HALAMAN SANTAI

Sabtu, 23 November 2019

14 anggota PGA diambil tindakan berhubung penyeludupan rentas sempadan

Bernama
MGF18102019_PC-SPRM06-1
Slaid yang menunjukkan aktiviti penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis ketika ditayangkan pada sidang media khas di Ibu Pejabat SPRM, Putarajaya. foto HAZROL ZAINAL
 

BUKIT KAYU HITAM – Seramai 14 pegawai dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang dikenal pasti terlibat dalam kegiatan rasuah berkaitan penyeludupan rentas sempadan di kawasan Padang Besar telah diambil tindakan.

Komander Briged Utara PGA, SAC Abdul Ghani Mohammad Ji berkata, lapan daripada mereka telah dibuang kerja, lima diturunkan pangkat dan seorang dengan lain-lain tindakan.

“Untuk makluman, susulan video viral tu, jadi kami dah pun ambil tindakan sebenarnya dan lapan anggota dijatuhkan hukuman buang kerja, lima orang turun pangkat dan satu diambil dengan lain lain tindakan kepdanya.

“So kita dah terima laporan tindakan yang dijatuhkan kepada anggota terlibat…tindakan telah diambil dan mereka juga telah pun meninggalkan pasukan kira-kira dua minggu lepas,” katanya kepada pemberita mengenai kejayaan penugasan Op Wawasan Kedah/Perlis, di sini, hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador sebelum ini dilaporkan berkata, pegawai dan anggota yang disyaki terlibat dengan aktiviti itu telah dipindahkan dan tidak dibenarkan bertugas semula ke Pasukan Gerakan Am.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut, Abdul Hamid berkata, sementara proses tindakan diambil, mereka hanya dikekalkan dan hanya menjalankan tugasan pejabat serta tugasan di dalam kem seperti biasa, dan tidak dibenarkan bertugas di lapangan.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya mendedahkan terdapat ribuan klip rakaman video berkaitan aktiviti penyeludupan di kawasan sempadan negara akibat perbuatan rasuah sejak 2017.

Antara barang yang diseludup ialah minyak masak, bawang, baja, disesel petrol dan barangan runcit yang murah di Malaysia berbanding negara jiran.

Menyentuh kejayaan sepanjang penugasan anggota PGA Batalion 2 PGA Kulim sejak 15 Okt hingga hari ini, Abdul Ghani berkata 35 kes tangkapan dan rampasan direkodkan membabitkan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/1963, Akta Racun dan Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Kastam dan Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Katanya, daripada jumlah kes tersebut, 25 membabitkan rampasan dan tangkapan berkaitan penyeludupan di mana keseluruhannya sebanyak 7.8 metrik tan daun ketum dianggar bernilai RM1.169 juta dirampas dan 16 individu ditahan.

“Aktiviti penyeludupan daun ketum dilihat menjadi-jadi dan boleh dikatakan tiap-tiap hari ada rampasan, ia berpunca permintaan yang tinggi dari Thailand dan harganya mencapai RM150 hingga RM180 sekilogram,” katanya.

Sepanjang tempoh itu juga, beliau berkata seramai 20 pendatang tanpa izin warga Myanmar dan Bangladesh berjaya ditahan ketika cuba keluar dan masuk ke negara ini tanpa dokumen yang sah. – Bernama

Tiada ulasan: