SERI ISKANDAR: “Saya terkejut melihat keadaan rumah yang berselerak serta dipenuhi najis beruk.
“Sedih melihat bumbung dapur rosak teruk sehingga ada yang tercabut angkara haiwan itu,” kata Norwani Arif, 33.
Norwani, guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) di Bota berkata, bukan saja bumbung dapur rumahnya rosak malah haiwan berkenaan turut merosakkan papan lapis dinding bilik tidur mereka selain tandas di luar rumah.
Berikutan sering diganggu haiwan berkenaan, dia dan suami, Mohd Shaiful Lizal Junid, 37, kini bimbang dengan keselamatan mereka sekeluarga termasuk tiga anak mereka berusia antara setahun hingga enam tahun serta ibu dan bapa mentua.
Tambahan pula, keadaan bapa mentua yang mempunyai penyakit angin pasang sejak lebih enam tahun lalu.
“Sebelum ini memang keadaan rumah kami sudah uzur tetapi tidaklah seperti ini. Gangguan beruk itu semakin menjadi-jadi terutama ketika kami sekeluarga tiada di rumah sejak awal bulan lalu.
“Baru-baru ini seekor beruk jantan masuk ke rumah ketika emak tinggal seorang diri, nasib baik haiwan itu tak datang berkumpul. Jika tidak, saya pun tak tahu apa akan berlaku.
“Sebab itu kami risau jika bumbung dan bahagian yang rosak tidak dibaiki akan memudahkan beruk masuk ke rumah,” katanya semalam.
Dia ditemui di kediamannya di Parit 13, Titi Gantung, Bota pada majlis penyerahan alat penyokong belakang untuk bapa mentuanya, Junid Halim, 84, yang disampaikan aktivis sosial, Rohaidatul Asma Jusoh hasil sumbangan orang ramai.
Norwani berkata, dia dan suaminya berhasrat untuk membaiki bahagian rumah yang rosak namun ia terpaksa dilupakan sementara waktu kerana kekangan kewangan.
Pendapatannya RM1,000 sebulan, ditambah upah suami membuat kerja kampung dan nelayan darat yang tidak menentu, mereka perlu memperuntukkan RM500 sebulan untuk belanja bulanan termasuk lampin pakai buang dan susu bapa mentuanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan