HALAMAN SANTAI

Isnin, 25 November 2019

Amaran angin kencang, hujan berterusan peringkat kuning di pantai timur esok

MET Malaysia meramalkan angin kencang dan hujan berterusan 
di Kelantan, Terengganu dan Pahang bermula esok.
 
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) mengeluarkan notis amaran cuaca waspada peringkat kuning bagi hampir keseluruhan kawasan di Kelantan, Terengganu dan beberapa daerah di Pahang berikutan luruan angin timur di rantau negara bermula esok yang dijangka boleh mengakibatkan hujan lebat berterusan.

Ketua pengarahnya Jailan Simon berkata, kawasan yang terlibat di Pahang ialah Daerah Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin.

“Berikutan luruan angin itu, angin kencang dengan kelajuan antara 40 sehingga 50 km sejam (km/jam) dengan ombak mencapai 3.5 meter dijangka boleh berlaku di perairan negeri terbabit dan amaran cuaca tersebut dikeluarkan berkuatkuasa dari 25 hingga 27 Nov (Rabu) ini.

Selain itu, kenaikan paras air laut turut dijangka berlaku berikutan daripada kejadian air pasang dalam tempoh tersebut.

“Kejadian ini boleh mendatangkan risiko limpahan air laut di pesisir pantai dan muara sungai kawasan terbabit,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Sementara itu beliau berkata, berikutan keadaan cuaca buruk di Pantai Timur dijangka semakin berkurangan, amaran cuaca buruk peringkat jingga yang dikeluarkan pada 2 petang, 22 Nov lalu untuk Terengganu (Daerah Kemaman) dan Pahang (Daerah Kuantan, Pekan dan Rompin) diturun taraf kepada amaran waspada peringkat kuning, manakala untuk Johor ditamatkan.

Tiada ulasan: