HALAMAN SANTAI

Rabu, 27 Mac 2019

Mayat gadis tersangkut pada mata kail pemancing

Zuliaty Zulkiffli
 
 
 

MAYAT gadis yang ditemui tersangkut pada mata kail seorang pemancing di Sungai Sentap, Kampung Kodiang Lama, berhampiran Gua Kerbau, Jitra, Ahad lalu, dipercayai mangsa bunuh.

Polis sudah menahan seorang remaja bagi membantu siasatan kematian mangsa dikenali sebagai Ainna, 18, berasal dari Kuala Sungai Baru Sanglang, Simpang Ampat, Perlis itu.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, kes berkenaan yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut ditukar kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Hasil soal siasat, suspek yang berusia 18 tahun mengaku terbabit dalam kes ini kerana hanya dia dan mangsa berada di tempat kejadian.

“Kedua-duanya dipercayai terjatuh dalam sungai, namun suspek berjaya menyelamatkan diri, manakala mangsa dipercayai lemas,” katanya ketika dihubungi wartawan Harian Metro, hari ini.

Mohd Ismail berkata, suspek tidak meminta bantuan, selain tidak memaklumkan kejadian kepada orang ramai mengenai kematian mangsa di sungai itu.

Menurutnya, pemeriksaan pada mayat di Hospital Jitra mendapati ada kesan lebam pada belakang kepala, selain kecederaan seperti patah dan lebam di tangan.

Katanya, proses bedah siasat dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar dan sudah dilakukan 9 malam, semalam.

“Suspek direman selama tiga hari bermula semalam sehingga esok untuk membantu siasatan,” katanya.

Mohd Ismail berkata, pihaknya juga sudah mendapatkan pengesahan mayat daripada ibu bapa mangsa.

“Mereka (ibu bapa) mengesahkan mayat itu anak perempuan bongsu mereka selepas tidak mengetahui keberadaan mangsa sebelum itu.

“Seorang kakak mangsa ada memberitahu, remaja perempuan itu keluar rumah pada 7 petang, 23 Mac lalu bertemu dengan teman lelakinya, namun kakaknya tidak mengenali lelaki berkenaan,” katanya.

Portal Harian Metro Ahad lalu melaporkan remaja perempuan itu ditemui lemas di Sungai Sentap, Kampung Kodiang Lama, pada 11.50 malam.

Mayat yang masih berpakaian baju lengan panjang dan seluar panjang merah serta sandal hitam ditemui terapung di sungai itu.

Tiada ulasan: