HALAMAN SANTAI

Sabtu, 30 Mac 2019

Struktur kuasa lawan kekuatan pengaruh di Rantau


   

Rata-rata pemerhati politik di Malaysia mengambil langkah sangat berhati-hati dalam memberi ulasan mereka terhadap pilihan raya kecil (PRK) Rantau.

Ini kerana komposisi etnik di Rantau, sama sekali berbeza dengan Dewan Undangan Negeri (DUN) Cameron Highlands (CH) dan Semenyih.

Daripada lebih kurang 21,000 pengundi di Rantau, hanya 52 peratus adalah Melayu. India pula 27.53 peratus dan Cina 18.81 peratus.

DUN Rantau, untuk itu, adalah kawasan campuran dan bukan kawasan majoriti Melayu/Bumiputra seperti di CH dan Semenyih.

Kawasan campuran banyak dikuasai Pakatan Harapan (PH) semasa PRU 2018. PH juga adalah kedua-dua kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.

Oleh itu, PH menguasai struktur kuasa (hard power) di Negeri Sembilan termasuk di Rantau.

Namun, bawah kepimpinan Mohamad Hasan, BN perlahan-lahan mengukuhkan kedudukan sebagai pembangkang baharu.

Kerjasama tidak sahaja dijalinkan dengan PAS, tetapi MCA dan MIC berjaya dipujuk untuk bertahan dan terus bekerjasama dalam BN, dengan menerima PAS sebagai sekutu baharu.

Di peringkat lokal juga, Tok Mat adalah faktor penting. Beliau adalah ADUN Rantau sejak 2004 dan juga merupakan MB Negeri Sembilan sejak itu.

Di Negeri Sembilan, ketokohan beliau dihormati teman dan lawan.

Di Rantau pula, jalinan kerjasama dengan kebanyakan pemimpin dan penduduk tempatan telah lama dilakukan dengan baik. Jalinan yang personal sehingga di luar batasan politik dan etnik.

Sikap beliau yang bersahaja, berseloroh dalam bahasa Nogori, disenangi ramai rakyat tempatan. 

DUN Rantau pula, boleh dikatakan kawasan luar bandar.

Dinamik pengundian golongan bukan Melayu luar bandar cenderung berbeza dengan bukan Melayu di bandar. Faktor jalinan dan penaungan memain peranan penting di sini.

BN mempunyai kekuatan pengaruh (soft power) di kawasan ini.

PH tentu sekali akan berusaha bersungguh-sungguh kali ini. Lebih-lebih lagi dengan dua kekalahan yang mengecewakan mereka di CH dan Semenyih.

Saya lihat kali ini, Anwar Ibrahim, akan diletak untuk mengepalai kempen PH di sana secara tidak rasmi, dengan kedudukan beliau sebagai Ahli Parlimen Port Dickson.

Kemenangan PH tentu sekali boleh menaik moral PH dan kredibiliti Anwar sebagai bakal Perdana Menteri PH.

Namun usaha itu, tidaklah semudah seperti PH memenangi PRK Port Dickson tempoh hari.

Tok Mat, sebaliknya juga, adalah tokoh yang paling cerah untuk dicalonkan sebagai PM BN+PAS pada PRU-15 nanti.

Kemenangan Tok Mat di Rantau, untuk itu, sangat penting bagi gerakan pembangkang di Malaysia. 

Jika Tok Mat kalah di Rantau, moral pembangkang akan terkesan bukan sahaja selepas PRK Rantau, tetapi juga dalam PRU-15.

Selain Tok Mat, tokoh lain di dalam BN buat masa ini tidak mempunyai karisma dan ketokohan yang boleh menjalin hubungan yang baik di kalangan pemimpin pembangkang.

BN, khasnya Tok Mat, akan berjuang habis-habisan di DUN Rantau.

Akhir kalam, persaingan tentu sekali masih terbuka, dua-dua parti ini akan bersaing bermati-matian, kerana masing-masing cuba menaikkan moral gabungan parti masing-masing dalam era transisi Malaysia Baharu yang penuh ketidakpastian ini.

Meskipun nampak 50-50 di atas kertas, saya melihat BN ada kelebihan untuk menang di Rantau, berbanding PH, atas faktor Tok Mat sebagai faktor utama.


*DR MUHAMAD NADZRI MOHAMED NOOR ialah pensyarah kanan, Program Sains Politik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).


Tiada ulasan: