HALAMAN SANTAI

Ahad, 31 Mac 2019

Cadangan Mengantikan Raja Bahrin dan Husam Musa


1. Merujuk kepada kenyataan Profesor Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman, Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE) dalam satu sidang media di Kedah pada 21 Mac 2019 lepas, yang menyatakan bahawa sokongan rakyat terhadap Kerajaan Pakatan Harapan menurun, adalah sesuatu yang perlu diberi perhatian serius oleh Pimpinan Tertinggi Pakatan Harapan Pusat. Namum, menurut beliau lagi, kemerosotan sokongan rakyat ini bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana dasar naluri manusia yang mahukan sesuatu perubahan itu drastik dalam tempoh yang singkat, tetapi sebagai kerajaan persekutuan yang baru, sewajarnya perubahan ketara yang lebih baik bagi kehidupan rakyat sepatutnya berlaku dan dirasai.

2. Walaupun kenyataan beliau itu dibuat secara umum tanpa merujuk kepada mana-mana bahagian pentadbiran kerajaan dan parti politik, tetapi apa yang penting kepada pendokong dan penyokong Pakatan Harapan di seluruh negara adalah tindakan pantas, sistematik, berhemah, konsisten dan tegas untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang timbul di pelbagai peringkat. Setiap pemimpin peringkat tertinggi Pakatan Harapan sewajarnya dapat membaca dan menghidu keresahan para pendokong dan penyokong yang telah lama dan banyak bersuara tentang kekurangan, kelemahan dan kelompangan dalam beberapa perkara dan isu pentadbiran. Lebih malang lagi jika kelemahan pentadbiran ini berkait rapat dengan perkhidmatan yang sepatutnya diberikan kepada rakyat di kawasan-kawasan parlimen, kampung-kampung oleh pimpinan-pimpinan peringkat bahagian atau cawangan, disebabkan ketiadaan struktur pentadbiran yang diselaraskan antara parti Pakatan Harapan.

3. Antara sekian banyak kelemahan adalah kelemahan yang berlaku dalam Pakatan Harapan negeri sendiri bagi negeri tertentu. Dengan usia kemenangan yang menjangkau 1 tahun, sepatutnya negeri telah mempunyai struktur pentadbiran Pakatan Harapan Negeri yang mantap dan tersusun. Struktur ini juga sewajarnya telah melebar dengan kemas ke setiap kawasan, cabang atau bahagian. Jawatan-jawatan seperti Penyelaras Parlimen, Penyelaras DUN dan biro-biro yang selari dengan keperluan kementerian-kementerian di peringkat pusat, telah dianggotai bersama oleh rakan-rakan Pakatan Harapan Negeri. Mesyuarat diperingkat PH Negeri sepatutnya memandu dan boleh dijadikan panduan oleh bahagian, cabang atau kawasan. Tetapi amat malang jika masih ada pimpinan PH Negeri yang gagal mengadakan mesyuarat dengan korum yang penuh untuk membuat beberapa keputusan penting dan itu pun berlaku sekali dua sahaja dalam tempoh 10 bulan ini.

4. Justeru, sebagai pendokong dan penyokong perubahan bersama-sama rakyat yang telah memberi mandat kepada parti-parti dalam Pakatan Harapan, saya mencadangkan pihak kepimpinan tertinggi PH terutamanya Majlis Presiden PH supaya menilai dan menggantikan mana-mana pengerusi Pakatan Harapan Negeri yang tidak mempedulikan kelestraian dan kelangsungan politik Pakatan Harapan di peringkat negeri. Ini adalah amat penting dan sangat serius untuk diberikan perhatian memandangkan ia adalah suara akar umbi yang telah bosan dengan ketidakupayaan dan kepimpinan yang mendatar tanpa visi, misi dan tanpa anjakan keberhasilan.

Syed Mohd Al-Amin bin Tuan Sharif
Ketua Penerangan
Parti Keadilan Rakyat Terengganu


Tiada ulasan: