Tian Chua, yang menggesa calon PH di situ, Dr S Streram, supaya bekerja kuat berkata, “keadaan mungkin tidak memberangsangkan, tetapi kami perlu jelaskan apakah yang boleh dilakukan oleh PH.

“Calon PH juga perlu turun ke akar umbi dan memperkenalkan dirinya sebagai orang yang akan memberikan perkhidmatan langsung kepada rakyat.”

Ketika ditanya tentang spekulasi bahawa Umno akan menggerakkan seluruh jenteranya di Rantau dan PH akan melakukan perkara sama, termasuk menggunakan jentera kerajaan, Tian Chua berkata, perkara itu tidak akan berlaku.

“Saya fikir PH tidak pernah menggerakkan seluruh jentera kerajaan dalam PRK sebelum ini. Lagipun tidak ada keperluan itu. Wawasan kami tidak akan berjaya disampaikan hanya dengan menggunakan jentera kerajaan.”

Tian Chua juga tidak percaya persaingan 4 penjuru di situ akan mengurangkan undi semua calon dengan berkata, PRK itu akhirnya akan menjadi persaingan antara Mohamad, yang mendapat sokongan PAS, dengan calon PH, Dr S Streram.

“Seperti kita lihat dalam PRK lepas, calon Bebas bukanlah pemain utama kerana akhirnya pengundi akan memilih antara 2 parti terbesar yang bertanding.

“Ini bukannya masa untuk calon Bebas bertanding,” kata beliau.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil bersetuju bahawa PRK Rantau bukanlah mudah bagi PH.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, fenomena “Bossku” bekas perdana menteri, Najib Razak kelihatan tidak berkesan dalam kalangan pengundi di Rantau dan Umno tidak seharusnya mengikut perkembangan itu.

Pemimpin BN menganggap kemenangan mereka dalam PRK Cameron Highlands dan Semenyih antara lain disebabkan gerakan Bossku, yang popular dalam kalangan generasi muda dan pengguna media sosial.

Ditanya bilakah Dr Mahathir Mohamad akan turun berkempen di Rantau, Fahmi berkata, beliau kurang pasti kerana jadual perdana menteri itu agak ketat, terutamanya kerana sidang Dewan Rakyat sedang berlangsung sekarang.

PRK Rantau 13 April depan menyaksikan Mohamad berdepan calon PH, Dr S Streram dan 2 calon Bebas, iaitu Malar Rajaram dan Mohd Nor Yassin.

Ia diadakan berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak rayuan yang difailkan Mohamad untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang membatalkan kemenangan tanpa bertanding beliau dalam pilihan raya umum 9 Mei tahun lepas.

Mohamad disiytiharkan menang di kerusi tersebut selepas Streram tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon kerana tidak memiliki pas masuk daripada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

Tiada ulasan: