HALAMAN SANTAI

Ahad, 31 Mac 2019

Jangan ingat Sarawak bodoh, Nancy bidas Putrajaya tarik balik projek

MINDA RAKYAT


KUALA LUMPUR: Seorang wakil rakyat Sarawak memberi amaran kepada Putrajaya agar jangan menganggap rakyat Sarawak bodoh selepas kerajaan persekutuan menarik balik projek pembinaan 3 jambatan atas alasan kekangan wang.

Ahli Parlimen Batang Sadong, Nancy Shukri berkata, beberapa wakil rakyat Sarawak membangkitkan isu pembinaan jambatan di Igan, Rambungan dan Batang Lupar dan pembangunan lain di Dewan Rakyat tetapi alasan diberi sama sahaja.

“Kerajaan persekutuan atau mana-mana parti memerintah harus beri kemudahan ini untuk kegunaan rakyat Sarawak. Tidak bolehlah kata tidak ada duit. Sudah beberapa kali isu ini dibangkitkan di Dewan Rakyat, menteri asyik kata tunggu lagi.

“Kami bukannya bodoh, cakap duit tidak ada tetapi sebenarnya banyak duit. Kalau jadi pemimpin, jadilah pemimpin untuk semua rakyat. Masa pilihan raya bolehlah bergaduh untuk menang tetapi lepas pilihan raya janganlah berdendam,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg mengkritik Putrajaya dan menggelarnya buruk siku selepas menarik balik projek pembinaan 3 jambatan itu dan beberapa projek lain.

Menurut Abang Johari, tindakan menarik balik pembinaan jambatan itu selepas diluluskan sewaktu pentadbiran Barisan Nasional (BN) dilihat janggal ketika Putrajaya bersungguh-sungguh mahu menghasilkan kereta terbang pertama negara.

Nancy berkata, bukan setakat 3 projek jambatan itu sahaja yang ditarik balik, projek-projek pembangunan kecil lain, yang bernilai RM20,000 hingga RM30,000 juga dibatalkan.

“Betapa kejamnya kerajaan yang ada pada hari ini. Saya kata demikian kerana kami merasainya, saya bersyukur kerana kerajaan Sarawak dapat berikan kami peruntukan. Jika tidak diberikan peruntukan, kami turun ke kawasan tidak ada duit,” katanya.

Nancy berkata, walaupun negerinya dikatakan ketinggalan namun banyak projek hendak dilaksanakan disitu dan banyak pihak hendak berkawan dengan orang Sarawak.

“Mereka hendak gunakan sebagai proksi. Saya cakap betul, jangan perbodohkan kami, kerana ini adalah hak orang Sarawak,” katanya.

Menurut Nancy, mana-mana pihak mempersoalkan apakah sumbangan Barisan Nasional (BN) selama 55 tahun di Sarawak harus melihat semula diri mereka, memandangkan setiap pembangunan di negeri berkenaan dilakukan kerajaan terdahulu.

“Ada yang kata BN memerintah selama 55 tahun, apa yang BN lakukan. Jangan malukan diri sendiri, jangan soal kami sedemikian. Jika tidak kerana BN, anda bersekolah di mana? Jalan mana yang anda lalui? Setakat ini mana dia legasi dari PH?

“Jangan sombonglah, semua keindahan dan pembangunan di Sarawak itu daripada kerajaan BN. Saya marah sebab kami sudah buat kerja. Kami dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak malu berjalan mendongakkan kepala. Kami bangga kerana tahu sudah jalankan tugas dengan baik,” katanya.

Tiada ulasan: