HALAMAN SANTAI

Isnin, 25 November 2019

Bapa Adib gagal halang rayuan peguam negara hina mahkamah



Mohd Kassim Abdul Hamid ialah bapa anggota bomba, Muhammad 
Adib yang meninggal dunia Disember tahun lalu.
 
SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan bapa Muhammad Adib Mohd Kassim untuk menghalang rayuan Peguam Negara, Tommy Thomas atas dakwaan menghina mahkamah.

Pesuruhjaya Kehakiman, Meor Hashimi Abd Hamid berkata, Mohd Kassim Abdul Hamid silap dalam mengambil laluan sivil untuk menghentikan rayuan Thomas.

“Prosiding penghinaan itu terletak di bawah prosiding jenayah,” katanya dalam penghakimannya hari ini.

Beliau menetapkan 12 Dis ini untuk mendengar rayuan Thomas terhadap keputusan Koroner, Rofiah Mohamad membenarkan Kassim memulakan prosiding komital.

Thomas diwakili peguam, Zainur Zakaria dan Ambiga Sreenevasan.

Pada 16 Julai lalu, Kassim memfailkan permohonan sebelah pihak (ex-parte) perintah komital terhadap Thomas atas dakwaan menghina mahkamah menerusi satu afidavit difailkan Jabatan Peguam Negara pada 3 April lalu yang menyatakan kematian Adib bukan berpunca daripada kecederaannya.

Afidavit itu difailkan ketika inkues menentukan punca kematian Adib sedang berlangsung.

Pada 27 Sept lalu, Rofiah memutuskan “lebih 2 individu tidak dikenali” membunuh Adib yang meninggal dunia akibat kecederaan dialaminya ketika beliau dikerahkan ke lokasi rusuhan di luar Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, pada November tahun lalu.



Tiada ulasan: