Sahabat Alam Malaysia (SAM) menyuarakan kejutannya terhadap persetujuan antara kerajaan Perak dan persekutuan dengan sebuah syarikat China untuk menjalankan penerokaan mineral nadir bumi di negeri itu.
Presiden SAM Meenakshi Raman berkata Perak tidak belajar daripada "pengajaran tragik" kilang Asian Rare Earth (ARE) Bukit Merah yang menyebabkan keracunan radioaktif serius di kalangan penduduk sekitar.
"Ada banyak insiden kematian di kalangan kanak-kanak yang mengadap leukaemia dan kanser, kandungan plumbum yang tinggi dalam darah mereka dan kadar keguguran tinggi daripada biasa di kalangan perempuan mengandung," katanya dalam kenyataan.
Katanya, dengan menambah istilah "lestari" terhadap proses dan perlombongan nadir bumi tidak menjadikan perkara itu selamat.
"Sangat tidak bertanggungjawab untuk kerajaan Perak dan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli untuk mepromosikan pelaburan yang tidak baik untuk alam sekitar, di sebalik operasi nadir bumi Lynas di Gebeng, Pahang," katanya lagi.
Meenakshi merujuk kepada memorandum persefahaman yang ditandatangani kerajaan Perak dan syarikat China, Chinalco GXNF Rare Earth Development, untuk meneroka mineral nadir bumi di negeri itu.
Perkara itu diumumkan oleh Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli pada 16 November lalu, yang menyifatkannya sebagai "langkah positif".
Katanya, kerja-kerja penerokaan itu jelas akan menjadi langkah pertama untuk perlombongan nadir bumi di Perak.
Katanya lagi, negeri itu sudah pun mempunyai kemudahan sisa radioaktif kekal di Banjaran Kledang yang mengandungi thorium dan uranium - yang disifatkannya sebagai sisa yang berbahaya - daripada kilang ARE yang beroperasi di Bukit Merah ketika pertengahan 1980-an dan 1990-an.
"Sisa ini akan kekal sebagai radioaktif untuk jutaan tahun dan memberikan risiko tinggi buat penduduk Perak," katanya.
Beliau menggesa kementerian itu dan kerajaan negeri bertindak dengan bertanggungjawab dengan menghentikan pelaburan yang hanya mendatangkan keuntungan besar untuk jangka pendek, tetapi meninggalkan bahan berbahaya untuk diwarisi generasi akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan