IPOH – Beberapa individu hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini hari ini, dipercayai bagi membantu siasatan kes membawa pulang abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng, ke Malaysia.
Mereka dilihat memasuki perkarangan IPD pada pukul 2.50 petang, sebelum salah seorang daripadanya yang dikenali sebagai Thong Yee, 82, kemudiannya keluar pada pukul 4.30 petang.
“Saya hadir bersama empat lagi rakan dan polis menyoal mengenai kehadiran kami, pada majlis peringatan yang diadakan pada 16 Sept lepas,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Thong yang tinggal di Ipoh berkata, polis mengambil masa selama satu jam 30 minit untuk merakam keterangannya.
Tinjauan Bernama mendapati seorang lagi individu iaitu Chai Kan Fook, 81, yang dipercayai terlibat dalam urusan membawa pulang abu Chin Peng, turut hadir bagi memberi keterangan.
Difahamkan, Chai telah hadir memberi keterangan semalam dan hadir semula sejak kira-kira 10 pagi tadi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP A. Asmadi Abdul Aziz berkata, kes itu disiasat pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata, pihaknya telah memanggil dua individu berkaitan kes berkenaan, untuk memberi keterangan.
Media sebelum ini melaporkan abu mayat Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua telah dibawa masuk pulang ke Malaysia pada 16 September lepas, dan ditabur ke laut berhampiran Lumut dekat sini dan di hutan banjaran Titiwangsa tanpa sebarang tugu atau jirat.
Abu mayat bekas pemimpin PKM itu dilaporkan tiba di Ipoh pada 16 September lepas dan satu majlis peringatan dihadiri 150 individu, diadakan pada hari yang sama.
Chin Peng, yang lahir di Sitiawan dekat sini, meninggal dunia di sebuah hospital di Bangkok pada tahun 2013, ketika berusia 89 tahun.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, kerajaan tidak pernah membenarkan abu mayat Chin Peng, dibawa pulang ke Malaysia. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan