MEDAN BERITA POLITIK : KE ARAH BERFIKIR, MENGINSAFI DAN BERTINDAK
HALAMAN SANTAI
Selasa, 26 November 2019
Pagar bolos, penyeludupan berterusan di Padang Besar
BERNAMA
Setiap hari, antara 200 dan 300 kilogram barang seludup, antaranya
daun ketum dan rokok, dirampas oleh polis Perlis dalam operasi di
kawasan sempadan di utara negara sejak 3 Sept lepas.
Kegiatan
penyeludupan di kawasan sempadan menjadi ‘panas’ apabila Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan video kegiatan
penyeludupan di Padang Besar, Perlis pada Oktober lepas.
Pendedahan
itu walaupun berjaya membuat anggota sindiket ‘panas punggung’, namun
belum mampu mengekang aktiviti itu di sempadan tanah air. Ini kerana
masih ada barang dari negara ini termasuk daun ketum berjaya tembus ke
negara jiran, Thailand, melalui aktiviti penyeludupan rentas sempadan.
“Setiap
hari rampasan (pelbagai) barang seludup berjumlah 200 ke 300 kilogram
adalah perkara biasa hasil operasi tanpa gagal sejak 3 Sept,” kata Ketua
Polis Perlis Surina Saad yang mula bertugas di Perlis pada tarikh itu.
Mengikut
rekod IPD Padang Besar, rampasan daun ketum meningkat 51.1 peratus
iaitu sebanyak 81,851.54 kilogram dalam tempoh Januari hingga Oktober
tahun ini berbanding 40,037.3 kilogram tahun lepas.
Malah kawasan
sempadan yang ‘mati’ dengan pagar uzur dan berlubang dipercayai antara
faktor yang mendorong aktiviti penyeludupan berterusan melalui pelbagai
taktik.
Seorang penduduk yang dikenali sebagai Pak Ku baru-baru ini membawa Bernama
meninjau ke kawasan berhampiran landasan kereta api Padang Besar di
mana beliau menunjukkan pagar yang memisahkan kedua-dua negara ini bukan
sahaja kelihatan uzur, malah ada yang berlubang.
“Barang yang
ingin diseludup termasuk ketum akan dilempar melepasi pagar atau
menerusi pagar yang telah dirosakkan oleh sindiket dan di sebelah sana
ada orang yang tunggu untuk kutip.
“Orang tempatan memang ramai
yang tahu mengenai aktiviti ini tapi tak berani bersuara sebab ada orang
tempatan yang terlibat juga dalam sindiket penyeludupan ni,” kata Pak
Ku yang berpesan kepada penulis supaya tidak bertanya kepada orang
sembarangan bagi mengelak kejadian tidak diingini.
Berdasar rekod
polis, kawasan seperti Kampung Melayu dan Kampung Kolam yang terletak
bersebelahan dengan pekan Sadao di selatan Thailand dan dipisahkan
dengan pagar adalah lokasi strategik untuk meletakkan apa jua barang
yang ingin diseludup.
Malah, rumah serta kawasan kampung itu turut
dijadikan lokasi meletakkan daun ketum yang diisi ke dalam guni sebelum
dipercayai dibawa ke pekan Sadao menggunakan pelbagai kaedah.
Seorang
lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Mot mendedahkan
kaki-kaki sindiket akan menyewa rumah di sekitar Padang Besar untuk
dijadikan stor menyimpan bekalan daun ketum.
“Ada yang gunakan
rumah usang untuk dijadikan tempat mengumpul daun ketum...Mereka ini
mahu keluar barang (daun ketum) kerana untungnya tinggi.
"Sindiket
biasanya beli daun ketum dengan harga RM10 atau RM20 sekilogram di
mana-mana kawasan di utara sebelum menjualnya dengan harga yang tinggi
iaitu antara RM100 hingga RM150 sekilogram di negara jiran," katanya.
Beberapa
lokasi yang dijadikan tempat menyimpan daun ketum yang ingin diseludup
berjaya dibongkar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar dengan
serbuan terbaru pada 24 Okt lepas, di mana 1.6 tan daun ketum yang
disimpan di sebuah rumah di Felda Mata Ayer berjaya dirampas.
'Keadaan tengah panas'
Menurut
Mot daun ketum mendapat permintaan tinggi kerana negara gajah putih itu
tidak mempunyai bekalan ekoran undang-undang ketat negara itu.
“Memang
keadaan sekarang tengah panas sebab orang sana (Thailand) nak daun biak
(ketum) tetapi nak bawa keluar sekarang susah,” katanya merujuk
tindakan penguatkuasaan tempatan yang semakin meningkat.
Dalam pada itu, bercakap kepada Bernama,
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Supt Mohamad Halim Yatim berkata modus
operandi terbaru penyeludup adalah membawa keluar daun ketum ke negara
jiran dalam kuantiti yang kecil bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Mereka
akan letak daun ketum dalam guni yang kecil dan kemudian meletakkanya
berhampiran pagar-pagar di sempadan...Apabila ‘line clear’ mereka akan
campak guni berisi daun ketum itu ke negara jiran melepasi pagar yang
memisahkan kedua-dua negara,” katanya.
Bagaimanapun, katanya
pihaknya memberi fokus terhadap usaha membanteras kegiatan penyeludupan
di sempadan negara termasuk daun ketum.
Pada Mei tahun lepas,
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit
Aman Zulkifli Abdullah ketika itu menyatakan tembok dan pagar sempadan
Malaysia-Thailand sepanjang 29 kilometer dari Padang Besar ke Bukit Kayu
Hitam telah usang dan tidak lagi kukuh untuk tujuan keselamatan.-Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan