HALAMAN SANTAI

Isnin, 25 November 2019

Buta Quran tulis tentang Islam macam si buta meraba gajah - Hadi

MALAYSIAKINI
 
 

Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyelar pihak yang cuba mengulas mengenai Islam melalui penulisan tetapi sebenarnya “buta Al-Quran.”

Beliau berkata tindakan pihak itu umpama orang buta yang cuba mentafsir gajah dengan hanya meraba-raba anggota badan haiwan berkenaan.

Sedangkan, katanya, “orang buta” tersebut tidak melihat “gajah” yang bersaiz besar itu secara keseluruhannya, tetapi hanya mentafsir apa yang dapat dirasa oleh deria sentuhan tangannya sahaja.

“Ada daripada kalangan yang buta Al-Quran atau kabur ilmunya cuba menulis berkenaan Islam, laksana kisah orang buta yang memperkenalkan binatang gajah dengan meraba salah satu anggota badan tanpa melihat badan yang besar secara menyeluruh.

“Lalu ditafsirkan gajah itu sekadar yang dirasakan oleh tangannya sahaja.

“Ada yang mengatakan gajah seperti batang pokok kalau sekadar meraba betis dan pahanya, ada juga dikatakan seperti tali kalau meraba ekornya dan seterusnya menyatakan pengenalan yang salah tanpa melihat seluruh jasadnya,” kata beliau pada ruangan Minda Presiden yang disiarkan HarakahDaily. 

Justeru, katanya, hal itu mengakibatkan Islam dihurai secara jahil mengikut kejahilan orang yang menghurainya, dan dikaitkan dengan aliran ciptaan manusia dengan dinisbahkan kepada teori yang tiada kaitan dengan Islam bahkan bercanggah dengannya, seperti sekularisme, liberalisme dan pluralisme.
Menjelaskan lanjut, katanya ini menyebabkan Islam dipecahkan kepada kumpulan ortodoks, konservatif dan moderat seperti agama lain yang dipinda agamawannya atau seperti ideologi politik lain yang direka cipta.

Sedangkan, katanya, Islam yang datang daripada Allah hanya satu sahaja, meskipun dibawa oleh rasul yang berbeza, terdapat pelbagai mazhab, serta mengalami perubahan zaman dan masyarakat yang berlainan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas soalan yang diajukan sesetengah pihak kepadanya tentang mengapa PAS yang dikatakan mendukung politik Islam menggunakan pendekatan dan sikap yang berubah-ubah dalam sesuatu isu, sehingga ada yang menuduhnya tidak istiqamah dan mempermainkan Islam.

Jelas Abdul Hadi, ajaran Islam ada yang tidak berubah sejak Nabi Adam AS sehingga hari kiamat iaitu perkara akidah, syariat, akhlak, dan perkara ghaib, namun ada juga perkara yang berbeza antara zaman rasul yang berlainan.

“[...] bahkan berlaku pada zaman rasul akhir zaman, Nabi Muhammad SAW yang dinamakan ‘mutaghayyirat’ (yang menerima perubahan) dalam perkara yang berlakunya perbezaan masyarakat, masa, tempat, situasi dan realiti.

“Maka ada hukum yang nasikh (yang membatalkan hukum terdahulu) dan mansukh (yang dibatalkan oleh hukum selepasnya) dan juga dinamakan perkara ijtihadiyyat dalam perkara umum mengikut kajian semasa.

“Bukan sahaja berlaku berlainan pendapat dalam satu mazhab, bahkan juga dalam mazhab yang sama,” katanya lagi.

Situasi berbeza

Memberikan contoh, kata Abdul Hadi, Rasulullah SAW pernah menolak bantuan bukan Islam dalam peristiwa Badar, tetapi menerimanya selepas peristiwa Fathu Makkah, kerana situasinya yang berbeza.

Seperti itu juga, katanya, pada zaman khulafa’ ar-rasyidin, khalifah dilantik daripada kalangan kaum Arab Quraisy kerana dominasi kabilah itu pada zaman tersebut, tetapi diganti kepada kaum lain setelah Arab Quraisy tidak lagi mempunyai kelayakan tersebut, sesuai zaman dan daerah yang berbeza.

“Dalam hukum memberi kerakyatan kepada bukan Islam dan melantik bukan Islam dalam menteri kabinet berlaku khilaf (perbezaan pendapat) antara Imam Al-Haramain Al-Juwaini dalam kitab Al-Ghiyatsi yang berada dalam masyarakat yang tidak majmuk di Hijaz, dengan Imam Al-Mawardi yang berada dalam masyarakat majmuk di Iraq,” katanya.

Sedangkan, kedua-dua imam itu adalah daripada mazhab Syafie, tetapi mereka memahami keizinan berijtihad dan memberikan pandangan berbeza, asalkan tidak keluar daripada rukun dan asas hukum Islam.

“Pendekatannya tidak seperti konsep Barat yang dinamakan liberalisme, pluralisme dan sekularisme yang bukan daripada konsep Islam,” tambahnya lagi.

Pendirian berubah-ubah PAS mengundang pertikaian sesetengah pihak apabila dalam PRK Tanjung Piai, parti itu memberi sokongan buat calon BN dari MCA, Wee Jeck Seng yang bukan beragama Islam.

Sedangkan dalam beberapa PRK sebelum ini, PAS menggesa ahlinya menyokong calon Islam, malah dalam PRK Cameron Highlands, Abdul Hadi pernah menyatakan wajib bagi pengundi Islam menyokong calon Islam BN berdasarkan kepada sifat keagamaannya.

Untuk rekod, selain Wee, PRK Tanjung Piai turut ditandingi Karmaine Sardini (PH), Wendy Subramaniam (Gerakan), Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa), serta calon bebas Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Pendirian yang menolak calon bukan Islam itu juga dipertikai sesetengah pihak memandangkan PAS pernah menjalinkan kerjasama dengan DAP sebelum ini, dalam Barisan Alternatif (1998-2001 sebelum DAP menarik diri), dan Pakatan Rakyat (2008-2015 sebelum DAP mengumumkan pakatan itu dibubar).

Sejak itu, PAS dilihat berpatah arang dengan DAP.

Kini, PAS menjalinkan kerjasama rasmi dengan Umno melalui Muafakat Nasional yang dimeterai 14 September tahun ini.

Biarpun Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan menyatakan Muafakat Nasional turut melibatkan parti komponen Gagasan Sejahtera (PAS, Ikatan dan Berjasa) serta BN (Umno, MCA dan MIC), tetapi Umno pula menyatakan sebaliknya.

"Belum lagi, kami masih BN," kata Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob ketika disoal pemberita dua minggu lalu.

Berjasa yang merupakan anggota Gagasan Sejahtera meletakkan calon bertanding PRK Tanjung Piai baru-baru ini.


Tiada ulasan: