HARAKAHDAILY
* PERTEMBUNGAN yang semakin memanas dalam arena
politik negara dilihat berpunca dari masalah ketidakmatangan parti dan
pemimpin politik. Ikuti semula Debat Sinar: Malaysia Baharu, Pemimpin Tak Amal Politik Matang dari tujahan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari yang ditulis semula Pengarang HarakahDaily, IZWAN ABDUL HALIM.
Landskap semasa politik
Menurut beliau, matang merujuk kepada landasan pemikiran yang
berpandukan kepada data dan hujah di mana dengannya dapat membuat
keputusan menuju matlamat ditetapkan.
Katanya, politik perlu dibudayakan dengan pandangan dan tindakan
kepada prinsip, bukan manipulasi atau spekulasi dan kepentingan dari
sokongan diberi rakyat hingga mengotori wadah pemerintahan.
Antaranya hujah beliau, pihak yang sekadar baharu didakwa ke mahkamah
dan belum diputuskan sebagai bersalah, maka ia tetap dianggap tidak
bersalah.
Begitu juga terangnya, mesti dibezakan antara kerajaan dan parti
pemerintah, di mana selaku kerajaan wajib melaksanakan tanggungjawab,
sedangkan parti entiti yang bersilih ganti.
Termasuk dalam erti matang jelas beliau, adalah menghormati pilihan
rakyat dalam konteks demokrasi yang mengizinkan kehendak mereka
dizahirkan.
Ahmad Fadhli mengemukakan contoh pemansuhan Cukai Barangan dan
Perkhidmatan (GST) oleh PH tanpa persediaan sewajarnya di mana
menyebabkan kerajaan kehilangan pendapatan berpuluh bilion.
“Sedangkan, kerajaan boleh menghapuskan GST dalam keadaan membuat
satu polisi yang cukup bersedia untuk dilancarkan. Tetapi kenapa terus
menghapuskan GST? Tak lain tak bukan, (kerana) pendekatan ekonomi yang
tidak matang,” bidasnya.
Ketidakmatangan pemimpin PH juga kesalinya, apabila mengeluarkan
kenyataan atau pandangan yang menjurus kepada pertembungan antara agama
dan kaum.
Bahkan ujar beliau, termasuk menyebabkan ketidakstabilan politik
apabila sesama anggota PH tertumpu kepada desakan demi desakan supaya
Perdana Menteri meletakkan jawatan.
Tuduhan dan bersengketa
Politik matang tegas Fadhli, menolak spekulasi, sekali gus
mengingatkan jika kes 1MDB yang sedang dihadapkan ke mahkamah itu dikira
bersalah, maka banyak kes melibatkan pemimpin PH sudah dianggap
bersalah.
Antaranya senarai beliau, kes rasuah banglo melibatkan Menteri
Kewangan, kes rogol Exco Perak dari DAP serta kes berkaitan pengganas
LTTE melibatkan Adun dan pemimpin dari DAP juga.
“Bagi PAS, Menteri Kewangan belum didapati bersalah dalam isu rasuah
banglonya, maka kita kata bahawa beliau belum didapati bersalah. Cuma
kita hairan kenapa digugurkan? Itu kita hairan sahajalah. Kita berhak
untuk menyatakan kehairanan.
“Tetapi soal tak bersalah atau bersalah, bagi kita sebelum dibuktikan
bersalah, ia tetap dikira sebagai tidak bersalah, dalam apa jua keadaan
sekalipun selagi mereka tidak dibuktikan bersalah.
“Kerana itulah bila menyebut tentang 1MDB, saya nampak bahawa PAS
sering dibabitkan seolah-olah PAS ini suka ataupun merelakan isu 1MDB.
Saya nak ingatkan dalam
MalaysiaKini sendiri (ada laporan pada) 12, 26 Mac 2018 (bahawa) PAS tegaskan tubuh RCI 1MDB.
“Ini dalam
MalaysiaKini iaitu satu laman web yang sentiasa
dijadikan rujukan oleh penyokong PH. Kalaulah PAS ini sudahpun percaya
bahawa 1MDB ini tiada skandal dan sebagainya, tidak ada desakan seperti
ini.
“Cuma saya hairannya, kenapa sampai saat ini sebagai contoh RCI-RCI
masih belum lagi ditubuhkan, ya, mungkin isu 1MDB sudah dibicarakan di
mahkamah,” ujarnya menyenaraikan beberapa kes yang pernah didesak
penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI).
Beliau turut membandingkan ketidakmatangan PH apabila kononnya
menunjukkan sokong kepada Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri
di Parlimen, tetapi di medan terbuka menyerlahkan desakan untuk tokoh
itu berundur.
Ahmad Fadhli menyenaraikan desakan tersebut antaranya dari Syed
Hussin Syed Ali yang menggesa serah jawatan segera tanpa dolak dalih;
dari pemimpin DAP dengan memberi kata bahawa masanya untuk Tun berundur.
Nada sama juga dinyatakannya dari Charles Santiago dan Ronnie Liu
hingga ada label seperti ‘kuda tua’ dan ‘harimau kertas’ di mana semua
desakan itu yang ‘menggugat’ kedudukan ketua mereka dalam PH tidak
menjadi kesalahan bagi DAP.
“Bayangkan mana pelabur nak datang dalam keadaan PM didesak setiap
hari untuk meletakkan jawatan. PM pula yang partinya ada kerusi yang
minoriti di dalam Dewan Rakyat. Macam mana pelabur nak datang? Pelabur
melihat PM pun dah kena tekan hari-hari, siapa nak dilantik menjadi PM
besok?
“Mungkin hari ini PM orang lain, menjelang ayam berkokok besoknya
orang lain pula. Mana pelabur nak datang? Jadi kestabilan ekonomi
diganggu gugat oleh spekulasi bahawa PM ini didesak supaya berundur,”
ujarnya mual terhadap ketidakmatangan itu.
Bersikap kontradik dan ekstrem
Fadhli juga menyentuh mengenai janji Manifesto PH yang akan melantik
jawatan penting melalui keputusan dari Parlimen, tetapi sebaliknya
berlaku apabila Peguam Negara dilantik secara pilihan PH.
Sedangkan rakyat katanya, mahu melihat Peguam Negara yang lebih cekap
bertindak, tetapi ‘perbezaan’ dijanjikan dapat dilihat pada jawatan
tersebut kini menghampakan banyak pihak kerana pendakwaan terpilih.
Beliau mengemukakan kes anggota Bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang
setelah mahkamah memutuskan kematiannya bukan kemalangan, tetapi akibat
dibunuh, namun Peguam Negara belum mengarahkan siasatan.
Berbeza katanya, dalam kes kematian Teoh Beng Hock apabila Peguam
Negara mengklasifikasikan sebagai kes bunuh, lalu dibuka untuk siasatan
semula.
Turut diketengahkan Ahmad Fadhli ialah ketidakmatangan Setiausaha
Agung DAP, Lim Guan Eng yang menuduh PAS dan Umno akan melaksanakan lima
tindakan sekiranya menjadi kerajaan.
“
Pertama, bukan-Melayu tidak boleh memegang jawatan dalam Kabinet.
Kedua, sekolah vernakular akan ditutup sepenuhnya.
Ketiga, bukan-Muslim khususnya Kristian tidak boleh berkumpul untuk apa jua acara agama.
“
Keempat, memboikot semua produk bukan-Muslim.
Kelima, melabelkan bukan-Muslim dan bukan-Melayu sebagai babi, teroris dan Komunis,” ulang beliau.
Bidasnya, pembohongan lima tuduhan fitnah itu adalah tidak matang dan
cuba mewujudkan persepsi dalam kalangan rakyat, namun PAS dan Umno
menghadapi dengan matang iaitu membuat laporan polis terhadap isu
tersebut.
Berubah atau matang?
Beliau menyangkal dakwaan bahawa PAS berubah prinsip, malah menafikan
bekerjasama dengan Umno sebelum PRU14, kerana jika benar sudah tentu PH
tidak akan berada di Putrajaya, tetapi kerjasama selepas itu
membuktikan kejayaan dalam beberapa PRK.
Sebaliknya jika demikian bidas beliau, PH lebih banyak berubah
prinsip antaranya pernah mahu menyumbat Tun Mahathir dalam penjara dan
menuduhnya rasis serta mengaitkan skandal, tetapi kini bersikap
berlainan dan menyokong pula.
Jelas Fadhli, kematangan dibuktikan PAS antaranya bertindak melampaui
kepentingan politik misalnya mengadakan hubungan dan menyokong hal yang
membawa kebaikan kepada kepentingan rakyat dan negara.
Beliau memberi contoh program anjuran Pemuda PAS yang mengumpulkan
kehadiran daripada PAS tetapi menjemput Menteri daripada parti PH untuk
berucap perkara berkaitan masa depan dan kepentingan negara.
Menurutnya, kematangan juga diterjemahkan PAS dalam membawa agenda
Penyatuan Ummah dan gagasan Muafakat Nasional dengan PAS tidak
membangkitkan isu-isu masa lampau Umno-BN demi memacu kepentingan agama,
bangsa dan negara.
“Hubungan di antara parti-parti ini bukan suatu yang pelik. PAS
pernah bersama DAP di dalam Pakatan Rakyat, dan pada masa itu kita
melihat kenyataan pemimpin DAP cukup positif terhadap perjuangan dibawa
oleh PAS. Siapa ingat suatu konsep
agree to disagree yang dipopularkan sebelum tahun 2008.
“Adalah menjadi suatu yang tidak mustahil bahawa suatu masa nanti,
hegemoni dan keadaan politik ini boleh berubah dalam situasi tak pernah
kita jangka. Tetapi PAS akan tetap dengan prinsipnya iaitu meletakkan
agenda perjuangan agama ini menjadi paling utama.
“Budaya Politik Matang, kalau sekiranya tidak berjaya dibawa kepada
mereka yang telah lama dalam politik, tetapi menjelang PRU15 ini, ketika
umur 18 tahun boleh menjadi pengundi, yang saya kira golongan ini sudah
tidak pun terbeban dengan sejarah-sejarah lampau, maka anak muda kena
berada di dalam gelombang Budaya Politik Matang ini.
“Rakyat yang matang adalah yang menolak PH insya-Allah. Kerana apa?
Kerana situasi yang berlaku pada hari ini cukup sangat tidak baik untuk
situasi politik negara. Kenyataan-kenyataan PH yang mengganggu gugat
agama,” simpulnya.
– HARAKAHDAILY