HALAMAN SANTAI

Selasa, 26 Mac 2019

Tembak dulu, fakta kemudian - Laskar siber

   

LAPORAN KHAS | Tugas yang digalas sebagai laskar siber tidak boleh dibuat secara samberono, sebaliknya setiap seorang perlu dilengkapi strategi dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Jelas laskar siber yang dikenali sebagai Bob, sebelum diberikan sesuatu isu untuk dimainkan, mereka dimaklumkan mengenai sasaran yang perlu dituju serta maklumat yang berkenaan sebelum 'serangan' dilancarkan.

"Biasanya kami mempunyai lebih daripada tiga akaun Facebook atau di media sosial lain yang digunakan untuk menyerang. Biasanya kami guna akaun Facebook palsu.

"Kami mempunyai strategi, isu apa yang dimainkan dan siapa yang menjadi sasaran.

"Kalau hala kepada kerajaan, kami akan serang pemimpinnya bertalu-talu untuk menimbulkan persepsi negatif, kadang-kadang kita "spin" supaya orang ramai percaya," katanya.

Menurut Bob lagi SOP yang biasa diamalkan ialah, tembak dulu, dan fakta di kedudukan kedua, kecuali apabila perlu menjawab tuduhan.

Begitu juga katanya apabila kadangkala dikehendaki mencetuskan isu tertentu bagi mengalihkan perhatian masyarakat daripada tuduhan melibatkan "bos" mereka.

"Kami ada SOP. Kalau ada isu terpalit pada kami, macam mana perlu dijawab dan bagaimana untuk menyerang balas.

"Biasanya setiap hari kami perlu mainkan isu-isu yang disediakan lebih awal," katanya ketika ditemui Malaysiakini.

Sementara itu, Bob berkata penting untuk dia kelihatan bertindak agresif di Facebook kerana ia menjadi nilai tambah pada seseorang laskar siber.


Katanya, jika Facebook mereka disukai oleh ramai netizen dan berpengaruh, ia pastinya membantu menaikkan 'saham' sekali gus mengubah kadar bayaran yang diterima.

"Kalau kita lihat di Facebook, troll politik dikendalikan oleh individu tertentu.

"Jika ada mana-mana pihak mahukan sesuatu hantaran disiarkan di Facebook mereka, kadang-kadang perlu membayar sehingga puluhan ribu ringgit.

"Malah, ada juga akaun Facebook sebegitu dan di belakangnya ialah parti politik tertentu.

"Mereka akan memainkan peranan untuk menyerang pihak tertentu secara sinis dan akhirnya akan ditularkan pengikut masing-masing," katanya.


Tiada ulasan: