Pesuruhjaya Tinggi Anne Namakau Mutelo memberitahu FMT aduan itu dibuat kepada Kementerian Luar Negeri kerana merela bertanggungjawab ke atas kebajikan wakil-wakil diplomatik.
Menceritakan kejadian dengan pegawai imigresen itu, Mutelo berkata ia berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12 Ogos.
Dua anak saudaranya, Adventure Simataa Simasiku dan Roydie Mabengano Simasiku, tiba di KLIA tetapi diminta keluar dari barisan imigresen dan pergi ke sebuah bilik.
“Mereka diberitahu bilik itu pejabat imigresen untuk mereka cap pasport mereka jika mahu memasuki Malaysia.
“Mereka ditahan selama 3 jam di ‘pejabat’ imigresen itu bersama ramai lagi orang Afrika dan warganegara,” katanya.
Beliau berkata adik beradik itu memaklumkan kepada imigresen bahawa mereka anak saudaranya dan dia dalam perjalanan untuk mengambil mereka.
Mutelo kemudian memperkenalkan dirinya kepada imigresen dan meminta sebab-sebab penahanan itu.
Suruhanjaya Tinggi Namibia dalam kenyataan akhbar berkata pegawai imigresen terbabit berulang kali mengatakan ini Malaysia dan bukan Namibia dan mencampak pasport adik beradik itu kepada Mutelo.
Sebahagian daripada perbalahan itu dirakam oleh Adventure tetapi pegawai imigresen berkenaan meminta dia memadamkan rakaman itu, katanya.
Mutelo berkata Suruhanjaya Tinggi membantah cara kasar dan tidak bertamadun pegawai terbabit melayan kerajaan dan rakyat Namibia.
Beliau berkata pegawai berkenaan mencabuli hak warga Namibia berkenaan apabila menahan mereka secara tidak sah.
“Selepas trauma itu dan apabila pasport sudah dicap, tiada sebab-sebab sah diberikan tentang penahanan itu,” katanya.
Mutelo tidak menyatakan apakah tindakan yang patut dikenakan terhadap pegawai imigresen terbabit, mengatakan terserah kepada kerajaan Malaysia bagaimana untuk menguruskan isu berkenaan.
Wisma Putra memberitahu FMT kementerian kesal dengan kejadian itu dan aduan rasmi berkenaan sudah disampaikan kepada imigresen untuk siasatan dan tindakan.
“Kejadian yang dikesali itu tidak menyasarkan mana-mana warga dari rantau Afrika,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan