* PERTEMBUNGAN yang semakin memanas dalam arena politik negara dilihat berpunca dari masalah ketidakmatangan parti dan pemimpin politik. Ikuti semula Debat Sinar: Malaysia Baharu, Pemimpin Tak Amal Politik Matang dari tujahan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari yang ditulis semula Pengarang HarakahDaily, IZWAN ABDUL HALIM.
Landskap semasa politik
Katanya, politik perlu dibudayakan dengan pandangan dan tindakan kepada prinsip, bukan manipulasi atau spekulasi dan kepentingan dari sokongan diberi rakyat hingga mengotori wadah pemerintahan.
Antaranya hujah beliau, pihak yang sekadar baharu didakwa ke mahkamah dan belum diputuskan sebagai bersalah, maka ia tetap dianggap tidak bersalah.
Begitu juga terangnya, mesti dibezakan antara kerajaan dan parti pemerintah, di mana selaku kerajaan wajib melaksanakan tanggungjawab, sedangkan parti entiti yang bersilih ganti.
Termasuk dalam erti matang jelas beliau, adalah menghormati pilihan rakyat dalam konteks demokrasi yang mengizinkan kehendak mereka dizahirkan.
Ahmad Fadhli mengemukakan contoh pemansuhan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) oleh PH tanpa persediaan sewajarnya di mana menyebabkan kerajaan kehilangan pendapatan berpuluh bilion.
“Sedangkan, kerajaan boleh menghapuskan GST dalam keadaan membuat satu polisi yang cukup bersedia untuk dilancarkan. Tetapi kenapa terus menghapuskan GST? Tak lain tak bukan, (kerana) pendekatan ekonomi yang tidak matang,” bidasnya.
Ketidakmatangan pemimpin PH juga kesalinya, apabila mengeluarkan kenyataan atau pandangan yang menjurus kepada pertembungan antara agama dan kaum.
Bahkan ujar beliau, termasuk menyebabkan ketidakstabilan politik apabila sesama anggota PH tertumpu kepada desakan demi desakan supaya Perdana Menteri meletakkan jawatan.
Tuduhan dan bersengketa
Politik matang tegas Fadhli, menolak spekulasi, sekali gus mengingatkan jika kes 1MDB yang sedang dihadapkan ke mahkamah itu dikira bersalah, maka banyak kes melibatkan pemimpin PH sudah dianggap bersalah.
Antaranya senarai beliau, kes rasuah banglo melibatkan Menteri Kewangan, kes rogol Exco Perak dari DAP serta kes berkaitan pengganas LTTE melibatkan Adun dan pemimpin dari DAP juga.
“Bagi PAS, Menteri Kewangan belum didapati bersalah dalam isu rasuah banglonya, maka kita kata bahawa beliau belum didapati bersalah. Cuma kita hairan kenapa digugurkan? Itu kita hairan sahajalah. Kita berhak untuk menyatakan kehairanan.
“Tetapi soal tak bersalah atau bersalah, bagi kita sebelum dibuktikan bersalah, ia tetap dikira sebagai tidak bersalah, dalam apa jua keadaan sekalipun selagi mereka tidak dibuktikan bersalah.
“Kerana itulah bila menyebut tentang 1MDB, saya nampak bahawa PAS sering dibabitkan seolah-olah PAS ini suka ataupun merelakan isu 1MDB. Saya nak ingatkan dalam MalaysiaKini sendiri (ada laporan pada) 12, 26 Mac 2018 (bahawa) PAS tegaskan tubuh RCI 1MDB.
“Ini dalam MalaysiaKini iaitu satu laman web yang sentiasa dijadikan rujukan oleh penyokong PH. Kalaulah PAS ini sudahpun percaya bahawa 1MDB ini tiada skandal dan sebagainya, tidak ada desakan seperti ini.
“Cuma saya hairannya, kenapa sampai saat ini sebagai contoh RCI-RCI masih belum lagi ditubuhkan, ya, mungkin isu 1MDB sudah dibicarakan di mahkamah,” ujarnya menyenaraikan beberapa kes yang pernah didesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI).
Beliau turut membandingkan ketidakmatangan PH apabila kononnya menunjukkan sokong kepada Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri di Parlimen, tetapi di medan terbuka menyerlahkan desakan untuk tokoh itu berundur.
Ahmad Fadhli menyenaraikan desakan tersebut antaranya dari Syed Hussin Syed Ali yang menggesa serah jawatan segera tanpa dolak dalih; dari pemimpin DAP dengan memberi kata bahawa masanya untuk Tun berundur.
Nada sama juga dinyatakannya dari Charles Santiago dan Ronnie Liu hingga ada label seperti ‘kuda tua’ dan ‘harimau kertas’ di mana semua desakan itu yang ‘menggugat’ kedudukan ketua mereka dalam PH tidak menjadi kesalahan bagi DAP.
“Bayangkan mana pelabur nak datang dalam keadaan PM didesak setiap hari untuk meletakkan jawatan. PM pula yang partinya ada kerusi yang minoriti di dalam Dewan Rakyat. Macam mana pelabur nak datang? Pelabur melihat PM pun dah kena tekan hari-hari, siapa nak dilantik menjadi PM besok?
“Mungkin hari ini PM orang lain, menjelang ayam berkokok besoknya orang lain pula. Mana pelabur nak datang? Jadi kestabilan ekonomi diganggu gugat oleh spekulasi bahawa PM ini didesak supaya berundur,” ujarnya mual terhadap ketidakmatangan itu.
Bersikap kontradik dan ekstrem
Fadhli juga menyentuh mengenai janji Manifesto PH yang akan melantik jawatan penting melalui keputusan dari Parlimen, tetapi sebaliknya berlaku apabila Peguam Negara dilantik secara pilihan PH.
Sedangkan rakyat katanya, mahu melihat Peguam Negara yang lebih cekap bertindak, tetapi ‘perbezaan’ dijanjikan dapat dilihat pada jawatan tersebut kini menghampakan banyak pihak kerana pendakwaan terpilih.
Beliau mengemukakan kes anggota Bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang setelah mahkamah memutuskan kematiannya bukan kemalangan, tetapi akibat dibunuh, namun Peguam Negara belum mengarahkan siasatan.
Berbeza katanya, dalam kes kematian Teoh Beng Hock apabila Peguam Negara mengklasifikasikan sebagai kes bunuh, lalu dibuka untuk siasatan semula.
Turut diketengahkan Ahmad Fadhli ialah ketidakmatangan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang menuduh PAS dan Umno akan melaksanakan lima tindakan sekiranya menjadi kerajaan.
“Pertama, bukan-Melayu tidak boleh memegang jawatan dalam Kabinet. Kedua, sekolah vernakular akan ditutup sepenuhnya. Ketiga, bukan-Muslim khususnya Kristian tidak boleh berkumpul untuk apa jua acara agama.
“Keempat, memboikot semua produk bukan-Muslim. Kelima, melabelkan bukan-Muslim dan bukan-Melayu sebagai babi, teroris dan Komunis,” ulang beliau.
Bidasnya, pembohongan lima tuduhan fitnah itu adalah tidak matang dan cuba mewujudkan persepsi dalam kalangan rakyat, namun PAS dan Umno menghadapi dengan matang iaitu membuat laporan polis terhadap isu tersebut.
Berubah atau matang?
Beliau menyangkal dakwaan bahawa PAS berubah prinsip, malah menafikan bekerjasama dengan Umno sebelum PRU14, kerana jika benar sudah tentu PH tidak akan berada di Putrajaya, tetapi kerjasama selepas itu membuktikan kejayaan dalam beberapa PRK.
Sebaliknya jika demikian bidas beliau, PH lebih banyak berubah prinsip antaranya pernah mahu menyumbat Tun Mahathir dalam penjara dan menuduhnya rasis serta mengaitkan skandal, tetapi kini bersikap berlainan dan menyokong pula.
Jelas Fadhli, kematangan dibuktikan PAS antaranya bertindak melampaui kepentingan politik misalnya mengadakan hubungan dan menyokong hal yang membawa kebaikan kepada kepentingan rakyat dan negara.
Beliau memberi contoh program anjuran Pemuda PAS yang mengumpulkan kehadiran daripada PAS tetapi menjemput Menteri daripada parti PH untuk berucap perkara berkaitan masa depan dan kepentingan negara.
Menurutnya, kematangan juga diterjemahkan PAS dalam membawa agenda Penyatuan Ummah dan gagasan Muafakat Nasional dengan PAS tidak membangkitkan isu-isu masa lampau Umno-BN demi memacu kepentingan agama, bangsa dan negara.
“Hubungan di antara parti-parti ini bukan suatu yang pelik. PAS pernah bersama DAP di dalam Pakatan Rakyat, dan pada masa itu kita melihat kenyataan pemimpin DAP cukup positif terhadap perjuangan dibawa oleh PAS. Siapa ingat suatu konsep agree to disagree yang dipopularkan sebelum tahun 2008.
“Adalah menjadi suatu yang tidak mustahil bahawa suatu masa nanti, hegemoni dan keadaan politik ini boleh berubah dalam situasi tak pernah kita jangka. Tetapi PAS akan tetap dengan prinsipnya iaitu meletakkan agenda perjuangan agama ini menjadi paling utama.
“Budaya Politik Matang, kalau sekiranya tidak berjaya dibawa kepada mereka yang telah lama dalam politik, tetapi menjelang PRU15 ini, ketika umur 18 tahun boleh menjadi pengundi, yang saya kira golongan ini sudah tidak pun terbeban dengan sejarah-sejarah lampau, maka anak muda kena berada di dalam gelombang Budaya Politik Matang ini.
“Rakyat yang matang adalah yang menolak PH insya-Allah. Kerana apa? Kerana situasi yang berlaku pada hari ini cukup sangat tidak baik untuk situasi politik negara. Kenyataan-kenyataan PH yang mengganggu gugat agama,” simpulnya. – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan