HALAMAN SANTAI

Ahad, 31 Mac 2019

CLP: Kenapa AG tak sensitif?

Wartawan MalaysiaGazette
xMGF21122018_MAJLIS-PROFESSOR-NEGARA_18-681x454
Prof Dr. Teo Kok Seong

KUALA LUMPUR – Peguam Negara didakwa tidak sensitif apabila memperakui Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bagi tujuan menduduki Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP).

Meskipun, ia merupakan kuasa mutlak seorang Peguam Negara tetapi persoalannya mengapa pengiktirafan itu dilakukan secara tiba-tiba dan dalam ketika kajian pengiktirafan sijil itu sedang dilakukan oleh Kementerian Pendidikan.

Penganalisis tempatan, Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata, akibat daripada keputusan itu rakyat tertanya-tanya apakah kewajaran untuk mengiktiraf UEC yang sejak sekian lama menjadi polemik.
Lantaran itu, Tommy Thomas perlu menjelaskan mengenai keputusan yang dibuat.

“Keputusan Peguam Negara menjadi perdebatan kerana ia dianggap sebagai piecemeal atau pembaharuan tambahan dalam sesuatu sistem untuk satu tujuan.

“Mengapa tiba-tiba dan sekarang?

“Satu lagi, bukankah kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia dijadikan penanda aras dalam peperiksaan di Malaysia memandangkan peperiksaan itu mempunyai tiga subjek teras pembinaan bangsa negara melalui subjek bahasa Melayu, Sejarah, Pendidikan Islam/Moral.

“Jelaskan mengapa ia tidak dijadikan penanda aras dalam CLP?,” katanya kepada Malaysia Gazette.

Jelasnya, pengiktirafan UEC yang disamakan dengan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) memberi isyarat yang salah terhadap penduduk majoriti Malaysia kerana ia dilihat sebagai satu cubaan untuk ‘menganggu-gugat’ sistem pe ndidikan negara dan mencabul Dasar Pendidikan Negara.

“Dari segi undang-undang ia tidak salah. Tetapi dari segi moral ia adalah titik hitam kepada sistem pendidikan, kepada perjuang bangsa negara,” ujarnya yang kecewa dengan keputusan tersebut.

Mengulas lanjut, Kok Seong percaya, walaupun peguam-peguam negara terdahulu mempunyai kuasa mutlak itu namun mereka mengambil banyak pertimbangan kewajaran tentang negara dan kontrak sosial antara kaum, lantaran itu UEC tidak pernah berada dalam pertimbangan.

Baru-baru ini, Tommy yang juga Pengerusi Lembaga Kelayakan Profesional Undang-Undang Malaysia mengumumkan UEC pada tahap Senior Middle 3 boleh diterima sebagai memenuhi syarat kelayakan di peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi tujuan menduduki Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP).

Syarat menduduki CLP bagi pemegang sijil kelayakan UEC ialah lulus sekurang-kurangnya 2 mata pelajaran pada tahap Senior Middle 3 dan memperoleh sekurang-kurangnya 5 kepujian di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)/ O-Levels/setaraf yang diperoleh dalam 1 peperiksaan yang sama.

Syarat ini hendaklah terpakai bagi semua pelajar yang mendaftar bagi kemasukan program Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang selepas pengumuman keputusan terdahulu pada 5 Jun 2018.

Bagi mengelak apa-apa kekeliruan, adalah perlu ditekankan bahawa 1 Jan 2021, semua pelajar sama ada pemegang sijil UEC atau kelayakan lain yang diiktiraf, yang ingin menduduki peperiksaan CLP hendaklah memenuhi syarat 5 kepujian di peringkat SPM/O-Levels/ setaraf, dan kelulusan yang berkenaan di peringkat STPM/ UEC/A-Levels/setaraf yang diperolehi dalam 1 peperiksaan yang sama.

Menurut kenyataan itu, semua syarat lain adalah kekal terpakai sebagaimana dinyatakan dalam “Garis Panduan Baharu Kelayakan dan Syarat Untuk Layak Menduduki Peperiksaan CLP (Ijazah Undang-Undang dari United Kingdom) dan Garis Panduan Kelayakan dan Syarat Pengiktirafan Pemegang ijazah Undang-Undang dari Australia dan New Zealand Untuk Layak Mengikut Akta Profesion Undang-Undang 1976.

Terdahulu, pada 5 Jun 2018, lembaga kelayakan itu mengumumkan keputusan bahawa syarat menduduki CLP bagi pemegang sijil kelayakan UEC mulai tahun 2021 ialah perlu mempunyai kelayakan UEC dan lulus penuh sekurang-kurangnya dua mata pelajaran di peringkat STPM/A-Levels.

Pada masa ini, syarat kelayakan bagi pemegang sijil kelayakan UEC untuk menduduki CLP adalah memperoleh sekurang-kurangnya tiga kepujian di peringkat SPM/O-Levels yang diperoleh dalam satu peperiksaan yang sama; atau kelayakan UEC dan lulus penuh sekurang-kurangnya 2 mata pelajaran di peringkat STPM /A-Levels yang diperoleh dalam satu peperiksaan sama. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: