HALAMAN SANTAI

Rabu, 27 Mac 2019

Mujahid: SPV jaga aset TH tiada CEO 'buat masa ini'

MALAYSIAKINI


   

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof memaklumkan syarikat tujuan khas (SPV) yang memegang sejumlah aset Lembaga Tabung Haji setakat ini masih belum mempunyai pengurusan dan ketua pegawai eksekutif (CEO).

Beliau berkata buat masa ini, kesemua urusan Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) dilaksanakan salah satu syarikat milik Menteri Kewangan (Diperbadankan) - atau MOF Inc - iaitu Prokhas Sdn Bhd.

"Prokhas Sdn Bhd adalah entiti milik kerajaan yang turut menguruskan SPV milik kerajaan lain seperti Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP), Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad (SJKP Berhad) dan DanaInfra Nasional Berhad," katanya melalui jawapan bertulis parlimen, semalam.

Ia bagi menjawab soalan Anggota Parlimen Pendang Awang Hashim yang meminta kerajaan menamakan CEO dan ahli lembaga pengarah UJSB.

Dalam jawapan itu, Mujahid menyenaraikan ahli lembaga pengarah UJSB yang menurutnya dilantik di kalangan pegawai Kementerian Kewangan yang "berpengalaman dan berpengetahuan luas" dalam bidang berkaitan.

Mereka ialah:
  • Ketua Setiausaha Perbendaharaan Ahmad Badri Mohd Zahir (pengerusi)
  • Setiausaha Bahagian Syarikat Pelaburan Kerajaan Rashidah Mohd Sies
  • Pengarah Pelaburan Hartanah Bumiputera Bhd Mohd Shukri Hussin
  • Timbalan Setiausaha Fiskal Dan Ekonomi Mohd Hassan Ahmad
  • Ketua Seksyen Bahagian Fiskal Dan Ekonomi Imri Dolhadi Ab Wahab
Sidang Parlimen semalam kecoh seketika apabila Awang dan Anggota Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim - yang juga bekas pengerusi Tabung Haji - mendesak Mujahid menamakan CEO dan ahli lembaga pengarah UJSB.

Mujahid tidak memberikan nama secara spesifik sebelum Yang Dipertua Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof menggesa beliau memberikan jawapan bertulis terhadap soalan itu.

Mulai tahun ini, Tabung Haji dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia manakala sebahagian asetnya yang susut nilai melebihi 20 peratus dipindahkan ke UJSB, sebagai sebahagian daripada pelan pemulihan lembaga itu.


Tiada ulasan: