HALAMAN SANTAI

Sabtu, 23 November 2019

Bomba hantar bantuan kepada enam pos Orang Asli yang terputus hubungan darat

Bernama
MGF21112019_Latihan-Menyelamat-Dari-Udara-SMART-Bomba_25-1
Gambar Hiasan. foto IQBAL BASRI
 

GUA MUSANG – Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) hari ini melakukan sembilan penerbangan ihsan menghantar bekalan makanan kepada lebih 900 keluarga Orang Asli di enam pos penempatan di sini yang terputus perhubungan darat sejak awal bulan ini.

Pegawai Perhubungan Awam Unit Udara JBPM Pangkalan Subang, Mohd Farhan Marzuki berkata, penerbangan itu membabitkan penghantaran 5,100 kilogram bekalan makanan untuk keperluan 982 keluarga Orang Asli di Pos Pasir, Bihai, Simpor, Belatim, Gob dan Balar.

Penerbangan berlepas dari perkarangan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang menggunakan krew Agusta AW139 yang berpangkalan di Subang.

“Penerbangan pertama ke Pos Simpor dan Kampung Sedar pada pukul 11.14 pagi sebelum pasukan bergerak ke Pos Pasir pada pukul 12.17 tengahari dan meneruskan misi ke pos-pos lain yang dijangka akan berakhir pada pukul 6 petang ini,” kata Mohd Farhan ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, penerbangan itu dilaksanakan selepas menerima permohonan daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) yang memohon bantuan menghantar bekalan makanan ke pos-pos berkenaan berikutan jalan darat yang rosak teruk dan tidak boleh dilalui oleh kenderaan berikutan hujan lebat.

Sementara itu, Pengarah Jakoa Kelantan/Terengganu, Hashim Alang Abdul Hamid berkata, antara barangan keperluan yang dihantar itu termasuk beras, minyak masak, tepung gandum, susu, gula dan biskut.

Beliau berkata, selain itu pihaknya turut menghantar 3,724 botol air mineral kerana bimbang masyarakat Orang Asli tidak mendapat bekalan air bersih berikutan musim hujan.

“Kita terpaksa mendapatkan khidmat Unit Udara JBPM bagi menyegerakan proses penghantaran kerana jalan sedia ada tidak dapat dilalui oleh masyarakat Orang Asli untuk ke bandar membeli barangan keperluan,” katanya. – Bernama

Tiada ulasan: