HALAMAN SANTAI

Isnin, 25 November 2019

Lelaki Indonesia pukul anak kerana makanan jamuan tak dijamah guru, murid

Suspek berusia 47 tahun direman sehingga Selasa ini bagi 
membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.
 
KUANTAN: Seorang lelaki warga Indonesia memukul anak perempuannya yang berusia 9 tahun di Taman Setia Jasa, Temerloh, dekat sini, dipercayai kerana berang hidangan yang dimasaknya tidak dijamah rakan dan guru mangsa.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Mohd Yusri Othman berkata, kejadian itu dipercayai berlaku petang Jumaat lalu, apabila mangsa yang merupakan anak bongsu suspek membawa pulang hidangan yang dibekalkan suspek untuk jamuan di sekolah.

“Suspek yang berusia 47 tahun dipercayai marah apabila mengetahui makanan tersebut tidak disentuh murid dan guru menyebabkan dia marah, memaki hamun dan memukul mangsa.

“Pemeriksaan kesihatan mendapati mangsa mengalami kesan lebam pada paha kiri dan bengkak di kepala,” katanya di sini, semalam.

Yusri berkata, ibu mangsa membuat laporan selepas mengetahui kejadian itu daripada kakak mangsa berusia 10 tahun yang menghubunginya pada 4.30 petang Jumaat.

Katanya, suspek dan ibu mangsa bercerai pada 2015 dengan hak penjagaan 3 anak berusia 9 hingga 13 tahun diserahkan kepada suspek.

Suspek direman sehingga Selasa ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tiada ulasan: