HALAMAN SANTAI

Rabu, 1 Mei 2019

Dr M minta individu terlibat forum Statut Rom jangan bimbang disiasat menghasut

Dr Mahathir Mohamad berkata penyiasatan berhubung forum 
Statut Rom di UM tidak semestinya akan berakhir dengan 
pendakwaan di bawah Akta Hasutan.
 
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata mana-mana pihak tidak perlu bimbang mengenai siasatan di bawah Akta Hasutan terhadap beberapa individu yang didakwa mengkritik Raja-raja Melayu dalam forum Statut Rom di Universiti Malaya, baru-baru ini.

Katanya, pihak yang disiasat tidak perlu bimbang jika apa yang mereka perkatakan itu benar.

“Jika anda laporkan perkara yang benar, tidak perlu takut kepada apa-apa, kerana ia sahih.

“Tapi jika anda menipu, buat-buat cerita untuk pengaruhi emosi, bangkitkan kemarahan dalam kalangan masyarakat, itu tidak betul,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Persidangan Tahunan Belia 2019 di Kuala Lumpur, hari ini.

Mahathir diminta mengulas mengenai siasatan polis ke atas beberapa individu yang membuat ucapan pada forum Statut Rom yang diadakan di Universiti Malaya, Ahad lalu.

Mahathir berkata, sebagai anggota polis mereka perlu melindungi rakyat dan bertindak serta melakukan siasatan jika wujudkan usaha untuk menimbul huru-hara.

“Polis melindungi kita. Apabila mereka (pihak tertentu) cuba mencetuskan huru hara, mereka (polis) perlu bertindak. Penyiasatan mereka akan membawa kepada pendakwaan, cuma mereka kena siasat sama ada wujud cubaan untuk mencetuskan huru hara.

“Penyiasatan tidak semestinya akan berakhir dengan pendakwaan,” katanya.

Dilaporkan polis akan memanggil beberapa individu yang didakwa mengkritik Raja-raja Melayu ketika forum Statut Rom.
Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya sudah menerima laporan polis berhubung isu itu dan siasatan sedang dijalankan di bawah Akta Hasutan.

Mahathir yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata terdapat salah faham mengenai Statut Rom menyebabkan rakyat dalam ketakutan.

“Ada salah faham, mereka tidak faham apa-apa mengenai Statut Rom berkenaan, se
baliknya menakutkan orang.

“Sebenarnya tiada apa-apa. Sedangkan maharaja Jepun yang mengetuai laskarnya ketika perang, tidak didakwa menggunakan Statut Rom. Sama juga dengan pemimpin Jepun, tiada tindakan dikenakan terhadapnya. Pegawainya saja yang berdepan tindakan,” katanya.

Tiada ulasan: