SEREMBAN: Jentera PAS
dari seluruh negara akan dikerahkan turun berkempen untuk calon Barisan
Nasional (BN), Dato' Seri Mohamad pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan
Undangan Negeri (Dun) Rantau.
Menurut Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat,
Dr Ahmad Samsuri Moktar dengan kerjasama erat antara Umno dan PAS,
Mohamad mampu mempertahankan kerusi tradisinya.
"Kita ada strategi khusus untuk memastikan kemenangan di pihak Mohamad.
"Antaranya kita akan gunakan peranan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) secara "all out" berikutan demografi komposisi penduduk di sini yang amat berbeza di sini.
"Saya percaya DHPP juga telah merangka strategi untuk membantu berkempen di sini," katanya kepada Harakahdaily.
Katanya, PAS juga telah mengeluarkan arahan mewajibkan semua pengundi PAS di Rantau mengundi calon BN.
Beliau percaya Mohamad yang mesra dengan
panggilan Tok Mat layak mengekalkan kerusi di Dun Rantau berikutan
pelbagai pembangunan yang telah dilakukan demi rakyat Dun Rantau.
Tambah Samsuri yang juga Menteri Besar
Terengganu, rakyat Dun Rantau telah menyaksikan sendiri kepimpinan
Mohamad dan seharusnya figura ini adalah layak menjadi wakil rakyat di
sini.
PAS, katanya akan sentiasa komited membantu kempen secara matang dan sejahtera.
Beliau berharap Pakatan Harapan berkempen dengan sebaik-baiknya mengikut lunas demokrasi.
"Kita harap elakkan budaya
fitnah-memfitnah dalam sebarang aktiviti sebagai memberi keharmonian
yang lebih baik sepanjang kempen ini berlangsung,” ujarnya.
Selain Samsuri, Naib Presiden dan
Setiausaha Agung PAS, Ustaz Idris Ahmad, Dato' Iskandar Samad dan Dato’
Takiyuddin Hassan antara yang diberi kebenaran menemani calon untuk
masuk ke pusat penamaan calon di dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Seri
Sendayan di sini. – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan