HALAMAN SANTAI

Rabu, 27 Mac 2019

PENYATUAN MELAYU PERKUKUH KEAMANAN NEGARA

WATAN ONLINE


Agenda penyatuan kaum Melayu yang diterajui UMNO dan PAS bukan digagaskan untuk menyerang kaum lain, malah bertujuan untuk mewujudkan keadaan lebih aman dan sentosa di negara ini, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Katanya kestabilan negara akan menjadi lebih kukuh apabila kaum Melayu bersatu padu.
Justeru katanya kaum bukan Melayu tidak perlu berasa gusar dengan agenda yang bakal memberi impak positif itu.

“Tidak ada lagi politik pecah belah, hina-menghina, benci-membenci. Kita hanya hendak bersatu.
“Apabila orang Melayu yang membentuk peratusan penduduk paling besar bersatu maka tanah air kita akan aman dan sejahtera.

“Ekonomi akan jadi baik dan orang bukan Melayu pun akan dapat menikmati kesejahteraan ini bersama orang lain,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Makan Malam Bersama Presiden PAS anjuran PAS Negeri Sembilan pada Ahad.

Dalam perkembangan sama, Mohamad Hasan turut berkata pihak lain perlu memahami bahawa usaha penyatuan ummah ini merupakan agenda yang penting berikutan kaum Melayu kini berada dalam keadaan berpecah belah.

“Ini bukan `pengisytiharan perang’. Kita bukan hendak berperang dengan sesiapa pun. Kita minta orang Melayu bersatu kerana sudah terlampau banyak berpecah.

“Saya harap pihak yang tidak faham cuba mengerti bahawa ini sebenarnya adalah penyatuan ummah. Jangan ada rasa syak wasangka,” katanya.

Tiada ulasan: