HALAMAN SANTAI

Selasa, 26 Mac 2019

Pakar forensik gesa inkues Adib panggil ‘Cik Miera’ susulan komen FB




SHAH ALAM: Pakar forensik yang membedah siasat Muhammad Adib Mohd Kassim menggesa Mahkamah Koroner memanggil “Cik Miera”, seorang wanita dikatakan jururawat di Institut Jantung Negara (IJN) yang mencetuskan kontroversi dengan komen yang menafikan keterangan saksi inkues.

Dr Ahmad Hafizam Hasmi dari Jabatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan saksi ke-24 dalam inkues punca kematian Adib dalam keterangannya pada Jumaat berkata kecederaan yang dialami anggota bomba itu tidak sepadan ditumbuk atau ditendang, tetapi akibat impak terlanggar pintu kiri van bomba.

Bagaimanapun, “Cik Miera” dalam komen di Facebook yang sudah ditarik balik bagaimanapun menafikan keterangan Hafizam.

“Jika sesiapa mempunyai maklumat lain terhadap kematian pada si mati, yang saya tidak jumpa sewaktu pemeriksaan klinikal dan bedah siasat, saya mohon koroner panggil ke mahkamah untuk tuntaskan perkara ini,” katanya kepada Hakim Rofiah Ahmad.

Beliau berkata demikian selepas Timbalan Pendakwaraya, Hamdan Hamzah menunjukkan keratan catatan Facebook “Cik Miera” kepada inkues hari ini, yang memasuki hari ke-17.

Semalam, peguam mewakili keluarga Adib, Kamaruzaman A Wahab dilapor berkata pihaknya tidak akan meminta “Cik Miera” memberi keterangan kepada inkues itu.

Hari ini, Hafizam berkata apa-apa kecederaan yang ditemui pada tubuh Adib sewaktu pemeriksaan klinikal dan bedah siasat dicatatkan dalam laporan.

Menjawab pertanyaan Kamaruzaman tentang kebarangkalian bahagian belakang kiri Adib patah kerana dipukul objek seperti bahagian belakang parang, Hafizam berkata ia tidak sepadan dengan kecederaan pada tubuh anggota bomba itu.

“Sangat mustahil,” katanya.

Ditanya kemungkinan Adib ditarik keluar perusuh daripada van bomba, seperti yang dikatakan anggota bomba yang memaklumkan Adib tiada dalam van sewaktu mengundur, Hafizam berkata pemeriksaan tidak menemui kecederaan akibat ditarik keluar daripada kenderaan itu.

“Saya dimaklumkan si mati penumpang hadapan sebelah kiri, jika ditarik keluar daripada kenderaan tersebut pastinya mengakibatkan kecederaan bahagian kiri,” katanya.

Adib, 24, yang juga anggota EMRS Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan di luar Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November lalu.

Beliau meninggal dunia pada 17 Disember lalu, 3 minggu selepas dirawat di IJN.

Saksi ke-18, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, Syed Shahril Anuar Syed Sulaiman dalam keterangannya berkata Adib semasa dikunjungi di IJN pada 5 Disember mengiyakan perusuh cuba membuka pintu van dan mengiyakan dia ditarik keluar pada malam kejadian

Tiada ulasan: