HALAMAN SANTAI

Sabtu, 30 Mac 2019

PRK Rantau: Sri Sendayan agak sesak

SYAHIRAH SALLEH

 
SEREMBAN: Suasana di Bandar Sri Sendayan pagi ini agak sesak dengan kenderaan yang masuk yang menyaksikan kehadiran penyokong calon Barisan Nasional, Dato' Seri Mohamad Hasan juga dikenali sebagai Tok Mat.
 
Polis trafik bertugas mengawal lalu lintas bagi melancarkan proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Rantau, hari ini.
 
Kelihatan penyokong yang terdiri dari pelbagai kaum mula memenuhi pekarangan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Bandar Sri Sendayan, tempat penamaan calon.
 
Suasana hari penamaan calon PRK Rantau ini meriah bagai pesta yang menunjukkan manifestasi harapan dan sinar baharu kepada rakyat di Dun itu yang mengharapkan Tok Mat mempertahankan kemenangan lalu.
 
Setakat pagi ini, yang jelas dijangka berlaku pertembungan dua penjuru antara Tok Mat selaku Timbalan Presiden Umno dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan yang mewakili BN dengan Timbalan Ketua PKR Rembau, Dr S. Streram mewakili PH sementara calon Bebas tidak pasti lagi walaupun SPR mengumumkan lapan boring telah dijual untuk PRK itu.
 
Kehadiran pimpinan PAS disambut baik oleh barisan kepimpinan Umno antaranya bekas Menteri Pertahanan Malaysia, Dato' Hishammuddin Hussien, Ketua Pemuda, Dato' Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan beberapa pimpinan tertinggi yang lain.
 
Antara pimpinan PAS yang hadir memberi sokongan kepada calon BN ialah Naib Presiden, Ustaz Idris Ahmad, Setiausaha Agung, Dato' Takiyuddin Hassan, Ketua Pengarah Jabatan Pilihan raya, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi, Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Dr Rosni Adam, Ahli Jawatankuasa PAS, Dr Halimah Ali dan pemangku Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Haji Rafai Mustapha.
 
PRK Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 November lepas yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi Dun berkenaan pada PRU14 lalu terbatal dan tidak sah.

Pada PRU14, Mohamad disytiharkan menang tanpa bertanding kerusi tersebut selepas lawannya Dr S Streram daripada PKR dilarang masuk ke pusat penamaan calon ekoran tidak memiliki pas yang dikeluarkan SPR.HARAKAHDAILY 


Tiada ulasan: