IPOH: Pesakit yang masih menyimpan produk ubat darah tinggi yang mengandungi bahan aktif losartan yang ditarik balik baru-baru ini dinasihat menghentikan pengambilan ubat berkenaan dan memulangkannya kembali kepada pembekal.
Bagaimanapun, menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, pesakit yang sudah mengambil ubat tersebut bagi merawat tekanan darah tinggi tidak perlu panik dan segera memulangkannya untuk mendapatkan bekalan ubat yang baharu.
"Sekiranya pesakit yang masih ada ubat tersebut, harus pulangkan tetapi tak perlu panik, berhentikan ubat tersebut dan serahkan kepada pembekal.
"Untuk kementerian, kita telah tarik balik ubat tersebut sebelum ini. Sepatutnya, ikut rekod, tidak lagi ada ubat itu dalam pasaran kecuali mereka yang simpan stok lama," katanya.
Menurutnya, hanya beberapa jenama ubat mengandungi losartan yang ditarik balik akibat tercemar dengan bahan yang tidak diingini.
Pada 7 Mac lalu, Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) telah menggantung pendaftaran tujuh produk ubat-ubatan yang dikesan mengandungi bahan aktif losartan.
Tindakan itu diambil setelah Pihak Berkuasa Sains Kesihatan Singapura (HSA) mengeluarkan notis panggil balik ke atas tiga produk yang mengandungi losartan daripada sumber bahan aktif dikeluarkan syarikat Hetero Lab Limited, India kerana kehadiran impuriti n-nitroso-n-methyl-4-aminobutyric acid (NMBA).
Impuriti ini berkemungkinan boleh menyebabkan kanser kepada penguna dalam jangka masa panjang.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia peringkat negeri Perak pada Sabtu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan