HALAMAN SANTAI

Selasa, 26 Mac 2019

Hadi pertahan Dr M bukan diktator, hanya tegas pada ahli Kabinet lemah

Hadi Awang berkata, Dr Mahathir Mohamad bersikap tegas 
terhadap ahli Kabinetnya yang lemah kerana beliau dipilih oleh 
PH, bukan kerana beliau melantik dirinya sebagai perdana menteri.
 
KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Abdul Hadi Awang mempertahankan Dr Mahathir Mohamad daripada dakwaan diktator dengan berkata, perdana menteri hanya bersikap tegas terhadap ahli Kabinetnya yang lemah.

Beliau merujuk dakwaan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar yang menyifatkan Mahathir sebagai bekas diktator.

“Itu bukan diktator, itu tegas kerana beliau dipilih secara demokratik dalam pilihan raya dan Pakatan Harapan yang pilih dia, bukan dia lantik diri sendiri.

“Apa yang penting ialah ketegasan menghadapi ahli Kabinet yang lemah. Itu suatu yang perlu bagi pemimpin,” katanya di lobi Parlimen hari ini.
Nurul Izzah dalam temubual dengan akhbar Singapura, Straits Times sebelum ini berkata, beliau “patah hati” dengan perkembangan politik di Malaysia selepas pilihan raya umum 9 Mei 2018.

Beliau juga tidak berpuas hati dengan kekurangan naratif jelas mengenai usaha memperkuatkan aliran pertengahan dan bekas ahli Parlimen Umno diterima menyertai PH.

Katanya, tidak mudah bekerja dengan “bekas diktator” yang menjadi punca begitu banyak kerosakan berlaku.

Kenyataan anak sulung Anwar Ibrahim itu dikritik pimpinan PPBM, termasuk Ahli Majlis Tertingginya, Tariq Ismail Mustafa.

Semalam, Mahathir dipetik Utusan Malaysia sebagai berkata, beliau juga kecewa dengan keadaan dalam negara seperti Nurul Izzah.

“Tidak apalah banyak orang kecewa, saya pun kecewa dengan mereka,” kata perdana menteri yang juga pengerusi PPBM dan PH.

Tiada ulasan: