xMohd-Asmirul-Anuar-Aris
Mohd Asmirul Anuar Aris. foto Bernama.

ALOR SETAR –  Kerajaan Kedah memohon maaf atas kesilapan teknikal mengenai perkataan ‘wira’ yang tercatat pada papan maklumat tugu memperingati tentera Jepun di perkarangan Muzium Negeri Kedah di sini, yang dirasmikan baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya, Pembangunan Keusahawanan negeri, Mohd Asmirul Anuar Aris turut menyatakan permohonan maaf itu mewakili pihak Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah dan Lembaga Muzium Negeri Kedah.

Beliau berkata kesilapan itu timbul apabila syarikat yang mencetak papan maklumat serta kain rentang majlis perasmian tugu Jepun itu salah menterjemah maklumat yang disediakan pihak Konsulat Jepun.

Katanya tugu berkenaan sebenarnya sudah lama dibina iaitu pada 1941, semasa perang dunia kedua belum tamat, dan baru-baru ini dibuat pemulihan bertujuan untuk memelihara artifak sejarah berkenaan.

“Bagi pihak Jepun, anggota tenteranya yang terkorban pada peperangan itu dianggap sebagai wira, namun kita tetap menganggapnya sebagai penjajah,” katanya.

Mohd Asmirul berkata keadaan itu sengaja dimanipulasikan sesetengah pihak sehingga timbulnya kontroversi yang dianggap sebagai promosi percuma kepada pelancongan di negeri ini.

Semalam, tular di laman sosial kononnya perasmian tugu Jepun itu menunjukkan kerajaan negeri mengiktiraf tentera Jepun yang terkorban semasa zaman penjajah dahulu sebagai wira.

Selepas menerima pelbagai kritikan berhubung perkara itu, papan maklumat pada tugu Jepun itu diturunkan petang semalam. – MalaysiaGazette