HALAMAN SANTAI

Rabu, 27 November 2019

KDN tidak tahu abu mayat Chin Peng dibawa masuk, akan siasat

Wartawan MalaysiaGazette
MGF15102019_SIDANG-PARLIMEN58
Azis Jamman


KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan tidak membenarkan abu mayat Ching Peng dibawa balik ke Malaysia masih kekal, justeru laporan yang mendakwa abu mayat bekas setiausaha agung Parti Komunis Malaya itu telah ditabur di Lumut dan Banjaran Titiwangsa akan disiasat.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Azis Jamman berkata, pihaknya tidak menerima sebarang permohonan membawa pulang abu mayat Chin Peng ke negara ini selepas kerajaan menetapkan keputusan mengenai larangannya sebelum ini.

“Sehingga kini memang tiada permohonan diterima dan KDN sendiri tidak pernah tahu abu mayat Chin Peng berkenaan sudah dibawa masuk pada 16 September lalu sebagaimana dilaporkan portal berita terbabit.

“KDN hanya mendapat maklumat mengenainya apabila menerima persoalan daripada pelbagai pihak termasuk media hari ini,” katanya dipetik dari laporan Harian Metro hari ini.

Beliau berkata, susulan dasar kerajaan yang tidak berubah bagi melarang abu mayat Chin Peng dibawa pulang, KDN akan menjalankan satu siasatan mengenainya.

“Siasatan ini bagi memastikan sama ada perkara itu betul berlaku agar tindakan undang-undang dapat diambil terhadap pihak yang membawanya masuk serta yang membenarkan ia dibawa masuk,” katanya.

China Press turut melaporkan, sebahagian abu mayat mendiang ditabur di perairan kira-kira tiga kilometer dari Lumut, Perak manakala sebahagian lagi di kawasan hutan di Banjaran Titiwangsa.

Sebelum abu ditaburkan, satu majlis kenangan telah diadakan dan abu pejuang Parti Komunis Malaya itu telah dibawa mengelilingi kampung mendiang di Sitiawan menggunakan kereta.

Abu Chin Peng juga melalui kawasan perkuburan di mana ibu bapa, abang dan iparnya bersemadi sebagai memenuhi hasrat terakhir mendiang.

Chin Peng meninggal dunia di Bangkok pada umur 89 tahun kerana penyakit barah.

Mendiang pernah memberitahu mahu meninggal dunia di tempat asalnya di Malaysia. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: