Menyifatkan Malaysia sebuah negara yang paling kuat berpolitik di dunia, Felo Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Prof. Emeritus Dr. Abdul Rahman Embong berkata, sekiranya keadaan masih tidak berubah, perkara sama akan dilakukan oleh pengundi pada pilihan raya-pilihan raya akan datang.
“Apa yang saya lihat di Tanjung Piai itu adalah satu isyarat yang mana kerajaan harus sedia bertindak.
“Ia bukan business as usual. Sesuatu yang baharu, drastik dan mempunyai impak yang besar harus dilakukan dari sekarang.
“Semoga kita dapat melihat (perubahan) tersebut apabila Rancangan Malaysia ke-12 dimulakan dan kita juga memasuki tahun 2020,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.
Tambah Abdul Rahman, banyak yang boleh dilakukan jika semua pihak mengurangkan politiking dan menumpukan sepenuh perhatian kepada pembangunan negara.
Katanya, kesepakatan bersama di antara semua pihak dan tidak hanya berdasarkan kepentingan parti perlu diutamakan.
“Jangan berdasarkan kepentingan parti. Harus berdasarkan kepentingan negara.
“Kurangkan berpolitik dan mari bekerja keras untuk negara,” tegasnya.
Sabtu lalu, calon Barisan Nasional Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng memenangi PRK Tanjung Piai dengan majoriti besar 15,086 undi mengalahkan calon Pakatan Harapan Karmaine Sardini yang hanya mengutip 10,380 undi, calon Gerakan, Wendy Subramaniam (1,707 undi) dan calon Berjasa, Datuk Dr. Badrulhisham Abdul Aziz (850 undi).- MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan